Ibadah

Ketahui 3 Jenis Ibadah Haji Yang Ada

Oleh Fizah Lee  •  11 Aug 2019  •  5 min baca

Setiap dari kita pasti menyimpan niat dan impian untuk sampai ke Baitullah tidak kiralah sama ada menunaikan ibadat Haji atau umrah.

Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaannya apabila diberi rezeki dan peluang untuk menjadi tetamu Allah suatu hari nanti.

Pasti bercampur baur perasaannya antara sebak dan gembira, seronok dan tenang dengan suasana di sana terutamanya apabila dapat bersua muka dengan Kaabah sendiri tanpa perlu melihatnya melalui gambar atau dibayangkan di kepala lagi.

Ibadat Haji merupakan antara rukun Islam yang kelima yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang mampu pada bulan Zulhijah, iaitu dimulai pada bulan Haji dengan rukun-rukun tertentu. Ia merupakan Fardhu Ain ke atas setiap Muslim.

Walau bagaimanapun, jika tidak mampu dan wujudnya kekangan lain seperti kewangan atau penyakit yang menghalang, maka ia adalah tidak mengapa.

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Mafhum: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Al-Imran, 3:97)

Manakala, umrah pula ialah ziarah. Ulama’ mentafsirkan ia sebagai tawaf di Baitullah dan Saie di antara Safa dan Marwah dengan berihram. Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu bulan Haji.

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa hukumnya adalah wajib atau fardu manakala, ada sebagian ulama’ lagi seperti Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa ia adalah sunat muakkad.

Muslim yang berniat untuk melakukan Haji perlulah menggali ilmu dengan sedalam-dalamnya mengenai ibadah yang bakal dilakukan bagi memperoleh Haji yang mabrur.

Yang paling penting ialah untuk membolehkan seseorang itu memilih jenis Haji dan miqat (batasan untuk memulakan dan mengakhiri ibadah Haji) yang bakal dilaksanakan agar tidak berlaku kekeliruan.

Ia juga untuk memberi peluang kepada jemaah bagi melaksanakan Haji sesuai dengan kemampuan, keadaan dan peluang yang ada pada mereka.

Terdapat tiga jenis ibadah Haji yang perlu diketahui dan boleh dipilih, iaitu:

#1 – Haji Ifrad

Ifrad yang berasal daripada perkataan Arab bermaksud sendiri atau satu. Ia juga bermaksud memisahkan sesuatu yang bergabung dengan menjadi sendiri.

Dalam erti kata lain, ibadah Haji dan umrah tidak dilakukan sekali. Jemaah akan melakukan ibadah Haji sahaja manakala umrah akan dilakukan sebelum atau selepas Haji.

#2 – Haji Tamattu’

Istilah tamattu’ bermaksud kesenangan atau bersenang-senang. Mengikut mazhab Syafi’e, Haji ini dilakukan dengan mengerjakan umrah dalam bulan Haji dan setelah selesai mengerjakan ibadah dan bertahallul, jemaah akan berihram pula untuk mengerjakan ibadah Haji di Mekah.

Melalui Haji ini, jemaah akan mula miqat, iaitu berihram sebanyak dua kali. Kali pertama ketika memulakan umrah dan kali kedua ketika menunaikan Haji.

Bagi jemaah yang mengerjakan jenis Haji ini akan dikenakan dam, iaitu dengan menyembelih haiwan korban seperti seekor kambing atau jika tidak mampu, maka wajib ke atasnya untuk berpuasa selama 10 hari.

Mafhum: “Kemudian, apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukan kemudian wajiblah ia) menyembelih dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haram (Mekah).” (Surah Al-Baqara, 2:196)

#3 – Haji Qiran

Qiran dari sudut bahasa bermaksud mengumpulkan. Dari segi istilah Haji, ia membawa makna penggabungan dua niat ibadat, iaitu umrah dan Haji dengan permulaan satu ihram.

Dalam erti kata lain, sambil menunaikan ibadat Haji, muslim itu akan menunaikan umrah dengan niat umrah dan Haji dalam satu waktu dan miqat ihram yang sama.

من أحرم بالحج والعمرة أجزأه طواف واحد وسعي واحد

Maksud: “Sesiapa yang berihram untuk menunaikan Haji dan umrah sekali gus, cukuplah dengan satu Tawaf dan satu Saie.” (Hadis Riwayat Tirmizi no. 148)

Jenis Haji Yang Diamalkan Baginda

Menurut Mazhab Maliki dan Syafi’e, mereka berpendapat bahawa jenis Haji Ifrad adalah yang paling afdal dilakukan dengan disokong oleh pendapat Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan beberapa orang sahabat Baginda lagi.

Selain itu, menerusi pandangan mereka juga dinyatakan bahawa Haji yang dikerjakan oleh Baginda ialah Haji Ifrad.

Manakala, menurut pendapat Mazhab Hanafi, Haji yang utama untuk dilakukan ialah Haji Qiran dan disokong juga oleh Sufyan At-Tsauri, Al-Muzani dan dari kalangan Mazhab Syafie serta Ibnu Munzir.

Ia juga disandarkan menerusi dalil ini yang bermaksud:

أَتَانِي اللَّيْلَةَ آتٍ مِنْ رَبِّي فَقَال : صَل فِي هَذَا الْوَادِي الْمُبَارَكِ وَقُل : عُمْرَةٌ فِي حَجَّةٍ

Maksud: “Telah diutus kepadaku utusan dari Tuhanku pada suatu malam dan utusan itu berkata; “Solatlah di lembah yang diberkati ini dan katakan; “Umrah di dalam Haji.” (Hadis Riwayat Bukhari no 1534)

Manakala, untuk pendapat yang terakhir adalah daripada Mazhab Hambali yang mengadakan Haji Tamattu’ ialah yang paling afdal dilakukan.

Di antara ulama’ lain yang mengatakan jenis Haji ini yang paling afdal ialah Imam Al-Hasan, ‘Atha’, Mujahid, Zaid, Al-Qasim dan Ikrimah. Mereka juga bersandarkan kepada riwayat yang dinyatakan oleh Ibnu Al-Abbas, Ibnu Al-Zubair dan juga Aisyah RA.

Ia dikatakan afdal juga kerana jenis Haji ini ialah yang paling mudah untuk dilakukan terutamanya buat jemaah Haji yang kurang berkemampuan.

Kesimpulan

Menurut Mazhab Syafi’e, ibadah Haji yang paling afdal dilakukan ialah Ifrad kerana ia tidak melibatkan dam secara syara’nya. Namun, tiada halangan buat muslim tersebut untuk memilih jenis Haji yang dilakukan.

Hal ini kerana, ibadah Haji perlu dilakukan mengikut kemampuan masing-masing. Oleh itu, wujudnya jenis-jenis Haji ini ialah untuk memberi keringanan dan juga pilihan buat jemaah Haji di seluruh dunia untuk beribadah kepada Allah.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
Jenis Haji
Panduan Jemaah Haji Dan Umrah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami