Berita

Ketika Seluruh Dunia Mengelak, Wilayah Cardiff Membuka Pintu Untuk Keluarga Syria Saya

Oleh Tim Tazkirah  •  28 Jun 2018  •  6 min baca

Ketika perang di Syria bermula, saya tinggal di Abu Dhabi bersama isteri dan empat orang anak kami. Kami telah berada jauh dari tanah air selama 24 tahun kerana saya merupakan seorang guru bahasa Arab yang mengajar di sekolah-sekolah antarabangsa Inggeris dan Amerika.

Namun, tidak lama kemudian, peperangan mula menjadi awan gelap yang melitupi keluarga kami. Setiap hari berita pengeboman tiba dari bandar Aleppo, dan dunia Arab mula menutup pintu mereka kepada rakyat Syria seperti kami.

Masalah sebenar bermula dalam keluarga saya pada tahun 2014, ketika anak kedua saya, Mohammed, kini berusia 20 tahun, perlu meninggalkan Abu Dhabi. Menurut visa kerja saya, anak-anak saya hanya boleh tinggal di Arab Saudi sehingga mereka menamatkan sekolah menengah.

Pilihan yang tersedia selepas itu agak menyedihkan. Mohammed tidak dapat kembali ke Syria, disebabkan peperangan, atau pergi ke Turki, di mana isteri saya mempunyai keluarga di sana, kerana kami berbangsa Kurdish.

Negara-negara Arab juga menolaknya, sama seperti Jerman, di mana abangnya, Saleh, 22 tahun, telah berjaya mendapatkan visa belajar pada tahun sebelumnya. Akhirnya, saya membawa Mohammed ke Bulgaria dengan harapan dia juga akan berpindah ke Jerman tidak lama lagi.

Kisah saya ini, yang memberi tumpuan kepada anak lelaki dan anak saudara saya – telah dipaparkan di saluran Channel 4 iaitu rancangan Anak-anak Pelarian Britain, diikuti dengan cerita enam pelarian muda lain yang cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di UK.

Pada Hari Pelarian Sedunia ini, saya berharap program ini akan membuka lembaran baru dalam hidup kami di sini dan menyatakan betapa gembiranya kami sewaktu UK mula membuka pintu-pintu mereka untuk menerima kami.

Pada tahun 2015, kakak saya telah cedera parah terkena bom di Aleppo dan saya meninggalkan Abu Dhabi untuk membantunya. Ada sesuatu telah berlaku di Syria yang tidak dapat saya nyatakan di sini. Keadaan ketika itu sangat dahsyat yang membuatkan saya sedar saya perlu mencari tempat perlindungan.

Saya mempunyai visa UK yang sah dari perjalanan kerja sebelum itu dan setelah diseludup keluar dari Syria ke Turki, saya menaiki pesawat ke London dan telah diberikan perlindungan pelarian pada 2016. Isteri dan anak perempuan saya- Nareeman, 17, dan Noorhan, 16- kemudiannya menyertai saya dari Turki, di mana mereka telah pun menunggu saya di sana.

Memandangkan kami boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, isteri, anak-anak perempuan dan saya dapat menetap di London tanpa sebarang masalah. Kami memilih Cardiff sebagai kediaman baru kami, selepas Manchester dan Birmingham, kerana kami gemar dengan suasana bandar kecil yang tenang.

Bandar ini menerima kedatangan kami dengan baik sekali. Selepas merasa ditolak oleh negara-negara Timur Tengah, Cardiff telah membuat kami berasa selamat. Kami datang dari situasi yang sangat sukar ke satu tempat yang kini kami selesa menggelarnya ‘rumah baru kami’.
Walaupun saya sukar untuk mencari pekerjaan di UK sebagai seorang guru, saya telah berjaya memulakan perniagaan saya sendiri.

Saya datang ke sini untuk mencari perlindungan dengan wang yang sangat sedikit: berpindah ke UK telah mengambil hampir semua simpanan yang kami miliki (rumah dan kilang kecil kami di Syria telah dibom). Tetapi dengan bantuan rakan-rakan dan saudara-mara, saya berjaya membuka sebuah restoran di Cardiff.

Restoran kami, Royal Coast Cafe, menyediakan serba sedikit suasana Syria untuk pelarian lain di Wales ini. Kebanyakan kakitangan adalah pelarian dari Syria yang memasak dan menghidangkan makanan Mediterranean dan Arab.

Saya gembira memberitahu dua anak perempuan saya telah dapat menyesuaikan diri dengan baik: mereka sedang menduduki A Level dan GCSE, dan Nareeman berharap untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang seni bina. Sementara itu, isteri saya pula menjaga anak lelaki kecil kami, yang kini berusia 18 bulan.

Walaupun begitu, ahli keluarga saya yang lain menempuh jalan yang sukar. Mohammed sering kali gagal untuk cuba tiba ke Jerman. Dia telah dua kali ditinggalkan untuk mati oleh penyeludup, sekali di hutan Romania dan satu lagi di Serbia.

Pada usia 16 tahun, dia menghabiskan hari-hari tanpa makanan atau air sebelum ditangkap oleh pihak berkuasa dan dihantar kembali ke kem pelarian di Bulgaria.

Dia dipukul oleh polis, menyaksikan rakan-rakan pelarian lain menderita dan terkandas sendirian di negara asing selama hampir setahun. Akhirnya, dia diberikan perlindungan pelarian di Bulgaria dan dapat menyertai abangnya di Jerman.

Sebaik sahaja kami menetap di Cardiff, Saleh dan Mohammed menyertai kami di UK pada tahun 2017, dengan masing-masing menaiki lori berasingan untuk tiba. Tiga bulan kemudian, Saleh diberi perlindungan, dipermudahkan kerana status pelajarnya di Jerman; Mohammed ditolak kerana pernah menjadi pelarian di Bulgaria.

Kini, Saleh mempunyai tempat dalam bidang kejuruteraan pesawat di Universiti South Wales; nasib Mohammed pula masih kabur.

Enam bulan yang lalu, pihak berkuasa menahan Mohammed dan menghantarnya ke pusat pemindahan imigresen berhampiran Oxford. Mereka mengancam untuk menghantarnya ke Bulgaria, kerana dia mempunyai status pelarian di sana.

Tetapi dia tidak mengenali sesiapa pun di sana: semua ahli keluarganya berada di sini. Kami sangat berharap kerajaan akan menerima rayuan kami untuk membenarkan dia tinggal di UK.

Ahli-ahli keluarga saya yang lain telah berjuang untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Britain.

Adik ipar saya dan suaminya, yang berpindah ke Newport dari Turki, di mana mereka telah melarikan diri dari perang, kurang fasih berbahasa Inggeris. Anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun, Abdul Razzaque, anak saudara saya yang dipaparkan dalam rancangan Kanak-kanak Pelarian Britain, mempunyai masalah otot tulang belakang dan ibu bapanya sukar untuk berkomunikasi dengan kakitangan hospital.

Mereka cuba belajar Bahasa Inggeris dan mengambil kelas tiga kali seminggu, tetapi Inggeris bukanlah bahasa yang paling mudah- saya sendiri menguasainya selepas hampir tiga dekad.

Kakak saya, yang kini telah stabil, masih tinggal di Syria, di mana perang terus meletus. Dia tidak mempunyai akses kepada air bersih dan mengalami banyak masalah.

Saya cuba menghubungi beliau setiap hari, tetapi, di kampung kecil tempat tinggalnya, rangkaian komunikasi sangat buruk sehingga saya selalu tidak dapat menghubunginya. Saya bernasib baik kerana mampu membantunya dengan wang dan ubat setiap bulan.

Walaupun keluarga saya sangat bertuah kerana telah menemui sebuah rumah di Cardiff, saya tidak boleh berhenti memikirkan tentang Mohammed. Perkataan ‘pelarian’ itu sendiri sukar dan ia melukakan hati apabila orang melihat saya sebagai seorang pelarian.

Saya tidak mahu menjadi pelarian. Saya mempunyai perniagaan saya sendiri, saya menyara keluarga saya sendiri, saya juga seorang pembayar cukai. Semua ini nampak seperti masih tidak mencukupi, tetapi saya berharap satu hari nanti keadaan akan berubah.

Penulis: Cara McGoogan / Penterjemah: Nordiana Ali / Sumber: The Telegraph

Kredit Gambar: Channel 4


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

tzkrh.com merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami