Gaya Hidup

Kenyang Dalam Keberkatan

Oleh Saodah Lasim  •  10 May 2021  •  6 min baca

Alhamdulillah. Kini masih berada dalam bulan mulia, bulan Ramadan. Semoga kita semua terus bersemangat untuk melaksanakan fardu puasa dalam bulan ini, dan semoga amal ibadat kita diterima Allah s.w.t. Insya-Allah.

Antara yang penting dalam bulan Ramadan mahupun bukan bulan Ramadan adalah makan dan minum. Apabila berada dalam bulan puasa, kita gembira menunggu waktu berbuka. Ini adalah benar kerana berbuka puasa adalah salah satu kegembiraan bagi orang yang berpuasa.

“Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhan-nya.” (Hadis riwayat Tirmizi, 696)

Jika bukan berada dalam bulan puasa, kita akan menuruti jadual makan yang normal iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Selain itu, ada brunch, supper dan lain-lain kudap-kudapan.

Allah s.w.t berfirman, maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas.” (Al-A’raf: 31)

Dalam soal makanan, tidak dinafikan kita perlu makan dan kita perlu minum. Makanan dan minuman itulah yang membekalkan tenaga untuk menjalankan aktiviti seharian seperti bernafas, berdiri, duduk, menonton TV, tidur dan sebagainya. Tubuh kita juga perlukan zat-zat penting, contohnya untuk pertumbuhan tubuh dan sistem imunisasi.

Sebagai contoh, selain mengenyangkan, ada jenis-jenis makanan yang dapat meningkatkan mood, untuk kecerdasan minda dan untuk membina otot. Walaupun demikian, janganlah kita berlebih-lebihan dalam pengambilan makanan dan minuman.

Di sini, saya ingin kongsikan kisah iblis berdialog dengan Nabi Yahya a.s.

NABI YAHYA A.S

Nabi Yahya a.s ialah anak kepada Nabi Zakaria a.s.

Setelah berpuluh-puluh tahun berkahwin, Nabi Zakaria dan isterinya masih belum dikurniakan anak. Usia baginda semakin lanjut menjangkau lebih 90 tahun, namun keinginan untuk mendapatkan anak tidak pernah pudar di hati baginda suami isteri.

Bagi Nabi Zakaria a.s, dia amat khuatir sekiranya tidak ada waris yang akan menggantikannya menyampaikan ajaran Allah SWT kepada kaumnya setelah kewafatannya kelak.

Walaupun sudah sekian lama menanti dan berharap, baginda tetap bersabar dan terus memanjatkan doa ke hadrat Ilahi tanpa putus asa. Akhirnya, doa baginda dimakbulkan sebagaimana firman Allah s.w.t dalam al-Quran, surah Maryam ayat 7. 

“Wahai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu. Kamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia.”

DIALOG DI ANTARA NABI YAHYA A.S DAN IBLIS LAKNATULLAH

Dari Ibnu Abi Dunya, dari Wahab bin al-Ward, pada suatu ketika dimaklumkan bahawa iblis laknatullah telah datang bertemu Nabi Yahya a.s. Iblis telah berkata, “Sesungguhnya aku ingin memberimu nasihat.”

Nabi Yahya a.s menjawab, “Kamu bohong! Tidak usah kamu nasihatkan aku, tapi beritahulah padaku tentang anak cucu Adam.”

Lalu sang iblis berkata, “Anak cucu Adam di sisi kami tergolong kepada tiga golongan. Bahawasanya satu golongan daripada mereka, mereka adalah golongan yang sangat kuat terhadap kami. Kami mengujinya dan berjaya menguasainya, kemudian mereka akan menghilangkannya dengan istighfar dan bertaubat. Dengan itu mereka telah merosakkan segala usaha kami. Kemudian kami bersiap sedia terhadapnya namun mereka juga bersiap sedia. Dan kami tidak memperoleh daripadanya apa-apa pun daripada hajat kami. Oleh itu kami dalam keadaan bermasalah terhadap golongan ini.

Bagi golongan yang kedua pula, mereka ini dalam genggaman kami sepertimana bola di tangan anak-anak kamu, boleh dipermainkan pada bila-bila masa yang kami kehendaki. Mereka ini sudah cukup bagi kami.

Golongan ketiga atau golongan yang terakhir, mereka seperti kamu iaitu orang yang maksum. Kami tidak berupaya melakukan sesuatu apa pun ke atas mereka.”

Nabi Yahya a.s menjawab berkenaan hal itu, “Adakah kamu berupaya sesuatu ke atasku?”

Iblis memaklumkan, “Tidak, melainkan hanya sekali iaitu ketika kamu sedang makan. Kamu tidak berasa puas, sehingga kamu makan sebanyak yang kamu mahu. Lalu kamu tidur pada malam itu dan kamu tidak melakukan solat malam sebagaimana yang biasa kamu lakukan.”

Nabi Yahya a.s tersedar dengan kata-kata iblis itu lalu berkata, “Aku tidak akan berbuat silap lagi dan berasa kenyang daripada makananku buat selama-lamanya.”

“Tidak akan aku buat silap lagi, dan tidak aku nasihati lagi nabi selepasmu,” jawab pula iblis dengan penuh kesal kerana dengan kata-katanya tadi, telah menyedarkan Nabi Yahya a.s.

(Imam as-Suyuthi – Luqtul marjaan fii ahkaamil jaan, hal. 201)

PENGAJARAN

Dalam hal ini, marilah kita kembali kepada sebab penciptaan kita. Kita dijadikan oleh Allah s.w.t untuk menyembah Allah dan beribadat kepada-Nya. Setiap sesuatu yang kita lakukan demi kerana Allah s.w.t adalah ibadat, hatta makan dan minum juga ibadat. Namun beringat-ingatlah jangan sampai leka daripada mengingati Yang Maha Esa, Allah s.w.t.

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (al-Dzariyaat: 56)

Latihlah diri untuk bersederhana dan gunakan sistem sepertiga, sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. “Tidak ada ruang yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak mampu, maka dia dapat memenuhkan perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dengan ini, marilah kita nikmati rezeki kurniaan Ilahi dengan banyak-banyak bersyukur dan bersederhana. Sentiasalah bimbing diri kita sendiri agar tidak termasuk dalam golongan orang yang melampau dalam menikmati kurniaan Allah s.w.t.

Sebelum mengakhiri perkongsian pada kali ini, saya ingin memetik sebuah lagi kisah.

Pada suatu hari, Ali bin Abi Thalib telah menyampaikan sebuah cerita, antaranya. “Nabi Yahya bin Zakaria a.s telah kenyang dengan roti sya’ir (rupa biji sya’ir ini hampir sama dengan padi), lalu baginda tertidur hingga sampai waktu subuh. Maka baginda diwahyukan oleh Allah s.w.t, ‘Wahai Yahya! Adakah engkau memperoleh rumah yang lebih baik daripada rumah-Ku atau engkau memperoleh jiran yang lebih baik daripada jiran-Ku? Maka demi kemuliaan dan keagungan-Ku, wahai Yahya, jika engkau menoleh kepada syurga Firdaus sekali sahaja, nescaya cairlah fikiranmu dan hancurlah dirimu kerana rindu kepadanya. Dan jika engkau menoleh ke neraka jahanam sekali sahaja, nescaya cairlah fikiranmu dan menangislah engkau dengan air mata darah.” (Imam al-Ghazali, Ihya Ulumuddin Jilid 1, Keutamaan Bangun Malam)

Bersederhana itu baik, dan istiqamahlah.

Rujukan:

https://www.bharian.com.my/agama-kelebihan-nabi-yahya-kuasai-ilmu

http://sirahnabi-nabi.blogspot.com/kelahiran-nabi-yahya

http://unikversiti.blogspot.com/kisah-iblis-berdialog-dengan-nabi-yahya


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saodah Lasim

Bermula dengan menulis novel kanak-kanak dan novel bercorak thriller, kini Saodah adalah seorang editor bebas, penulis dan juga penulis upahan (ghostwriter). Telah mengedit buku-buku daripada pelbagai genre antaranya novel am, novel kanak-kanak, biografi, motivasi, panduan, sejarah, keagamaan dan kisah hidup. Juga merupakan seorang penyelaras penerbitan dan telah membantu menerbitkan beberapa buah buku untuk penulis swaterbit.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami