Wanita

Kisah Isteri Nabi Musa A.S Yang Solehah Lagi Benar Firasatnya

Oleh Abdullah Bukhari  •  31 Oct 2019  •  4 min baca

“Sudahlah solehah, bijaksana pula.”

Perempuan ini memang bukan calang-calang orangnya. Jika tidak masakan Allah merekodkan kisahnya dalam al-Quran. Bukan semua orang bertuah dapat diabadikan kisahnya dalam al-Quran lalu dibaca dan diulang puji oleh seluruh umat manusia sehingga kiamat.

Pengabadian kisah beliau seolah mengajar kita bahawa wanita bukan makhluk kelas kedua sebagaimana dipandang sesetengah manusia jahil.

Kisahnya, nabi Musa A.S yang dalam pelarian akibat diburu bangsa Qibti iaitu bangsa Firaun telah ditakdirkan bertemu seorang perempuan di Madyan. Perincian kisah boleh dibaca pada ayat 15 sehingga 24 surah al-Qasas.

Baginda A.S telah membantu perempuan tersebut 2 beradik memberikan air kepada binatang ternak mereka. Ringkasnya nabi Musa A.S kemudiannya dijemput oleh bapa perempuan tersebut ke rumah.

Walaupun ramai beranggapan bapa perempuan ini adalah nabi Syu’ayb A.S, sesetengah ahli tafsir tidak bersetuju dengan pendapat itu kerana jauhnya jarak zaman antara kedua Rasul ini melebihi 400 tahun.

Bahkan jika bapa perempuan ini benar nabi Syu’ayb A.S sudah pasti Allah akan memasukkan namanya secara jelas dalam kisah ini (Tafsir Ibn Kathir).

Menurut sesetengah riwayat Isra’iliyyat pula bapa perempuan ini adalah anak saudara nabi Syu’ayb yang bernama “Yathrun – يثرون – atau Yathra – يثرى – (Tafsir al-Tabari). Allahu A’lam.

Dikisahkan oleh al-Quran, ketika berbicara dengan ayahandanya, perempuan ini mencadangkan suatu cadangan yang mengangkat darjat iman, taqwa, soleh dan sifat amanah pada nabi Musa A.S:

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah” Surah al-Qasas 28:26

Mudah sahaja bunyinya “Kuat (mampu melaksana kerja dengan jaya) dan Amanah”, namun begitu nilainya sangat besar kerana ia adalah kunci utama dalam pemilihan pekerja atau pemimpin.

Mendengar 2 kelayakan yang wujud pada Musa, ayah perempuan ini sangsi seketika. Bagaimana anaknya ini tahu kedua kualiti hebat itu dimiliki Musa A.S sedangkan mereka baru sehari bertemu. Si anaknya menjelaskan:

قالت: إنه رفع الصخرة التي لا يطيق حملها إلا عشرة رجال، وإنه لما جئت معه تقدمتُ أمامهُ، فقال لي: كوني من ورائي، فإذا اجتنبت الطريق فاحذفي لي بحصاة أعلم بها كيف الطريق لأتهدّى إليه.
Perempuan itu berkata “Beliau (seorang diri) mengangkat (batu penutup perigi Madyan) yang tidak mampu diangkat melainkan dengan kekuatan 10 lelaki. Tambahan pula apabila aku berjalan di hadapannya (ketika menjemputnya ke rumah kita), beliau berkata: Saudari berjalanlah di belakangku. Apabila aku menyimpang dari jalan ke rumahmu, lontarkan batu kepadaku supaya aku tahu mana jalannyaTafsir Ibn Kathir

Subhanallah! Hebat sekali mata hati perempuan ini, pandangannya bukan pandangan kosong tetapi pandangan bijaksana menganalisis kewibawaan Musa. Benar sekali pujian Abdullah bin Mas’ud kepada beliau (Tafsir al-Tabari):

أفرس الناس ثلاثة: العزيز حين تفرّس في يوسف فقال لامرأته:(أكرمي مثواه عسى أن ينفعنا أو نتخذه ولدًا) = وأبو بكر حين تفرَّس في عمر = والتي قالت:( يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأَمِينُ )
Manusia yang benar firasatnya ada tiga iaitu;
#1- Aziz Mesir ketika dia nampak kualiti Yusuf dan meminta isterinya memuliakan keadaan Yusuf pada firman Allah (Dan [setelah Yusuf dijual di negeri Mesir], berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: “Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak” (Surah Yusuf 12:21)
#2- Abu Bakar R.A apabila beliau melihat Umar selayaknya menjadi khalifah selepasnya
#3- Perempuan dalam kisah Musa (Surah al-Qasas 28:26)

Perempuan ini bukan sahaja bijaksana tetapi memiliki sifat solehah (pemalu) sebagaimana pujian Allah kepadanya:

فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِي يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا
Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan “berjalan dalam keadaan tersipu-sipu malu” sambil berkata:” Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami” Surah al-Qasas 28:25

Indah sekali aturan Allah. Manusia hebat biasanya turut didampingi oleh pasangan hidup yang hebat. Jika Rasulullah S.A.W didampingi wanita hebat dan bijaksana seperti Khadijah, Aishah, Ummu Salamah dan sebagainya.

Nabi Musa A.S pula didampingi oleh perempuan ini yang kemudiannya dijodohkan oleh bapanya:

قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنْكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَى أَنْ تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ
Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): “Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama lapan tahun. Surah al-Qasas 28:27

Kepada yang belum berkahwin, pilihlah calon isteri yang beragama dan bijaksana seperti isteri nabi Musa A.S. Kepada yang sudah berkahwin, isilah diri anda dengan ilmu dan iman agar sifat solehah dan bijaksana turut menempati hati dan akal anda.

Yakinlah kita belum terlewat untuk menjadi soleh dan bijak walaupun selepas berkahwin. Jika sudah memiliki anak lelaki, didiklah mereka agar menjadi soleh, kuat dan amanah seperti Musa.

Jika kita memiliki anak perempuan, didiklah mereka agar menjadi solehah, pemalu bertempat dan bijaksana seperti isteri nabi Musa A.S. Percayalah! Kualiti seperti keluarga para nabi inilah yang akan mengangkat darjat Islam di dunia.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami