Inspirasi

Kesakitan Mengajar Kita Tentang Kebebasan

Oleh Natirah Azira  •  13 Jan 2019  •  3 min baca

“Aku rasa tak adil sebab dia tak rasa sakit yang sama macam mana aku rasa”

Pesanan ringkas itu saya baca berulang kali. Dalam diam, saya berdoa semoga suatu saat nanti, hatinya bisa sembuh.

Persoalan tentang hal yang satu ini kerap kali muncul di sela-sela kehidupan kita. Soal disakiti, dilukakan dan bagaimana untuk memaafkan. Saya tahu tidak mudah, saya juga pernah merasainya. Tetapi saya juga yakin ia tidak mustahil.

Biasanya kita sakit dan terluka apabila hal yang kita sayang hilang dari genggaman kita. Seperti kanak-kanak yang mainannya dirampas, mereka pasti menjerit dan menangis. Ia tindak balas normal yang akan berlaku kepada seorang manusia. Namun di sebalik perkara yang terjadi ini, ada hal yang lebih penting perlu kita tanyakan pada diri; “Mengapa kita rasa terlalu sakit?”

Inilah langkah pertama menuju kesembuhan iaitu JUJUR DENGAN DIRI SENDIRI.

Jujurlah dengan diri sendiri- mengapa kita rasa terlalu sakit? Adakah sebabnya kita telah dikhianati? Jika benar dia mengkhianati, masalahnya pada dia atau kita? Adakah sejak dari awal kita boleh menjangkakan namun kita sekadar menutup mata?

Adakah kerana kita dibenci? Adakah kerana kita tidak akan mendapat lagi kasih sayang dan perhatian yang diberikan selama ini? Adakah tanpa dia, kita sudah tidak boleh bahagia? Adakah kita hanya memandang bahagia itu wujud jika orang yang kita sayang ada dalam hidup kita?

Tanyalah seberapa banyak soalan yang mampu kita tanyakan pada diri. Minda kita perlu diajar berfikir dengan lebih rasional dan tidak hanya tenggelam dalam rasa yang tidak berkesudahan.

Ya, dia barangkali bersalah dalam hal ini. Jadi, apa selepas itu? Terus-terusan menyalahkan tidak akan membawa kita kemana. Percayalah bahawa Allah itu adil, dan Allah ada banyak cara untuk memberi pengajaran kepada orang yang telah menyakiti kita.

Jika antara kita dan dia masih boleh bersemuka dan berkomunikasi, maka ambil lah masa untuk melepaskan segala yang terbuku. Jika perlu marah, menangis, maka lakukanlah. Seterusnya, kita perlu menutup kisah itu selama-lamanya. Luka juga tidak boleh sembuh jika kita terus-terusan menyentuhnya.

Di Mana Kita Letakkan Perkara Yang Kita Sayang: Di Hati Atau Di Tangan?

Apabila bercakap soal ini, saya suka mengulang semula apa yang disebutkan oleh Yasmin Mogahed dalam bukunya Reclaim Your Heart. Beliau menekankan tentang pentingnya untuk kita mengetahui di mana telah kita letakkan perkara yang kita sayang- di hati atau sekadar di tangan.

Jika sakit yang kita rasa itu terlalu kuat, maka ketahuilah bahawa kita telah silap meletakkannya di hati. Harta, orang atau apa sahaja yang kita sayang sebenarnya bersifat dunia, mereka milik dunia, maka hal-hal dunia tempatnya bukan di hati.

Hal-hal dunia bersifat sementara. Ia boleh datang dan pergi. Ianya sekadar pinjaman untuk kita daripada Tuhan. Hakikatnya, ia hanya diberikan sebagai alat untuk kita mendekatkan diri kepada Tuhan.

Jika kita sudah terlalu menyayangi apa yang diberi melebihi Allah Yang Memberi, maka wajar bukan untuk ia diambil semula daripada kita? Jika apa yang diberi membuatkan kita semakin jauh daripada Tuhan, maka wajar bukan kita kehilangannya?

Kesakitan Mengajar Kita Tentang Kebebasan

Cubalah kita renung kembali ke dalam diri. Bagaimana kesakitan yang pada awalnya hanya memberi kita sakit akhirnya telah membebaskan kita daripada keterikatan kepada orang dan benda yang kita sayang.

Kita jadi lebih berani mencuba dan melakukan suatu yang baru. Kesakitan rupanya telah berjaya membuka mata kita. Akhirnya kita mampu melihat dunia ini dari sisi lain yang tidak pernah kita lihat sebelumnya.

Percayalah, kita akan menjumpai orang lain yang lebih tahu menghargai dan menyayangi, dalam masa yang sama kita juga lebih bijaksana menilai apa yang datang dan tidak lagi meletakkan apa yang kita sayangi di hati.

Bersederhana – itulah kuncinya dalam apa pun yang kita lakukan. Jika sayang, kita tidak menyayangi secara berlebihan, dan andai kita tidak menyukai sesuatu, kita tidak sampai membenci.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami