Gaya Hidup

Kesan COVID-19 Kepada Kesihatan Mental, Apa Perlu Buat

Oleh Azian Mohamed Isa  •  2 Apr 2020  •  5 min baca

Pakar psikologi dan kolumnis Psychology Today, Dr Chris Palmer dalam artikelnya yang bertajuk, ‘Mental Health Survival Guide to the Pandemic’ telah mengulas tiga ancaman terbesar yang boleh menyumbang kepada kesihatan mental kesan daripada pandemik COVID-19 iaitu kebimbangan, kebosanan dan kegelisahan.

Ancaman Kebimbangan

Menurutnya, ancaman kebimbangan ini dapat dilihat daripada dua sudut. Pertama dari sudut penyakit COVID-19 itu sendiri. Ia berkait rapat dengan keupayaan melindungi diri, ahli keluarga dan komuniti daripada dijangkiti.

Individu itu akan jadi lebih sensitif dengan kesihatan tubuh badan terutama sekali apabila mempunyai gejala batuk dan demam. Kita mula jadi paranoid. Apakah aku sudah dijangkiti? Perlukah aku bergegas ke klinik dan disaring? Adakah ahli keluarga turut dijangkiti?

Dalam masa yang sama, kita turut disumbat dengan lambakan maklumat menerusi media sosial. Berita-berita yang menunjukkan pembelian panik dalam kalangan penduduk sekitar, terutama sekali barang-barang keperluan asas seperti roti, mi segera, tisu, hand sanitizer yang memenuhi troli.

Kita mula bimbang, adakah bekalan ini mencukupi? Apakah aku ketinggalan dalam menyediakan keperluan-keperluan ini?

Dalam mengulas kekalutan dan kebimbangan yang berlaku, seorang pakar psikiatri, Dr Ahmad Rostam Md Zin berkata, perasaan bimbang dan takut itu adalah perkara normal yang dihadapi oleh semua orang. Dalam situasi dan krisis wabak COVID-19, secara psikologinya manusia akan berada dalam zon kecemasan.

Sel otak akan mengesan stimulus ini sebagai bahaya dan respon yang biasa ialah sama ada untuk lawan atau lari (fight-or-flight). Oleh hal yang demikian kita cenderung untuk terdedah kepada risiko kekeliruan, salah faham dan tersalah maklumat. Oleh sebab itu adalah penting untuk bertenang dan tidak terburu-buru.

Dalam hal kebimbangan untuk mendapat jangkitan, ada tiga soalan utama yang akan ditanya oleh petugas kesihatan sebaik sahaja anda pergi ke klinik kesihatan atau hospital. Menurut Dr Nur Izyan Hanisah yang berkongsi panduan itu di akaun Facebooknya:

Soalan pertama, adakah anda mengalami mana-mana simptom seperti demam, batuk, sakit tekak atau sukar bernafas?

Soalan kedua, adakah anda berhubung dengan individu yang positif atau disyaki COVID-19?

Soalan ketiga, adakah anda pergi ke tempat wabak atau melawat ke luar negara?

Jika jawapannya ya pada soalan pertama dan (kedua atau ketiga), anda akan dimasukkan ke dalam wad dan sampel hidung dan tekak akan diambil. Jika ya pada soalan kedua dan ketiga, anda akan diarahkan untuk ke hospital tertentu untuk diambil sampel tetapi perlu menjalani kuarantin. Jika jawapannya tidak pada soalan pertama, kedua dan ketiga, anda tidak perlu risau dan tidak perlu untuk ke klinik atau hospital.

Ancaman kebimbangan yang kedua ialah dari sudut ekonomi. Di Malaysia, sektor yang paling teruk terjejas berikutan pandemik ini ialah pelancongan, industri kecil dan sederhana serta pengangkutan.

Dalam bulan Januari hingga Februari 2020 sahaja, kerajaan Malaysia menganggarkan kerugian sebanyak RM3.37 bilion dalam sektor pelancongan. Banyak perniagaan yang tidak dapat bertahan, ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan. Bagaimana mahu meneruskan kehidupan sekiranya bil-bil utiliti, rumah dan kereta gagal untuk dilunaskan?

Dalam hal ini, kerajaan Malaysia melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN telah memperuntukkan sebanyak RM250 bilion dengan matlamat utamanya iaitu melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.

Inisiatif ini merupakan tanggung jawab kerajaan membantu rakyat dalam saat sukar dan ketidakpastian. Kerajaan harus terkehadapan dalam mengurus keperluan rakyat. Sekiranya gagal, ini akan membawa kesan kebimbangan yang berpanjangan dan berlarutan sehingga boleh menyebabkan kemurungan.

Ancaman Kebosanan dan Kegelisahan

Manusia adalah makhluk yang hidup dengan rutin. Saat mula membuka mata, kita terikat dengan jadual harian untuk solat, menghantar anak ke sekolah, melunaskan tanggung jawab di pejabat, mengambil anak pulang, makan malam dan tidur. Dan rutin ini diulang untuk hari esok dan hari-hari seterusnya.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, rutin harian terganggu. Jadual harian yang selama ini mengikat seseorang itu untuk menjadi produktif dengan tugasan demi tugasan telah terjejas. Masa yang dahulunya dihabiskan di luar rumah, kini tertumpu di rumah.

Ramai yang akan jadi bingung dengan masa yang banyak terluang ketika berada di rumah. Kalaupun ada tugasan untuk diselesaikan, kepuasan untuk menyempurnakannya tidak sama seperti hari-hari biasa di pejabat. Lama-kelamaan, perasaan bosan akan datang membelenggu.

Oleh hal yang demikian, seseorang itu juga akan cenderung untuk melayari media sosial untuk mengatasi perasaan bosan. Namun, melayari internet tanpa had dan disogokkan dengan maklumat yang adakalanya tidak sahih, menjadikan seseorang itu lebih gelisah.

Dalam hal ini, Dr Ahmad Rostam Md Zin menggariskan empat panduan untuk mengatasi masalah kebosanan dan kegelisahan.

Panduan Pertama

Panduan yang pertama ialah dengan mewujudkan dan mengekalkan rutin harian. Kekalkan rutin pada hari-hari biasa di rumah. Sebagai contoh, jika pukul 8 hingga 9 pagi itu ialah jadual untuk anda belajar, pastikan anda bersedia dan berada di meja belajar anda. Dengan adanya jadual harian, ia dapat mengelak anda daripada tersasar dengan aktiviti yang tidak bermanfaat.

Panduan Kedua

Panduan yang kedua ialah dengan mengawal penggunaan media sosial. Hadkan masa untuk melayari internet. Tapis maklumat dan berita yang tidak betul. Jangan percaya kecuali berita yang sahih daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Panduan Ketiga

Panduan yang ketiga ialah dengan mengelak penyebaran maklumat kepada sesiapa sahaja walaupun berita itu dirasakan sangat penting. Adakalanya berita yang sama membawa kepada penerimaan yang berbeza. Pada kita mungkin maklumat tersebut tidak menimbulkan apa-apa, namun bagi orang lain, ia boleh menimbulkan perasaan takut dan gemuruh.

Panduan Keempat

Panduan yang keempat ialah mengubah minda (mindset shift) semasa pandemik. Tempoh PKP ialah tempoh untuk memutuskan rantaian penularan wabak bukannya tempoh berkurung di rumah hingga tidak boleh ke mana-mana. Dengan mematuhi perintah ini, anda dan keluarga terhindar daripada risiko penyakit COVID-19.

Ini adalah satu tindakan yang wajar dan efektif dah seharusnya anda perlu berbangga kerana anda ialah seorang rakyat Malaysia yang bertanggung jawab.

Panduan Kelima

Panduan yang kelima ialah dengan menguatkan kebergantungan kita kepada Allah. Apa-apa yang berlaku di atas muka bumi ini adalah di bawah ketentuan dan takdir Allah dan kita wajib beriman dengannya. Teruskan berdoa agar Allah angkat musibah yang kita hadapi saat ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Juga seorang penulis yang telah menerbitkan lima buah buku di bawah Galeri Ilmu

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami