Kesihatan

Ketahui 3 Sunnah Apabila Minum Susu

Oleh Natirah Azira  •  7 Sep 2020  •  2 min baca

Sunnah adalah setiap nilai yang ditunjukkan oleh Nabi SAW merangkumi aspek perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat khuluqiyyah (akhlak dan perilaku) serta sifat khalqiyyah (rupa fizikal).

Salah satu sunnah baginda dalam pemakanan adalah meminum susu.

Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terhasil dari dalam perutnya, yang lahir daripada antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.(Surah al-Nahl 16:66)

Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa di sebalik amalan minum susu itu pula ada sunnah lain yang tersedia.

#1- Mencampurkan Susu Dengan Air

Pada suatu hari Rasulullah SAW pernah diberi susu yang telah dicampur dengan air. Lalu baginda berkongsi pula susu tersebut dengan seorang Arab Badwi yang lain.

Para ulama mengulas bahawa tindakan mencampurkan susu dengan air itu sama ada untuk memperbanyakkan kandungannya, menghilangkan rasa masam atau untuk menyejukkan susu tersebut. Ini kerana, kebiasaannya susu segar yang diperah daripada haiwan ternakan adalah panas, ditambah pula dengan cuaca di kawasan itu yang panas.

#2- Membaca Doa Selepas Minum Susu

Rupanya ada doa khusus yang boleh dibaca selepas minum susu iaitu,

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ

Maksud: “Ya Allah berkatilah kami dengan apa yang ada di dalamnya dan tambahkanlah buat kami daripadanya”

Doa ini terkandung dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Abbas R.anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا أَعْلَمُ شَرَابًا يُجْزِئُ عَنِ الطَّعَامِ غَيْرَ اللَّبَنِ، فَمَنْ شَرِبَهُ مِنْكُمْ فَلْيَقُلْ : اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ، وَمَنْ طَعِمَ طَعَامًا فَلْيَقُلْ : اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ

“Tidak aku ketahui satu minuman yang dapat menggantikan makanan selain daripada susu. Sesiapa dalam kalangan kamu yang minum susu, hendaklah dia mengucapkan : ‘Allahumma barik lana fihi wazidna minhu’ (Ya Allah berkatilah kami dengan apa yang ada di dalamnya dan tambahkan buat kami daripadanya), manakala sesiapa yang makan makanan, hendaklah dia mengucapkan : ‘Allahumma barik lana fihi wa at’imna khairan minhu’ (Ya Allah berkatilah kami dengan apa yang ada di dalamnya dan berilah kami makanan yang lebih baik daripadanya).” (HR Ahmad, no.2569)

#3- Berkumur-kumur Selepas Minum Susu

Disunatkan juga untuk berkumur-kumur selepas minum susu bagi membersihkan mulut kerana susu bagi menghilangkan lemak atau rasa lekit yang ada.

Daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa :

أنَّ رَسولَ اللَّهِ ﷺ شَرِبَ لَبَنًا فَمَضْمَضَ، وقالَ : إنَّ له دَسَمًا

Maksudnya : “Rasulullah SAW telah meminum susu dan lalu baginda berkumur-kumur. Dan Baginda SAW bersabda : “Sesungguhnya susu mengandungi lemak” (HR Al-Bukhari, no.211)

Kesimpulan

Sungguhpun kini telah banyak cara moden yang ada untuk memproses susu ke dalam pelbagai bentuk dan rasa, namun amalan minum susu tetap satu sunnah yang akan berkekalan. Anda boleh sahaja mengamalkan mana-mana sunnah yang sesuai dengan keadaan.

Rujukan:

Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami