Keluarga

Kisah Hafalan Al-Quran Yang Dijadikan Mahar Pekahwinan

Oleh Fizah Lee  •  10 Feb 2020  •  3 min baca

Mahar merupakan harta atau manfaat yang wajib diberikan oleh seorang suami kepada isteri sama ada dengan sebab pernikahan atau persetubuhan. Dalam Al-Quran, ia disebut sebagai saduq (Surah An-Nisa ayat 4), nihlah (Surah Al-Baqarah ayat 236) dan ajr (Surah At-Talaq ayat 10).

Menurut jumhur ulama, ia membawa maksud yang hampir sama dan mempunyai lambang kejujuran, tanda persetujuan dan pemberian wajib yang tidak mengharapkan balasan.

Ia diberikan oleh suami kepada isterinya berdasarkan jumlah dan nilai yang dipersetujui. Dalil pensyariatan mahar telah disebut dalam beberapa ayat Al-Quran.

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Mafhum: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian, jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya, maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah An-Nisa, 4:4)

Mahar yang paling baik dan bagus adalah yang paling mudah untuk dipenuhi. Ia boleh diletakkan dengan nilai yang rendah dan juga tinggi, bergantung kepada perempuan itu sendiri, namun dalam masa yang sama ia perlu dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Menurut Imam Syafi’e dan Imam Ahmad, kadar mahar adalah tiada batas. Ia boleh berupa dalam bentuk wang, aset dan juga apa sahaja yang dipersetujui wanita. Ia akan menjadi hak wanita seratus-peratus dan tidak menjadi kesalahan baginya untuk menggunakannya ke arah apa jua yang diinginkannya.

Kini, kita melihat mahar yang diberikan dalam berbagai bentuk seperti barang kemas, wang dan ada juga yang memberikan hafalan dari ayat Al-Quran.

Menjadi persoalan sesetengah pihak, adakah hafalan Al-Quran itu boleh dijadikan sebagai mahar? Para ulama menjawab persoalan ini dengan bersepakat bahawa ia tidak menjadi kesalahan. Bahkan, Baginda SAW pernah menyuruh seorang lelaki yang ingin berkahwin namun tidak mempunyai harta untuk dijadikan mahar agar memberikan hafalan Quran beliau kepada bakal isterinya.

Diriwayatkan dari Sahl bin Sa’ad RA, bahawa ada seorang wanita yang ingin berkahwin dengan Baginda SAW, namun Baginda tidak tertarik kepadanya. Namun, terdapat seorang lelaki yang hadir dan menyatakan hasratnya untuk menikahi wanita tersebut.

Baginda SAW bertanya: “Adakah engkau mempunyai sesuatu untuk dijadikan mahar?”

Pemuda itu menjawab: “Aku tidak mempunyai apa-apa.”

Kemudian, Baginda SAW menyuruh beliau untuk mencari sesuatu bagi dijadikan mahar walaupun hanya berupa cincin besi. Namun, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk dijadikan mahar. Kemudian, Baginda memanggil lelaki itu dan bertanya: “Apa yang kamu hafal dari Al-Quran?”

Kemudian, lelaki itu menjawab bahawa dia ada menghafal beberapa surah. Kemudian, Baginda SAW menjawab: “Kalau begitu, baiklah. Sungguh, aku telah menikahkan engkau dengan wanita ini dengan mahar berupa surah-surah Al-Quran yang engkau hafal.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5087)

Jumhur ulama mentafsirkan hadis ini bahawa mahar itu boleh berupa apa sahaja, dari sebesar-besar nilai sehingga ke nilai yang paling kecil seperti cincin besi.

Adapun, mahar hafalan Al-Quran juga dibolehkan. Para ulama berpendapat bahawa, ia perlu dilakukan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak. Jika bakal isteri yang meminta, maka menjadi kewajipan kepada bakal suami untuk memenuhinya.

Tambah mereka lagi seperti yang disebut daam Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah – hafalan ayat Al-Quran itu bukan dijadikan mahar semata-mata, namun untuk pasangan itu mengambil pengajaran daripada ayat tersebut.

Adapun, pendapat ulama lain menyebut bahawa, mahar hafalan ini hanya boleh diberikan jika sudah tidak mempunyai harta untuk diberikan kepada bakal isteri.

Namun, secara kesimpulannya, para ulama bersetuju bahawa nilai mahar itu adalah bergantung kepada persetujuan bakal mempelai. Oleh itu, tidak salah diberikan hafalan Al-Quran jika itu yang diminta.

Rujukan:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami