Keluarga

Ketahui Apa Itu Sunnah Kunyah (Panggilan Nama)

Oleh Syuhara Suriati  •  1 Sep 2020  •  3 min baca

Kunyah (disebut Kun-yah) bermaksud nama panggilan bermula pada perkataan ‘Abu (bapa)’ bagi lelaki dan ‘Ummu (ibu)’ bagi perempuan, ‘Ibnu’ (anak lelaki) dan ‘Bintu’ (anak perempuan).

Kunyah atau nama panggilan juga boleh digantikan kepada benda dan haiwan peliharaan seperti sahabat Nabi yang lebih dikenali sebagai Abu Hurairah (bapa kucing). Kebiasaannya, Kunyah diberikan kepada anak yang lebih sulung.

Rukhsah bagi kaum muslim baik lelaki atau perempuan memiliki nama kunyah ataupun panggilan.

Wanita yang tidak mempunyai anak boleh berkunyahkan kepada anak daripada ahli kerabat keluarga. Hal ini pernah berlaku kepada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Ummul Mukminin yang tidak mempunyai anak bersama Baginda SAW berkunyahkan kepada anak saudaranya Abdullah bin Zubair.

Abdullah bin Zubair anak kepada Asma’ binti Abi Bakr, kakak kepada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha dan kunyah beliau ialah Ummu Abdillah. Hal ini adalah berdasarkan hadis yang dinyatakan;

Maksud: “Daripada ‘Aisyah radhiallahu’anha bahawa dia pernah mengadu kepada Nabi bahawa semua sahabat beliau mempunyai panggilan. Maka Nabi Shallahu’alaihi wa sallam bersabda :

فَاكْتَنِي بِابْنِكِ عَبْدِ اللَّهِ

“Maka gelarlah (panggillah) dirimu dengan nama anak saudaramu (iaitu anak kepada kakaknya Asma’ binti Abi Bakr) iaitu Abdillah (Abdullah bin Zubair).” (Sunan Abu Daud no.4970, Sunan Ibn Majah hadith no.3739, shahih menurut Syaikh Nasiruddin Al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Shahihah no.132)

Kunyah boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja bahkan anak kecil juga boleh mendapatkan kunyah mereka sendiri. Ia termasuk antara adab islam yang harus diraih oleh semua lapisan masyarakat tanpa perlu mengira umur dan jantina. Rasulullah SAWpernah memberikan kunyah kepada anak kecil pemilik burung Nughair.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu dia berkata :

إِنْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيُخَالِطُنَا حَتَّى يَقُولَ لِأَخٍ لِي صَغِيرٍ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ

Maksud: “Nabi SAW biasa bergaul dengan kami, hingga Baginda bersabda kepada saudaraku yang kecil: “Wahai Abu Umair, apa yang dilakukan oleh Nughair (nama burung)?” (Shahih al-Bukhari no.6129 dan Shahih Muslim no.2150)

Kebanyakan masyarakat Arab telah menjadikan kunyah sebagai budaya turun temurun sehingga kita terkeliru antara nama asli mahupun panggilan.

Namun, ia telah menjadi suatu perkara yang normal kerana kehidupan mereka dihiasi dengan kepelbagaian bangsa yang mewarisi kunyah.

Banyak hikmah yang dilihat apabila seseorang itu memiliki kunyah, iaitu

#1 – Sebagai bentuk penghormatan kepada pasangan yang dikurniakan anak agar berasa lebih bertanggungjawap dalam mendidik disebabkan nama anak tertera pada setiap nama panggilan baik lelaki ataupun perempuan.

#2 – Tanda penghargaan pada yang belum berkahwin supaya menyedari bahawa kunyah bukan cuma terikat pada pasangan suami isteri tetapi juga pada orang yang belum berkahwin.

#3 – Haiwan juga antara makhluk Allah yang dikasihi. Berkunyahkan kepada haiwan peliharaan juga termasuk sunnah para sahabat seperti kisah Abu Hurairah digelar sebagai Bapa Kucing.

#4 – Keistimewaan ajaran islam itu sendiri yang menghadiahkan pelbagai panggilan unik pada kebanyakan penganutnya baik golongan muda ataupun tua.

Kesimpulan

Kunyah merupakan salah satu sunnah nabi dan para sahabat bahkan wujud dalam kalangan orang kafir dan yahudi seperti bapa saudara nabi, Abdul Uzza bin Abdul Muthalib kunyah kepada Abu Lahab.

Nabi Muhammad SAW sewaktu hidupnya juga turut mempunyai nama kunyah, iaitu Abul Qasim. Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah berpendapat bahawa seseorang boleh menggunakan kunyah Abul Qasim selepas kewafatan Baginda.

Maksud: “Julukan (kunyah) Abul Qasim dilarang pada zaman Nabi Muhammad shallahu ‘alaihi wa sallam dan diperbolehkan setelah beliau wafat. Sebab larangan itu dikhususkan pada semasa hidup beliau.” (Zadul Ma’ad, hal 114, Pustaka Azam, cetakan kedua Ogos 2000. Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah)

Mempunyai nama panggilan ataupun kunyah bukan lagi suatu perkara asing disisi masyarakat islam. Sejak zaman Baginda lagi telah wujud dan diamalkan perkara ini.

Namun, ia kurang diketahui, dilihat pelik dan jarang diketengahkan pada dunia hari ini. Jadi, apabila melihat akan perkara ini, tidak perlu lagi merasa janggal dengannya.

Mari mulakan nama kunyah!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Syuhara Suriati

Syuhara Suriati atau nama sebenar Suriati Munal merupakan seorang penulis dan pengulas buku. Terlibat lebih daripada 10 projek penulisan antologi dan anekdot. Penulis artikel dan pernah tersenarai artikel top 10 sebanyak 4 kali di Jejak Tarbiah. Karya beliau yang terbaharu berjudul 32 Tip Muslimah Meraih Pahala di dunia dan Akhirat, dan Jom Baca buku!

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami