Inspirasi

Kisah Inspirasi – Powerbank vs Keyakinan Pada Tuhan

Oleh Adnin Razak  •  18 Feb 2020  •  5 min baca

Orang kata, waktu paling kritikal untuk kita berbuat kebaikan adalah di saat kita diuji.

Dan rupanya, situasi genting ini sedang menyelimuti akalku, hingga aku bagai hilang arah, ke sana ke sini mencari bantuan Tuhan.

Aku saat ini sedang diuji, dengan ujian yang perit bagai menghentak akal.

Aku lost!

**

Usai hantar makanan customer berbentuk satu set Black Pepper Beaf Steak ke rumahnya di Lembah Jaya, Ampang, maka azan Maghrib pun masuk.

Aku singgah di Surau An-Najah, berdekatan Petronas Ampang Jaya untuk tunaikan solat fardu keempat dalam rukun Islam kedua.

Sedang aku tanggalkan kain kepala serta stokin lengan, datang seorang pemuda ke arahku.

“Bang, boleh pinjam power bank tak? Saya nak call isteri, minta bank in kan duit. Saya tak ada duit ni nak isi minyak balik rumah,” pintanya.

“Ada, tapi tengah guna,” jawabku ringkas, belum percaya kerana langsung tidak kenal dia.

“Sekejap je, boleh? Emergency ni. Bateri phone habis. Dapat cas sikit pun jadilah,” rayunya separa rintih.

“Ok,” balasku sambil keluarkan power bank berjenama Daikin berkapasiti 10,000mah yang aku dapat percuma ketika membuat liputan di kilang Daikin, Sungai Buloh tahun lepas.

Oh ya, sebelum ini aku seorang wartawan. Tapi kerjaya itu sudah tinggal sejarah. Hari ini aku hanya orang biasa.

“Saya pinjam dulu ye bang, lepas solat saya pulang balik,” katanya.

Aku sekadar diam, angguk perlahan sambil belek phone.

Terdetik di hati, perlukah aku percayakan dia?

Betul ke dia nak pinjam?

Entah-entah bawa lari terus!

Allahu akbar Allahu akbar..

Laungan iqamat membantutkan lamunan jahatku. Aku meninggalkan persoalan itu dengan menuju ke tempat wuduk.

**

Ketika solat, ada juga sekali dua aku hilang fokus dek kerana terlalu memikirkan pemuda tadi.

Aku sudahlah tengah kusut dilanda masalah, datang pula orang tidak dikenali untuk pinjam barang aku.

Astaghfirullah hal azim. Punya jahatnya syaitan. Power bank punya pasal, di depan Tuhan pun aku boleh lupakan Tuhan.

**

Selesai saja solat Maghrib, aku pergi ke saf belakang untuk solat sunat ba’diah.

Mataku sempat menjeling ke arah saf tempat pemuda tadi solat.

Dia tiada!

Dengan sedikit risau, aku teruskan solat sunatku. Terpaksa lupakan dunia sebentar. Sebab aku sedang menghadap Tuhan.

**

Keluar dari surau, aku melangkah perlahan-lahan menuju ke motor sambil memerhati adakah masih ada motor pemuda tadi.

Ya, masih ada! Alhamdulilah. Power bank ku selamat, tidak dilarikan!

Sedang aku menyarung kembali stokin lengan dan sarung kepala, muncul suara pemuda tadi dari arah belakang.

“Nah bang, dapat cas sikit, jadilah. Nak call isteri, tak dapat pulak. Saya nak balik Shah Alam ni, duit minyak takda,” katanya sambil hulur kepadaku.

Sambungnya lagi,

“Abang tahu tak, kat sini mana yang boleh bagi saya duit? Saya boleh nak bayar balik. Ni nak guna untuk isi minyak je balik rumah,”

“Tak tahulah bang..” jawabku senyum bercampur sayu.

Tiba-tiba lalu sepintas dalam benakku, orang kata kalau kita bantu orang, nanti Allah bantu kita.

Kebetulan memang waktu ini aku tengah dalam keserabutan yang amat. Memang mencari sumber bantuan Tuhan sama ada langsung atau tidak langsung.

Aku relatifkan kata-kata tadi dengan situasi ini.

Genting.

Hanya beberapa saat sahaja untuk aku buat keputusan.

Perlu atau tidak.

Perlu atau tidak.

Betulkah cerita dia ni?

“Abang nak isi minyak motor eh?” soalku, sekaligus membunuh semua bibit prasangka ciptaan syaitan yang ghairah membisik ke telingaku tadi.

“Haah ye..kalau abang boleh bagi pinjam pun ok..,” jawabnya merendah diri.

Aku keluarkan sejumlah wang dari beg dompetku dan terus beri pada tangannya.

“Nah bang, ambiklah. Tak payah bayar balik. Doakan saya murah rezeki,” kataku ringkas, lalu start enjin motor dan terus berlalu pergi.

“Alhamdulillah, terima kasih banyak bang. Moga Allah balas kebaikan abang,” ucapnya dengan penuh syukur.

Aku meninggalkan pemuda tadi dengan satu persoalan; kenapa aku tiba-tiba jadi begitu berat dan complicated untuk bantu dia?

**

Selepas selesai kerja, aku pulang ke rumah pada jam 10.30 malam dan terdetik di hati untuk kongsi pengalaman kerdil ini di sini.

Aku juga cuba cari di Google, apakah ada hadis atau dalil yang mengatakan bahawa jika kita bantu orang, Allah bantu kita.

Cari punya cari, akhirnya jumpa! Ya. Memang benar, apa yang dikatakan orang itu rupanya sudah tertulis dalam hadis nabi SAW.

“Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat,” (Hadis riwayat Muslim)

Alhamdulillah. Semoga sedikit bantuanku tadi, dapatlah meringankan bebannya, serta aku juga dapat dipermudahkan urusan oleh Tuhan.

Nabi sudah berkata, mustahil Tuhan tidak mengota, bukan?

Tiba-tiba fikiran aku terimbau ketika saat pemuda tadi bersamaku. Bagaikan babak dalam filem, ada satu-satu babak diputar kembali.

Pertama, ketika aku mula-mula sampai di parking motor surau, sewaktu dia datang kepadaku untuk meminta power bank, azan sedang dilaungkan.

Sejurus tamat azan, dia membaca doa selepas azan dengan penuh tertib. Jelas didengari suaranya dari telingaku, bacaan doanya penuh tartil.

Kedua, aku perasan, selepas power bank itu diserahkan kepadanya, dia terus mengambil wuduk yang tidak jauh dari tempat parking motor.

Ketiga, selepas berwuduk, dia membuka box di belakang motornya. Aku ingatkan nak buat apa. Rupanya dia keluarkan sebotol minyak attar.

Dicalitkan sedikit di dibelakang tapak tangan dan disapukan ke kedua-dua lengan serta pakaiannya.

Akhirnya sah, pemuda ini seorang yang menjaga solat dan sentiasa solat berjemaah di masjid!

Macam mana aku boleh judge begitu?

Ironinya, orang lelaki akan rasa lebih ‘rajin’ nak berwangian dengan minyak attar ketika solat berjemaah berbanding solat bersendirian.

Dan sudah tentu dia seorang kaki masjid sebab sentiasa bawa minyak attar dalam box motornya!

Alhamdulillah. Aku tidak tersalah membantu orang. Benarlah dia orang yang baik-baik.

Cuma, aku rasa bersalah di sudut lain.

Dek kerana sebuah power bank, syaitan berjaya memanipulasi fikiran aku dengan dakyah dan syak wasangka yang dibisikkan ke mindaku bertalu-talu sejak dari mula, hingga ke dalam solat, hingga ke solat sunat dan hingga ke selepas solat!

Aku ini duduk di surau, di rumah Tuhan, untuk menghadap Tuhan atau risaukan hal dunia?

Astaghfirullah hal azim. Maafkan aku ya Tuhan.

Terima kasih Tuhan kerana temukan aku dengan pemuda yang baik.

Semoga Kau murahkan rezeki aku.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Adnin Razak

Seorang penulis jalanan. Suka mengekspresi emosi melalui aksara dan papan kekunci.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami