Gaya Hidup

Ketahui Maksud Zuhud Yang Sebenar

Oleh Natirah Azira  •  6 Jan 2020  •  3 min baca

Zuhud adalah lawan kepada perkataan gemar atau suka. Apabila kita gemar akan sesuatu, ia adalah suatu bentuk keinginan sedangkan zuhud adalah hilang keinginan kepada sesuatu.

Ibnu Qoyim pernah menyebutkan maksud zuhud yang didengari beliau daripada gurunya, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah:

“Zuhud adalah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat untuk kehidupan akhirat.” Dan wara’ adalah meninggalkan sesuatu yang dikhuatiri membahayakan bagi kehidupan di akhirat.”

Manakala Imam Al-Junaid, menyatakan bahawa orang yang zuhud tidak menjadi bangga kerana memiliki dunia dan tidak pula sedih kerana kehilangan dunia.

Zuhud Bukan Bermakna Perlu Miskin

Antara kesilapan sesetengah orang dalam memahami makna zuhud adalah dengan menganggap bahawa seorang yang zuhud adalah orang yang tidak mahukan dunia langsung – tidak ada harta, tidak ada tempat tinggal, tidak ada kenderaan, dan serba kurang.

Kaya atau tidak seseorang, juga bukan kayu ukur zuhud. Seseorang boleh menjadi zuhud sekalipun Allah memberikan kekayaan yang melimpah ruah kepadanya.

Lihat sahaja ramai nabi dan rasul yang diberikan kekayaan, pangkat malah kerajaan yang gah kepada mereka contohnya Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf dan Nabi Daud. Mereka masih lagi zuhud dan tunduk kepada perintah Allah SWT.

Bahkan Rasulullah SAW pernah menegah sahabat-sahabat yang berlebihan dalam beragama seperti tidak mahu berkahwin, tidak mahu tidur, tidak mahu makan daging, ingin berpuasa dalam jangka masa lama dan lain-lain.

Hakikatnya zuhud adalah amalan hati yang hanya diketahui oleh Allah sahaja. Ia tidak boleh dinilai hanya dengan penampilan luar. Zuhud boleh dicapai sekalipun seseorang itu miskin atau kaya.

Zuhud Adalah Bersederhana

Dalam bahasa mudahnya, zuhud adalah keadaan di mana hati kita tidak ada ‘attachment‘ atau ikatan yang kuat dengan perkara-perkara dunia – sehingga tidak timbul penyakit hati yang pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW iaitu ‘cinta dunia‘.

Ia juga sesuai dengan makna yang telah diujarkan oleh Imam Junaid di atas.

Jika bercakap banyak perkara yang tidak bermanfaat boleh mengundang dosa, maka dengan meninggalkannya dia telah menjadi zuhud dan wara’ dalam percakapan.

Jika hiburan yang melampau telah membuat hati lalai dan membahayakan urusan akhirat, maka dengan meninggalkannya, seseorang itu telah menjadi zuhud dalam perbuatannya. Begitulah seterusnya.

Amalan ini sesuai dengan kata-kata daripada Imam Ahmad,

“Zuhud ialah makan tetapi di bawah ukuran makan seperti umumnya, berpakaian tetapi lebih sederhana dari umumnya, dan bahawa dunia hanyalah hari-hari yang hanya sebentar”

Zuhud adalah meletakkan dunia sekadar di tangan dan bukan di hati.

Rahsia Zuhud Oleh Imam Hassan Al-Basri

Imam Hassan al-Basri pernah ditanya tentang rahsia zuhudnya terhadap dunia.

Lalu beliau menjawab,

“Aku yakin bahawa rezekiku tidak akan diambil orang lain, sehingga hatiku tenang dalam mencarinya. Aku yakin bahawa amalku tidak akan diwakilkan (dilakukan) oleh orang lain, sehingga aku sendiri yang sibuk menjalankannya.
Aku yakin bahawa Allah selalu memerhatiku, hingga aku malu jika Allah melihatku dalam maksiat,
Aku yakin bahawa kematian menantiku. Sehingga aku mempersiapkan bekal untuk bertemu Allah”

Tambah beliau lagi, antara perkara yang dapat membantu manusia menjadi seorang yang zuhud adalah dengan mengingati beberapa perkara ini:

1. Memahami bahawa dunia hanyalah bayang-bayang dan khayalan yang akan lenyap.
2. Memahami bahawa di sebalik dunia ada sebuah kehidupan yang lebih besar dan lebih agung kedudukannya iaitu kehidupan akhirat.
3. Memahami bahawa zuhud terhadap dunia tidak menghalang seseorang untuk mendapatkan sesuatu yang telah ditakdirkan oleh Allah untuknya di dunia.

Kesimpulan

Setelah mengetahui makna sebenar zuhud, bukankah untuk berusaha mengamalkan prinsip zuhud itu terasa lebih mudah. Ia suatu amalan yang normal dan mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja yang mahu mengamalkannya. Semoga kita diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus memperbaiki diri dan mencapai zuhud dalam kehidupan seharian. InsyaAllah.

Rujukan:

1. Almanhaj.or.id
2. Konsultasisyariah.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami