Gaya Hidup

Kerana Hidup Adalah Cantuman Pilihan-Pilihan

Oleh Tim Tazkirah  •  15 May 2018  •  5 min baca

Orang ramai semakin memenuhi ruang legar kafeteria. Pemandangan biasa pada waktu tengah hari.

Namun, dia kelihatan berfikir panjang apabila saya selesai menyampaikan ‘ceramah’ dan ‘leteran’ kepadanya.

“Jadi kenapa awak menukar bidang dari pengajian Islam ke Psikologi”

Saya tersenyum kembali dengan soalannya.

“Pilihan yang saya buat bukan kerana satu sebab, bahkan ia terhasil dari cantuman-cantuman sebab serta perjalanan mencari kekuatan yang bukan sekejap”

Teruslah Bergerak

Daripada pilihan kepada pilihan, daripada keputusan kepada keputusan. Jika diajukan kepada anda apakah keputusan yang paling sukar yang pernah anda ambil, pasti setiap daripada kita punyai kisah yang tersendiri.

Sama ada topiknya seputar isu pelajaran, pekerjaan, perkahwinan atau sehingga ke sekecil-kecil perkara seperti ingin memilih menu apa untuk makan tengah hari pada hari ini. Ia tetap suatu pilihan.

Ada orang yang kita lihat cukup mudah membuat pilihan. Akibat atau kesannya nombor dua.

Ada orang yang cukup sukar membuat sesuatu pilihan. Segala aspek, sisi, sebab, akibat diambil kira kesemuanya.

Jika boleh dilihat ke dalam kepala, mungkin minda sudah seperti kilang yang sedang memproses kesemua bahan untuk menghasilkan suatu produk yang bernama ‘keputusan’.

Kedua-duanya tidak salah, bahkan itulah proses minda yang biasa kita lakukan sebagai seorang manusia. Adakala ‘automatik’, tidak perlu berfikir banyak. Ada masa perlu difikir mendalam apabila melibatkan keputusan yang besar dan penting.

Apa pun pilihan dan keputusan yang kita ambil, percayalah ia bukan suatu destinasi. Kita akan bergerak daripada satu pilihan ke pilihan lain pula.

Proses menilai dan menimbang tara berlaku selagi mana kita masih bernafas dan otak kita masih mampu berfungsi dengan baik.

Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa pilihan dan keputusan yang pernah kita buat dahulu yang telah membawa kita kepada keadaan yang sekarang. Dan pilihan yang kita buat pada masa sekarang pula akan membawa kita kepada suatu keadaan pada masa akan datang.

Segalanya akan semakin menuju kepada suatu titik temu pengakhiran. Seperti dahan kayu yang bercabang, akhirnya penghujungnya adalah pucuk yang paling tirus nun di puncak.

Cuma, persoalan yang mungkin kerap berlegar dalam kepala adalah; Betulkah keputusan yang kita ambil? Inikah yang terbaik? Bagaimana kalau pilihan yang lain lebih baik?

Soalan-soalan sebegini juga adalah suatu yang fitrah bagi manusia. Hati kita berbolak balik kembali walaupun sudah membuat keputusan.

Kita rasa kita memerlukan suatu jaminan tentang suatu perkara. Kita perlukan sedikit tanda bahawa keputusan yang kita buat adalah betul. Sabda Rasulullah SAW;

إِنَّمَا سُمِّيَ الْقَلْبُ مِنْ تَقَلُّبِهِ، إِنَّمَا مَثَلُ الْقَلْبِ كَمَثَلِ رِيْشَةٍ مُعَلَّقَةٍ فِى أَصْلِ شَجَرَةٍ يُقَلِّـبُهَا الرِّيْحُ ظَهْرًا لِبَطْنٍ -. رواه أحمد
“Hati dinamakan qolb karena sifatnya yang cepat berubah. Hati itu bagaikan bulu (ayam) yang tergantung di atas sebuah pohon, yang dibolak-balikan oleh angin sehingga bahagian atas terbalik ke bawah dan bahagian bawah terbalik ke atas.” Hadis Riwayat Ahmad

Dalam riwayat lain juga Rasulullah SAW bersabda bahawa hati manusia lebih cepat berubah daripada air yang mendidih.

لَقَلْبُ ابْنِ آدَمَ أَسْرَعُ تَقَلُّبًا مِنَ الْقِدْرِ إِذَا اسْتَجْمَعَتْ غَلَيَانًا. رواه أحمد
“Sesungguhnya hati anak cucu Adam lebih cepat perubahannya dari cerek yang berisi air mendidih.” Hadis Riwayat Ahmad

Keputusan Bukan Hanya Tentang Tepat Dan Betul

Mungkin kita terlupa bahawa hidup bukanlah hanya tentang tepat atau betul. Tepat dan betul pada penilaian kita tidak bermakna ianya tepat dan betul pada penilaian Allah.

Secara peribadinya saya merasakan bahawa apabila Allah meredai dan memudahkan perjalanan kita membuat keputusan, maka itu sudah pun dikira sebagai suatu yang ‘betul’.

Sekalipun akibatnya selepas itu tidak seperti yang kita sangka. Ia tetap betul. Mengapa?

Pertama, kerana kita sudah berdoa mengharapkan dibuka jalan dan berusaha sesungguhnya kerana Allah. Maka apapun yang terjadi segalanya adalah dari Allah.

Kedua, kerana pilihan yang kita buat itu tidak terhenti di situ. Masih banyak jalan dan cabang yang akan kita lalui di hadapan, yang pengakhirannya Insya Allah seperti yang kita idamkan. Firman Allah yang bermaksud;

“Dan tidaklah kami (Jibril) turun, kecuali atas perintah Tuhan-mu. MilikNya lah segala yang ada dihadapan kita, yang ada dibelakang kita dan segala yang ada di antara keduanya, dan TuhanMu tidak lupa” Surah Maryam 19:64

Saya percaya Allah akan menunjukkan jalan bagi mereka yang mencarinya kerana itulah kita disarankan untuk sentiasa melakukan solat sunat Istikharah dalam apa jua urusan sekalipun. Supaya langkah kita sentiasa dipandu dengan keputusan-keputusan daripada Allah sendiri.

Pilihan Memerlukan Kekuatan Dan Penyerahan Total

Antara kekuatan untuk membuat pilihan dan kekuatan untuk teguh dengan pilihan, yang manakah yang lebih berat? Bagi saya kedua-duanya.

Bagi membuat pilihan kita memerlukan kekuatan, dan untuk tetap setia dengan pilihan yang telah dibuat memerlukan kekuatan yang lain pula, bahkan mungkin memerlukan pula kesabaran untuk tempoh yang lama.

Jika kita hanya bergantung kepada perancangan yang dibuat semata mungkin kita akan lemah dan jatuh saat cabaran datang sebagai penghalang.

Namun jika kita melakukan penyerahan total atau tawakal kepada Allah sepanjang tempoh tersebut, Insya Allah kekuatan akan tumbuh perlahan-lahan.

Perlu diingat juga bahawa kekuatan bukan suatu perkara yang tetap dan tidak berubah. Seperti pohon yang tumbuh ia perlu sentiasa disiram dan dibaja, jika tidak pasti akan layu dan mati.

Boleh jadi saat ini kita merasa kuat, boleh jadi 5 saat lagi kita hilang semangat atau ‘lost’. Tetapi dengan usaha dan doa yang berterusan, Allah akan menumbuhkan kekuatan dalam jiwa kita InsyaAllah.

Kesimpulan

Hidup adalah cantuman pilihan-pilihan yang kita lakukan sepanjang perjalanan. Titik pengakhirannya adalah kematian dan kembali semula ke tempat asal kita.

Semoga Allah memberikan kebijaksanaan kepada kita dalam menilai sesuatu perkara, juga kekuatan untuk membuat keputusan yang sewajarnya dan kekuatan yang paling murni adalah keteguhan hati dalam melakukan ketaatan kepada Allah.

اَللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوْبِ صَرِّفْ قُلُوْبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
“Wahai Zat Yang Memalingkan hati, palingkanlah hati kami
kepada ketaatan kepada-Mu!” Riwayat Muslim


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

tzkrh.com merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami