Ibadah

Kisah Baginda Berdoa Meminta Hujan

Oleh Fieyzah Lee  •  19 Sep 2019  •  4 min baca

Sehingga hari ini, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar Lembah Klang, Kuala Langat dan Sabak Bernam berada pada paras tidak sihat, iaitu melebihi 200. Laporan ini adalah berdasarkan Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Seluruh rakyat dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah dan menjaga kesihatan diri untuk mengelakkan daripada kemerosotan kesihatan.

Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh semua pihak untuk membantu mengatasi masalah jerebu ini. Baik dengan melakukan solat Hajat, berdoa, mengelakkan pembakaran terbuka dan sebagainya.

Malah, baru-baru ini juga Jabatan Meteorologi Malaysia dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melakukan Operasi Pembenihan Awan sebagai salah satu usaha membendung masalah ini.

Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk menyumbang tenaga dan usaha berdasarkan kemampuan diri sendiri untuk mengatasi masalah ini.

Sebagaimana kisah Baginda SAW yang pernah diminta oleh kaum Badwi untuk berdoa agar diturunkan hujan setelah berlakunya kemarau secara berlanjutan sehingga mengakibatkan banyak hidupan mati dan kekurangan sumber makanan.

Kisah ini ada diceritakan melalui riwayat Anas bin Malik RA:

أَنَّ رَجُلاً دَخَلَ الْمَسْجِدَ يَوْمَ جُمُعَةٍ مِنْ بَابٍ كَانَ نَحْوَ دَارِ الْقَضَاءِ , وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَائِمٌ يَخْطُبُ , فَاسْتَقْبَلَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَائِمًا , ثُمَّ قَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ , هَلَكَتِ الأَمْوَالُ , وَانْقَطَعَتِ السُّبُلُ ، فَادْعُ اللَّهَ تَعَالَى يُغِثْنَا , قَالَ : فَرَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَدَيْهِ ثُمَّ قَالَ : اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا. قَالَ أَنَسٌ : فَلا وَاَللَّهِ مَا نَرَى فِي السَّمَاءِ مِنْ سَحَابٍ وَلا قَزَعَةٍ , وَمَا بَيْنَنَا وَبَيْنَ سَلْعٍ مِنْ بَيْتٍ وَلا دَارٍ. قَالَ : فَطَلَعَتْ مِنْ وَرَائِهِ سَحَابَةٌ مِثْلُ التُّرْسِ . فَلَمَّا تَوَسَّطَتِ السَّمَاءَ انْتَشَرَتْ ، ثُمَّ أَمْطَرَتْ , قَالَ : فَلا وَاَللَّهِ مَا رَأَيْنَا الشَّمْسَ سَبْتًا

Maksud: “Seorang lelaki memasuki masjid pada hari Jumaat melalui pintu yang bertentangan dengan Dar al-Qadha. Ketika itu Rasulullah SAW sedang berkhutbah dalam keadaan berdiri. Lelaki itu berkata: “Hai Rasulullah, harta-harta telah binasa dan jalan-jalan terputus (banyak orang kelaparan dan kehausan). Mohonlah kepada Allah agar menurunkan hujan.

Rasulullah SAW lalu mengangkat kedua tangannya dan mengucapkan: “اللَّهُمَّ أَغِثْنَا,اللَّهُمَّ أَغِثْنَا,اللَّهُمَّ أَغِثْنَا” (Ya Allah, turunkanlah hujan. Ya Allah, turunkanlah hujan. Ya Allah, turunkanlah hujan).

Anas berkata: “Demi Allah, sebelum itu kami tidak melihat sedikit pun awal tebal mahupun yang nipis. Awan-awan juga tidak ada di antara tempat kami, di bukit, rumah-rumah atau satu bangunan pun.” Anas berkata: “Tetapi tiba-tiba dari arah bukit tampaklah awan bagaikan sebuah perisai. Ketika sudah berarak sampai ke tengah langit, awan pun berpisah dan hujan pun turun.”

Anas melanjutkan, “Demi Allah, sungguh kami tidak melihat matahari selama tujuh hari (ini kerana banyaknya hujan).”

Solat Istisqa’ Meminta Hujan

Melalui kisah ini, Solat Istisqa’ merupakan antara amalan sunat yang dilakukan untuk berdoa dan memohon meminta hujan kepadaNya.

Istisqa’ yang berasal daripada bahasa Arab membawa maksud siraman air manakala dari segi istilah pula ia merupakan solat sunat untuk meminta hujan ketika terjadinya kemarau di kawasan yang sudah lama tidak meminta hujan.

Hukum solat sunat ini ialah sunat nawafil yang muqayyad, iaitu sunat yang mempunyai waktu dan kaifiatnya yang tersendiri serta jumlah rakaat yang tertentu.

Solat ini sesuai dilakukan pada bila-bila masa sahaja melainkan waktu yang diharamkan untuk bersolat. Ia juga disyariatkan untuk dilakukan secara berjemaah.

Ia merupakan salah satu usaha yang ditonjolkan oleh hati-hati kita bahawa kekuasaan itu hanya milikNya dan hanya Allah yang menentukan untuk menjadikan kemarau dan diturunkan hujan.

Selepas solat ini dilakukan, jemaah dianjurkan untuk berdoa dengan doa yang pernah diujarkan Baginda SAW, iaitu doa untuk meminta hujan.

اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا سُقِيَا رَحْمَةٍ وَلاَ سُقْيَا عَذَاب ٍوَلاَ مَحْقٍ وَلاَ بَلاَءٍ وَلاَ هَدَمٍ وَلاَ غَرْقٍ اللَّهُمَّ عَلَى الظِّرَابِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثاً مُغِيْثا،ً هَنِيْئاً مَرِيْئاً مَرِيْعاً، غَدَقاً مُجَلَّلاً عَاماً، دَائِماً إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ اللَّهُمَّ اسْقِنَا الغَيْثَ وَلاَ تَجْعَلْنَا مِنَ القَانِطِيْنَ اللَّهُمَّ إِنَّ بِالعِبَادِ وَالبِلاَدِ وَالْبَهَائِمِ وَالخَلْقِ مِنَ الجُهْدِ وَالجُوْعِ وَالضَّنْكِ مَا لاَ نَشْكُوْ إِلاَّ إِلَيْكَ اللَّهُمَّ أَنْبِتْ لنَا الزَّرْعَ وَأَدِر لَنَا الضَّرْعَ وَاسْقِنَا مِنْ بَركَاتِ السَّمَاءِ وَأَنْبِتْ لَنَا مِنْ بَركَاتِ الأَرْضِ اللَّهُمَّ وَاكْشِفْ عَنَّا مِنَ البَلاَءِ مَا لاَ يَكْشِفُهُ غَيْرُكَ اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْتَغْفِرُكَ إِنَّكَ كُنْتَ غَفَّاراً فَأَرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْنَا مِدْرَاراً

Maksud: “Ya Allah, jadikanlah hujan itu rahmat dan bukan azab, bukan kemusnahan, bukan bala, bukan kehancuran dan bukan kebanjiran. Ya Allah! Turunkanlah hujan ke atas bukit, kawasan berpasir, kawasan tumbuh-tumbuhan dan kawasan lembah. Ya Allah! Turunkanlah hujan di sekeliling kami, bukan di atas kami. Ya Allah! Turunkanlah hujan yang menyelamatkan kami dari kegetiran. Hujan yang menyegarkan dan menyuburkan, hujan yang turun lebat di merata bumi, hujan yang sentiasa mendatangkan manfaat sehingga hari Kiamat. Ya Allah, siramilah kami dengan hujan dan janganlah Engkau jadikan kami golongan yang berputus asa.

Ya Allah, sesungguhnya hamba-hambaMu dan negara ini telah didatangi kesukaran, kesempitan hidup dan kelaparan. Kami tidak mengadu melainkan kepadaMu.

Ya Allah, tumbuhkanlah tanam-tanaman kami. Banyakkanlah susu ternakan kami, turunkanlah kepada kami keberkatan dari langit dan tumbuhkanlah bagi kami dari bumi tanam-tanaman yang berkat.

Hindarkanlah bala bencana daripada kami yang tiada siapa yang boleh menghindarkannya selainMu. Ya Allah! Kami memohon ampun kepadaMu kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, maka turunkanlah hujan yang lebat ke atas kami.”

Semoga dengan usaha ini mampu mengembalikan semula udara yang bersih ke atas muka bumi ini agar kita masih lagi mampu memakmurkan bumi ini.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami