Inspirasi, Tokoh

Kisah Fudhail Bin Iyadh Bertaubat Selepas Mendengar Alunan Ayat Ini

Oleh Fizah Lee  •  10 Nov 2020  •  3 min baca

Fudhail bin Iyadh merupakan seorang tokoh dan ulama yang sangat terkenal dengan bidang ilmu hadis, fekah dan tasawwuf. Beliau digelar dengan nama ‘Abidul Haramain yang bermaksud orang yang kuat beribadah di Mekah dan Madinah.

Beliau telah dilahirkan di Samarkand, Uzbekistan pada tahun 107 Hijrah di sebuah kota yang bernama Abiyud yang terletak di antara daerah Syaraz dan Nasa.

Kehebatannya dalam ibadah sangat dikagumi oleh ulama yang lain kerana tiada siapa yang dapat menandingi taatnya beliau kepada Allah dalam ibadah yang dilakukan.

Namun, tahukah anda bahawa kehidupannya sebelum menjadi seorang ulama hebat ini sangat berbeza? Beliau sebenarnya pernah jauh dari tuhan dan merupakan seorang perompak yang sangat ditakuti.

Kisah beliau ada diceritakan oleh Imam Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Imam yang menyebut bahawa kawasan yang sering beliau rompak adalah di daerah antara Abiwarda dan Sarkhos.

Namun, kehidupan beliau berubah sekelip mata apabila beliau memilih untuk bertaubat. Ada sebuah ayat Al-Quran yang didengarinya sehingga mampu menggoncang keimanannya untuk kembali kepada Allah.

Ia diceritakan tatkala Fudhail sedang dilamun cinta terhadap seorang gadis. Setiap hari, beliau akan memanjat tembok untuk menemui (atau mengintip) gadis tersebut.

Namun, pada suatu hari, ketika beliau sedang menunggu gadis tersebut di atas tembok, tiba-tiba beliau terdengar sebuah alunan Al-Quran. Ia adalah dari surah Al-Hadid, iaitu:

 أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّـهِ

Mafhum: “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka).” (Surah Al-Hadid, 57:16)

Sejurus selepas mendengar alunan ini, beliau tersentak lalu membatalkan hasratnya untuk menemui (mengintip) gadis tersebut. Beliau beristirehat di sebuah tempat (diceritakan di kawasan biasa di antara kawasan Abiwarda dan Sarkhos) sambil merenung maksud di sebalik alunan ayat Al-Quran tadi.

Tiba-tiba, datang sebuah rombongan (diceritakan yang membawa barang dagangan), namun mereka tidak lalu di kawasan Fudhail berada. Salah seorang dari mereka berkata:

“Kita berehat sahaja di sini sehingga pagi, kerana si Fudhail berada di arah jalan kita dan dia pasti akan menghadang dan merompak kita.”

Apabila mendengarkan hal ini, Fudhail pun berfikir:

“Aku sedang melakukan kemasiatan di malam hari (mengintip wanita) sementara kaum muslimin di sini pula takut kepadaku kerana khuatir aku akan menghalang jalan mereka. Bagiku, tidaklah Allah mengiringiku ini melainkan untuk aku berhenti (dari kemaksiatan). Ya Allah, sungguh, aku telah bertaubat kepadaMu dan aku jadikan taubatku dengan tinggal di Baitul Haram.” (Syuab al-Iman, no. 7316. Ada juga diceritaka dalam Syiar A’laam An-Nubala 8/421)

Kesimpulan

Kisah ini menunjukkan kepada kita bahawa hidayah dan taufik yang Allah berikan adalah dalam pelbagai bentuk dan cara. Bahkan, semua orang masih mempunyai ruang dan peluang untuk bertaubat kerana Allah tidak akan meninggalkan hambaNya terkapai-kapai.

Lihatlah Fudhail, beliau sangat ditakuti oleh orang sekeliling kerana dikenali sebagai seorang perompak yang sangat berani. Namun, siapa sangka, selepas taubatnya itu, beliau disegani kerana ilmu dan ibadahnya yang sangat tinggi terhadap Allah.

Rujukan:
Dr. Khalid Bassalamah – Kisah Inspirasi Fudhail bin Iyadh


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami