Sejarah

Kisah 3 Pemuda Yang Terperangkap Di Dalam Gua

Oleh Fizah Lee  •  11 Sep 2020  •  3 min baca

Pernah tak anda berdoa dengan menyebutkan amalan-amalan yang pernah anda lakukan?

Biasanya, situasi sebegini akan berlaku apabila kita terlalu menginginkan sesuatu perkara mahupun disebabkan sudah buntu.

Buntu dengan masalah yang dihadapi dan waktu itu tempat pergantungan anda hanya satu, iaitu Allah SWT.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang salah bahkan ia boleh sahaja disebut semasa berdoa, namun niat itu perlulah betul dan berdoa dengan bersungguh-sungguh.

Bahkan, pernah ada diriwayatkan sebuah kisah yang terjadi oleh tiga orang pemuda yang diuji dengan terperangkap di dalam gua dan waktu itu hanya Allah sahaja yang boleh membantunya.

Dari Abu ‘Abd Rahman, iaitu Abdullah bin Umar bin Al-Khattab RA berkata bahawa dia telah mendengar Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Ada tiga orang dari kalangan sebelum kalian bermusafir. Ada satu masa mereka terpaksa berehat dan bermalam di dalam sebuah gua. Selepas mereka memasukinya, jatuhlah sebuah batu besar dari gunung lalu menutup pintu gua tersebut. Tiada apa yang dapat menyelamatkan mereka pada waktu itu kecuali dengan berdoa kepada Allah dengan menyebutkan amalan baik yang dilakukan.

Pemuda pertama berdoa: “Ya Allah, aku mempunyai dua orang tua yang sudah uzur dan lanjut usia. Dan aku tidak pernah memberi minum susu (pada waktu malam) kepada orang lain melainkan kepada diri mereka. Aku akan mendahulukan mereka daripada keluargaku. Kemudian, pada suatu hari, aku mencari kayu di tempat yang jauh. Ketika aku pulang, ternyata mereka berdua telah terlelap tidur. Aku kemudian membancuh susu kepada mereka dan aku tidak memberikan kepada sesiapa pun melainkan kepada mereka, iaitu pada keesokan paginya selepas mereka bangun daripada tidur.

Ya Allah, jika apa yang aku kerjakan itu ikhlas dengan niat betul-betul mengharapkan wajahMu, maka lepaskanlah kesukaran yang sedang hadapi ini dari batu besar ini.”

Kemudian, batu besar itu bergerak sedikit, namun masih tidak dapat mengeluarkan mereka bertiga.

Baginda kemudian bersabda lagi dengan menceritakan perihal pemuda kedua yang berdoa: “Ya Allah, dahulu ada seorang puteri dari bapa saudaraku dan aku sangat menyukainya. Namun, dia menolak cintaku. Kemudian, beberapa tahun seterusnya, dia telah datang menemuiku untuk meminjam wang. Aku pun setuju untuk memberinya dengan syarat dia ingin tidur denganku (berzina). Dan perempuan itu bersetuju. Namun, dia berkata: “Tidak halal bagimu melakukan ini kecuali dengan cara yang benar (pernikahan).” Aku pun terkejut dan terus meninggalkannya padahal dia adalah perempuan yang paling aku cintai.

Ya Allah, jika apa yang aku lakukan ini adalah dengan niat yang betul-betul untuk mengharapkan wajahMu, maka lepaskanlah kesukaran yang sedang kami hadapi dari batu besar yang menutupi kami ini.”

Kemudian, batu besar itu bergerak lagi sedikit, namun itu belum mampu mengeluarkan mereka bertiga dari gua tersebut.

Kemudian, pemuda yang ketiga berdoa: “Ya Allah, aku dahulu pernah menggaji beberapa orang pekerja dan aku memberikan gaji kepada mereka semua. Namun, ada seorang yang tertinggal dan aku tidak beri gajinya. Wangnya pula aku kembangkan menjadi harta yang melimpah ruah. Kemudian, pada suatu hari, pekerja itu datang menuntut wangnya dahulu. Aku pun berkata kepadanya: “Setiap apa yang engkau lihat adalah hasil daripada wangmu yang dulu. Ada unta, sapi dan kambing. ambillah semuanya.” Aku kemudian menyerahkan semuanya tanpa tersisa sedikit pun untuk aku.

Ya Allah, jika apa yang aku lakukan ini betul-betul dengan niat untuk mengharapkan wajahMu, maka Engkau lepaskanlah kesukaran yang sedang kami alami sekarang.”

Kemudian, batu besar yang menutupi gua itu beralih dan mereka bertiga dapat keluar daripada gua tersebut. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 2272)

Kesimpulan

Tuntasnya, dapat kita faham di sini bahawa boleh berdoa dengan menyebutkan amalan-amalan baik yang pernah dilakukan.

Ia disebut sebagai tawassul, iaitu perantara kepada doa. Namun, seperti yang dikatakan pada awal tadi, doa itu perlulah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami