Remaja

Ketahui 5 Pelan Tindakan Mahasiswa Bijak Sebaik Melangkah Ke Universiti

Oleh Alia Basirah  •  2 Jul 2017  •  4 min baca

Pada awal Ramadan yang lalu, pelajar pasca Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima berita gembira apabila pihak kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan senarai calon yang berjaya untuk mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh Malaysia.

Tahniah diucapkan kepada yang berjaya dan pastinya bakal mahasiswa yang mendapat tawaran itu berasa teruja untuk melangkahkan kaki ke IPTA. Penulis pasti, ramai bakal mahasiswa yang menanam azam untuk menjadi graduan berjaya apabila tamat pengajian kelak.

Justeru, penulis akan memperkenalkan lima tip penting untuk bakal mahasiswa merangka pelan tindakan apabila tiba di universiti kelak.

#1- Luruskan Niat Belajar

”Ilmu bukanlah barangan yang digunakan untuk mengejar pencapaian tetapi ilmu itu sendiri merupakan tujuan akhir suatu pencapaian”Prof Naquib Al-Attas

Dalam sistem pendidikan, kita sudah biasa dimomokkan supaya mendapat ‘straight A’ atau ‘4 flat’. Namun dalam falsafah pendidikan sebenar, kita dituntut untuk belajar kerana ilmu. Bila kita belajar kerana ilmu, pasti kejayaan akan mengikuti. Ulama-ulama silam sanggup merantau ke seluruh pelusuk dunia untuk mempelajari dan menyebarkan ilmu.

Mereka tidak melakukannya untuk mengejar jawatan atau pangkat. Buktinya, lihat sendiri karya-karya mereka.

Penulisan ulama Islam menjadi rujukan hingga kini. Tanamlah azam untuk menjadi seperti mereka. Mereka benar-benar menjadikan ilmu yang dipelajari mendatangkan manfaat untuk ummah. Bukan sekadar ingin menembusi pasaran pekerjaan seperti kita pada hari ini.

#2- Kenalpasti Sahabat Yang Positif

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mengatakan:

“Seseorang mukmin itu adalah cerminan kepada mukmin yang lain”[HR: Bukhari]

Pengaruh yang paling besar apabila kita melangkah ke IPTA adalah kawan. Jika di sekolah, kita masih berpeluang balik ke rumah selepas sesi persekolahan. Namun di IPTA, keadaannya berbeza.

Muka kawan berada di mana-mana sama ada di kafe, tandas, asrama dan dewan kuliah. Sebab itulah, di saat berjauhan dengan keluarga, kawanlah yang akan dicari ketika memerlukan bantuan, kawanlah yang akan dicari untuk mengadu nasib.

Justeru, bersahabatlah dengan teman yang berakhlak, berbudi pekerti mulia dan menyenangkan hati. Jika teman itu baik, nescaya impaknya pasti akan terkena jua pada kita dan begitulah sebaliknya.

Hubungan positif bersama rakan bukan sahaja akan mengeratkan silaturrahim malah memberikan kesan yang baik kepada prestasi akademik. Oleh itu, berhati-hatilah dalam memilihnya.

#3- Pilih Pensyarah Yang Ada Kredibiliti

“Guru itu ada tiga kriteria. Pertama, ada yang boleh diambil ilmunya sahaja. Yang kedua, boleh diambil akhlaknya sahaja. Dan yang ketiga, boleh diambil kedua-dua akhlak dan ilmunya”Ustaz Dr Zulkifli Al-Bakri

Di peringkat IPTA, mahasiswa mempunyai peluang untuk memilih pensyarah yang digemari bersesuaian dengan kursus yang diambil. Peluang ini tidak pernah wujud di peringkat sekolah. Dalam pemilihan pensyarah, penulis menggalakkan bakal mahasiswa memilih pensyarah yang kreatif menyuntik nilai Islam dalam disiplin ilmu moden yang dipelajari.

Bagi mengenali seseorang pensyarah, mahasiswa boleh bertanyakan pelajar senior atau berjumpa dan berbual sendiri dengan pensyarah terbabit. Perbualan akan membuatkan kita lebih memahami bagaimana gaya pemikiran pensyarah tersebut.

Pemilihan guru yang tepat sangat penting supaya pemikiran kita tidak dipengaruhi doktrin atau anasir jahat terutamanya yang bertentangan dengan Islam.

#4- Bergiat Aktif Dalam Persatuan

Sebaik-baik manusia ialah mereka yang bermanfaat kepada manusia lain[HR Ahmad]

Jadilah mahasiswa aktif. Jangan letakkan belajar dalam kepompong akademik sahaja. Pergilah meneroka dunia luar kuliah. Sertai persatuan yang boleh menggilap kemahiran insaniah kita.

Ingatlah, mengurus organisasi juga adalah satu ilmu, menulis kertas kerja untuk sesuatu projek juga adalah satu ilmu. Jadikan persatuan yang disertai menjadi wadah untuk kita mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah.

Contohnya jika kita pelajar jurusan kaunseling. Sekali-sekala, berpakatlah dengan rakan sekuliah untuk membuka reruai (booth) bagi menyediakan sesi kaunseling terbuka kepada pelajar yang ingin berkongsi masalah. Pengalaman yang diperolehi bukan sahaja menambahkan ilmu kita malah kita berupaya membantu sahabat yang melalui detik-detik sukar dalam hidup mereka.

#5- Berusaha Mengikuti Program-Program Agama

“Iman tanpa ilmu bagaikan lentera di tangan bayi namun ilmu tanpa iman bagaikan lentera di tangan pencuri”HAMKA

Kebanyakkan IPTA tidak menjadikan agama sebagai subjek wajib untuk sesebuah kursus. Oleh itu, sebagai pelajar muslim, kita harus mencari inisiatif untuk mempelajari agama. Ramai orang menyangkakan belajar agama bukan perkara penting. Walhal, ini adalah realiti yang salah kerana agama adalah ilmu yang mengajarkan kita prinsip kehidupan.

Lihatlah sebahagian mahasiswa hari ini. Otaknya bergeliga dalam akademik tetapi mengandungkan anak luar nikah. Inilah akibatnya jika prinsip agama tidak diikat dalam kehidupan.

Di IPTA, kita disajikan dengan pelbagai program. Sebaik-baiknya pilihlah program yang membantu mendekatkan diri kepada Allah. Ingatlah, walau sebaik mana pun gred yang dicapai, tetapi jika agama diremehkan, pasti ia menjadi sia-sia disisi Allah.

Kesimpulannya, Falsafah Pendidikan negara menggariskan empat aspek kecemerlangan iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Mahasiswa seharusnya berusaha untuk memenuhi keempat-empat kriteria ini agar kejayaan yang diperolehi menjadi lebih padu dan menyeluruh. Kualiti inilah yang harus disemai sejak mahasiswa melangkah masuk ke IPTA.

Membina kecemerlangan adalah satu proses. Proses ini memerlukan kesungguhan, pengorbanan dan kesabaran supaya matlamat yang diidamkan berjaya dicapai. Justeru, penulis menyeru kepada mahasiswa untuk memanfaatkan segala ilmu, program dan tenaga muda mereka bagi membina kualiti diri yang akhirnya mampu memberi pulangan lumayan buat ummah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Alia Basirah

Alia Basirah

Beliau merupakan graduan lepasan Universiti Utara Malaysia dalam bidang psikologi pendidikan. Seorang penulis yang gemar mengekspresikan idea melalui penulisan. Kini, beliau sedang bergiat aktif dalam penulisan buku dan pernah menulis artikel untuk beberapa majalah islamik tanah air.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami