Gaya Hidup

Ketahui Sangka Buruk Yang Dibolehkan

Oleh Natirah Azira  •  20 Jul 2020  •  2 min baca

Sangka buruk adalah hal yang dilarang dengan jelas dalam Islam. Hal ini kerana kita telah beranggapan yang bukan-bukan terhadap orang atau keadaan yang berlaku, sedangkan kenyataan mungkin adalah sebaliknya.

Lebih buruk lagi jika sangka tersebut sudah diberitahu kepada orang lain, maka ia berubah menjadi fitnah. Ketika itu, dua dosa sudah dilakukan – bersangka dan menfitnah. Ibaratnya kita mengada-adakan perkara yang mungkin tidak wujud.

Lihatlah betapa Islam sangat berhati-hati hatta pada perkara yang masih dalam fikiran. Islam ingin mencegah daripada perbuatan dosa termasuk perkara yang dilihat kecil. Allah berfirman bahawa sebahagian daripada sangka adalah berdosa. Seperti dalam Surah Al Hujurat, ayat 12;

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa…” (Surah Al-Hujurat 49:12)

Namun apabila disebutkan sebahagian daripada sangka adalah dosa, maka kita dapat memahami ada bahagian di mana sangkaan dibenarkan.

Perlu difahami bahawa sangka buruk yang dibenarkan adalah atas tujuan berhati-hati dan untuk keselamatan diri. Ia dinamakan hazar yang bermaksud hati-hati.

Contohnya seseorang dikehendaki bersangka buruk apabila melihat seseorang sedang memanjat pagar jirannya pada pukul 3 pagi. Berkemungkinan yang sedang memanjat itu adalah pencuri. Ia adalah sangka buruk yang tidak berdosa malah wajib bagi mencegah bahaya yang akan tiba.

Selain itu, jika seseorang itu bersangka pada keburukan, maka ia perlu juga dengan bukti, petanda-petanda yang kuat bagi menyokong sangka yang dirasakan.

Contohnya seorang isteri yang bersangka bahawa suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain, maka ia mestilah dengan bukti yang jelas dan bukan sangka buruk sahaja. Apabila keadaan sudah jelas maka barulah tindakan yang sebetulnya boleh diambil.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata lagi bahawa kewajipan seorang Muslim adalah tidak bersangka buruk kepada saudaranya sesama Muslim kecuali dengan bukti.

Secara keseluruhannya, prasangka mesti dijauhkan kecuali pada hal-hal yang dibolehkan seperti yang disebutkan di atas.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami