Inspirasi

Kerana Iman, Dia Dilamar Khalifah

Oleh Marina  •  8 May 2017  •  3 min baca

Ingatkah lagi kita dengan kisah seorang anak perempuan yang menghalang ibunya daripada mencampurkan susu dengan air pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab?

Tahukah anda, siapakah anak perempuan itu? Apa yang berlaku ke atas dirinya? Terdapat kisah menarik mengenai dirinya yang wajar dikongsikan bersama.

Suatu hari, Khalifah Umar bin Al-Khattab menjalankan rondaan di sekitar Madinah bersama Abdullah bin Zubair bin Aslam. Perjalanan itu jauh dan agak memenatkan, lalu mereka berhenti sebentar dan bersandar di tepi dinding sebuah bangunan.

Tiba-tiba, mereka terdengar suara seorang wanita berkata kepada anak perempuannya, “Puteriku, campurkanlah susu itu dengan air.”

“Wahai ibu, apakah ibu tidak mendengar apa yang disampaikan oleh Amirul Mukminin?” jawab puterinya itu.

“Apakah yang disampaikannya, wahai anakku?” Tanya ibunya ingin tahu.

Lalu, anaknya menjawab, “Amirul Mukminin berkata bahawa susu tidak boleh dicampur dengan air.”

“Lakukan saja puteriku, Umar dan orang-orangnya tidak mungkin tahu dan tidak melihat akan apa yang kita lakukan ini.” Jawab ibunya lagi.

Puterinya itu membalas lagi, “Wahai ibu, tidak patut bagiku untuk mentaatinya di depan khalayak, sedangkan di belakangnya ingkar. Juga, sesungguhnya Allah itu ada dan Dia Maha Melihat.”

Sambil mengamati perbualan dua beranak itu, Khalifah Umar bin Al-Khattab berbisik kepada Aslam,
“Wahai Aslam, tandakan pintu rumah ini dan kenalilah tempat ini.”

Kemudian, mereka terus bergerak meninggalkan tempat itu dan meneruskan perjalanan meninjau keadaan kota Madinah pada malam hari.

Menjelang pagi, Khalifah Umar memanggil Aslam dan berkata, “Wahai Aslam, pergilah ke tempat persinggahan kita semalam. Kemudian, carilah wanita dan anak perempuannya itu. Ambil tahu mengenai mereka. Apakah kedua-duanya mempunyai suami?”

Lalu, Aslam pun berangkat menuju ke tempat yang dimaksudkan. Maka tahulah Aslam, bahawa pemilik rumah itu ternyata seorang wanita yang ketiadaan suami bersama seorang anak perempuannya yang masih belum berkahwin. Dan, mereka hidup dalam keadaan miskin.

Aslam pun pulang lalu mengkhabarkan hal tersebut kepada Khalifah Umar. Setelah mendengar perkhabaran tersebut, Khalifah pun memanggil putera-puteranya lalu berkata, “Adakah di antara kalian yang ingin bernikah?”
Lalu, Ashim menjawab, “Ayah, aku belum beristeri, nikahkanlah aku.”

Maka, tanpa berlengah Khalifah Umar pun meminang anak wanita yang berhati mulia itu dan dinikahkannya dengan anaknya, Ashim.

Melalui pernikahan yang mulia ini, maka lahirlah seorang puteri bernama Laila yang kemudiannya membesar dan berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan; seorang Khalifah pada masa pemerintahan Umaiyah sehingga melahirkan pahlawan Islam yang hebat, iaitu Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Ternyata, benih keimanan yang ada dari dalam diri anak wanita itu bercambah sehingga melahirkan personaliti yang hebat dalam dunia Islam. Sesungguhnya, keimanan itu bukanlah boleh diperdagangkan sekalipun dalam hal yang kecil. Ini kerana nilai keimanan itu sendiri terlalu tinggi untuk digantikan dengan yang lain.

Semoga kisah ini menjadi inspirasi kepada kita semua, terutama buat para peniaga agar berlaku jujur dan telus dalam menguruskan perniagaan. Janganlah hanya kerana ingin mengejar kemewahan dan keuntungan, segala aspek perniagaan yang diajarkan Rasulullah SAW itu tidak diambil peduli.

Moga diri kita terhindar daripada memakan sesuatu hasil yang haram daripada tangan-tangan kita sendiri. Ingatan bersama, wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami