Berita

Ketakutan di Kampung Bedouin Yang Menentukan Nasib Negara Palestin

Oleh Tim Tazkirah  •  15 Aug 2018  •  6 min baca

Pemandu-pemandu di sepanjang lebuh raya empat lorong yang menghubungkan Jerusalem dan Jericho mungkin tidak perasan kehadiran kampung kecil Bedouin dengan 200 penghuni yang terletak di antara dua buah bukit. Khemah-khemah yang didirikan dari sisa kayu dan besi terpakai menjadi rumah kepada bekas keluarga nomad yang tinggal di sini setelah tentera Israel mengusir mereka dari padang pasir di selatan sejak tujuh puluh tahun yang lalu. Sesetengah penduduk bekerja di kilang yang dimiliki oleh penduduk Israel. Manakala yang lain menternak kambing dan biri-biri di kawasan berbatu yang panas terik di situ.

Tetapi penampilan sederhana kampung Khan Al-Ahmar di sini menjadi satu kepentingan kepada rakyat Palestin sebagai tanda perjuangan mereka- satu komuniti dengan lokasi yang begitu strategik, di mana jika mereka dipindahkan, masa depan untuk membentuk negara Palestin akan musnah.

Setelah bertahun-tahun menentang arahan Israel untuk memusnahkan kediaman sementara mereka yang dikatakan dibina secara haram di Tebing Barat, minggu lepas merupakan kemuncak bagi arahan pemusnahan tersebut.

Pasukan keselamatan telah mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai zon tentera yang tertutup dan menyekat wartawan dan diplomat dari memasukinya. Jentolak dengan pengiring tentera mula masuk dan meratakan tanah.

Di bahagian kampung yang lebih tinggi, Tahreer Abu Dahouk, ibu kepada empat orang anak berumur bawah 10 tahun, berdiri di dapurnya. Terdapat tong plastik besar biru untuk menyimpan air, periuk dan kuali digantung pada penyangkut baju, dan bumbung yang hitam akibat jelaga api memasak. “Kami tidur dan bangun dengan perasaan takut. Mereka serius kali ini,” katanya sambil melihat tentera pakaian seragam warna kelabu berlegar-legar di luar rumah.

Pada hari Rabu, apabila pasukan tentera Israel mula masuk, mereka telah mencederakan 35 orang rakyat Palestin dan menahan yang lain, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Seorang askar Israel juga dilaporkan cedera. “Peperangan telah bermula di sini,” kata Abu Dahouk, yang telah berkahwin di kampung itu 14 tahun yang lalu.

Di luar rumahnya terdapat sebuah taman kecil di tepi bukit, satu-satunya pokok delima di situ sudah mula berbuah. “Kami sudah selesa di sini,” katanya. “Kami tidak mahu pergi. Tinggalkan kami sendiri. Ini adalah tempat terbaik untuk kami.

Khan al-Ahmar adalah salah satu daripada beberapa komuniti di Tebing Barat yang menerima ancaman. Penduduk di situ tiba sebagai pelarian, manakala Israel membina penempatan di atas tanah mereka- lengkap dengan bekalan air dan elektrik yang memenuhi sekeliling kawasan bukit-bukau di situ.

Sebaliknya, suku Jahalin yang tinggal di Khan al-Ahmar dihadkan untuk menternak haiwan serta tidak diberikan kemudahan elektrik, air atau sistem pembetungan. Mereka diberikan tandas mudah alih, walaupun hakikatnya ia hanya merupakan satu kotak dengan lubang di lantai yang menyedihkan.

Rumah-rumah yang dibina telah dirobohkan kerana tidak mendapat kelulusan sedangkan adalah mustahil untuk orang Palestin memohon kebenaran di sana.

Sekitar 2km ke utara adalah penempatan Israel Kfar Adumim, yang mempunyai rancangan untuk diluaskan sehingga ke kawasan Khan al-Ahmar. Pada hari Khamis, penduduk Israel menegakkan bendera Israel di puncak bukit di situ sebagai tanda sokongan terhadap acara pemusnahan kampung yang akan dibuat.

Terdapat juga sekumpulan kecil mereka dari Kfar Adumim, telah menentang jiran-jiran tadi dan melobi untuk membenarkan orang Bedouin ini tinggal bersama-sama mereka.

Tetapi perjuangan ini lebih besar daripada antara dua komuniti sahaja. Kerajaan Palestin telah memberi amaran bahawa pemindahan kampung itu adalah sebahagian daripada usaha untuk meluaskan kawasan Israel di Tebing Barat.

Sebagai salah satu daripada beberapa tapak Palestin yang tinggal di timur Jerusalem (Baitul Maqdis), kemusnahannya akan menyumbang kepada penambahan penempatan Yahudi, yang akan menyekat Palestin sepenuhnya dari Tebing Barat. Langkah itu akan mengasingkan Baitulmuqaddis Timur, yang mana Palestin menuntutnya sebagai ibu negara mereka.

Peluasan pembinaan penempatan Israel di kawasan itu, sepanjang jalan menuju ke Laut Mati, akan membahagikan wilayah Palestin kepada dua, dengan memisahkan terus kawasan utara dan selatan.

Tidak akan ada lagi tanah Palestin untuk dibina sebuah negara, tetapi akan dipenuhi dengan tembok, jalan dan penempatan yang dibina oleh Israel.

Jika komuniti ini hilang, kawasan utara akan terpisah terus dari selatan,” kata seorang penduduk, Faisal Abu Dahouk, 43. Baginya, masa pemusnahan ini bukanlah satu kebetulan. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah disokong oleh pentadbiran Trump, yang telah mengisytiharkan ibukota Israel Baitulmaqdis dan menghentikan hubungan ke Palestin. Duta Trump ke Israel, David Friedman, adalah seorang peguam penyokong tegar Israel.

Mereka mengatakan OK kepada mereka (Israel),” kata Abu Dahouk tentang Trump dan Israel. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, terdapat usaha giat untuk memusnahkan di seluruh Tebing Barat, menyebabkan puluhan orang Palestin terpaksa berpindah.

Pihak berkuasa Israel mengatakan mereka telah menawarkan penduduk kampung di Khan al-Ahmar ke lokasi lain, walaupun sebenarnya hanya beberapa meter dari tempat pembuangan sampah, dan di kawasan bandar dengan bilik yang terlalu sempit.

Kerajaan Palestin menegaskan bahawa pemindahan secara paksa penduduk dari rumah mereka adalah satu jenayah perang. Dan kerajaan-kerajaan asing telah memberi amaran bahawa lokasi Khan al-Ahmar menjadikannya sangat penting untuk penyelesaian masalah dua negara yang genting.

Menteri Britain untuk Negara Timur Tengah, Alistair Burt, memberitahu Parlimen House of Commons minggu lalu bahawa perobohan itu “pada asasnya salah“. Setelah satu jam menerima asakan soalan dari perwakilan, menteri itu diberitahu bahawa kutukan dari negara lain tidak mencukupi dan tindakan selanjutnya, seperti sekatan ekonomi mengenai penempatan atau langkah-langkah untuk menyokong status negara Palestin, adalah sangat diperlukan.

Sebelum tindakan kerajaan Netanyahu memberikan penyelesaian untuk keadaan dua negara yang mustahil dari sudut geografi ini… ini adalah masa untuk Amerika Syarikat memimpin negara-negara utama dunia untuk mengiktiraf negara Palestin, dan melakukannya dengan segera sementara masih ada negara untuk diiktiraf,” kata Emily Thornberry, setiausaha Parlimen.

Tidak jelas jika tekanan antarabangsa telah berkesan. Lewat pada hari Khamis, mahkamah tinggi Israel memberikan injunksi sementara mengenai perobohan itu sehingga Rabu.

Selanjutnya adalah petisyen oleh penduduk kampung, yang terkini setelah beratus-ratus usaha selama bertahun-tahun untuk membantu komuniti ini. Pada tahun 2009, sebuah sekolah telah dibina dengan dana Kesatuan Eropah dari tayar kenderaan dan lumpur sebagai satu cara mengatasi masalah tiada kebenaran membina bangunan bersimen. Tetapi pihak berkuasa masih memerintahkan ia ditutup.

Di sekolah pada minggu lepas, kanak-kanak kecil masih bermain di taman kecil berumput palsu dan bergayut di buaian pada dahan pokok. Ada yang berkumpul di pagar sambil mengintip jentolak besar kuning yang sedang giat meratakan jalan di luar kampung.

Abu Dahouk duduk berdekatan. “Mereka membuat kami lemas dan takut di sini,” katanya.

Penulis: Oliver Holmes / Penterjemah: Nordiana Ali / Sumber: The Guardian
Kredit gambar: The Guardian


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

tzkrh.com merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami