Remaja

Kenapa Pasangan Ini Memilih Untuk Berkahwin Dalam Masa Seminggu Selepas Pertemuan Pertama?

Oleh Mohd Muhsein bin Taib  •  24 Nov 2014  •  5 min baca

Suatu hari, ketika melihat kalendar waktu solat. Saya baru perasan yang hari itu adalah 1 Zulkaedah 1435H. Tiba-tiba saya teringat satu kisah benar..

Kisah itu berlaku pada 1 Zulkaedah 1433H. Ya 2 tahun yang lalu. Seorang gadis yang pulang bercuti di tanah air selama 3 minggu setelah lama berada di perantauan atas urusan menyambung pengajiannya.

Gadis Muslimah

Seorang gadis pulang untuk melepaskan kerinduan bertemu ahli keluarga. [Uyya]

Pulangnya itu tanpa apa-apa perancangan yang istimewa melainkan untuk meluangkan masa sepenuhnya berjumpa keluarga dan saudara mara terdekat. Apatah lagi kepulangannya itu selepas sambutan aidilfitri sedikit sebanyak mengubat rindu sambutan raya yang masih berbaki.

Kenalan Ingin Datang Berkunjung

Disamping itu, dia juga mengetahui tentang seorang kenalan baru yang ingin berkunjung ke teratak keluarganya. Sebenarnya dia tidak kenal pun dengan kenalan barunya itu. Sekadar tahu nama dan sedikit latar belakangnya. Itu pun dia tahu melalui seorang kawannya yang lain. Dia juga tidak pernah berkomunikasi secara terus dengan kenalannya yang berlainan jantina itu.

Dipendekkan cerita, seminggu sebelum 1 Zulkaedah 1433H. Kenalannya itu datang berkunjung ke rumah bersama dengan ahli keluarganya yang lain. Asal kedatangan adalah untuk silaturrahim bertukar menjadi perbincangan untuk menjodohkan dia dengan kenalan barunya itu.

Walaupun itulah pertama kali mereka bertemu muka, namun atas restu keluarga dan empunya diri masing-masing juga telah bersetuju maka dicari tarikh yang sesuai untuk melaksanakan majlis pernikahan tersebut. Seperti salah satu sabda baginda,

“Apabila datang kepadamu seorang (lelaki) yang kamu redhai agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah anakmu itu. Jika tidak berbuat demikian, nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.” Hadis Riwayat Abu Hurairah r.a

Waktu itu, cuti gadis tersebut hanya berbaki 2 minggu lagi sebelum perlu terbang pulang ke tempat pengajiannya. Setelah meminta pendapat daripada orang yang berilmu, maka tarikh pernikahan telah dipilih pada 1 Zulkaedah 1433H iaitu seminggu dari hari tersebut. Kebetulan pula tarikh tersebut bersamaan 16 September 2012 iaitu hari cuti sempena hari 1 Malaysia. Semua yang hadir pada hari tersebut sebulat suara bersetuju.

Akhirnya Selamat Diijabkabulkan

Seminggu kemudian pasangan tersebut telah diijab qabulkan. Jadi tarikh ulang tahun pernikahan yang patut diraikan oleh pasangan itu adalah pada setiap 1 Zulkaedah asbab tarikh yang dipilih adalah dalam bulan hijriah kemudian baru dirujuk pada tarikh masihi.

Perkahwinan itu sebenarnya telah mengejutkan banyak pihak termasuklah sahabat-sahabat rapat pengantin baru itu. Ada juga rakan yang terasa hati kerana tidak diundang ke majlis perkahwinannya. Tidak kurang juga yang tertanya-tanya kenapa terlalu cepat dan macam tergesa-gesa pula pernikahan mereka.

Perkahwinan

Alhamdulillah, mereka berdua selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri. [ThinkTank]

Jadi untuk mengelakkan segala salah faham dan kekeliruan, pasangan tersebut telah menjelaskan keadaan sebenar dan 5 sebab kenapa mereka bernikah dalam masa seminggu. Menurut pasangan pengantin tersebut, mereka juga turut sama terkejut. Tidak terkecuali ahli keluarga mereka…

“…mana tak terkejutnya, 9hb september kononnya datang merisik, seminggu kemudian yakni tanggal 16hb september kami nikah. Persediaan yang ala kadar dan tanpa majlis besar, sekadar majlis doa selamat yang mengiringi kami. Alhamdulillah Allah permudahkan urusan kami.”

Kenapa cepat sangat?!

5 Sebab Kenapa Pasangan Ini Memilih Nikah

Sebab #1 – Kami memilih untuk jalan yang paling halal dan selamat dan tentulah jawapannya NIKAH.

Sebab #2 – Isteri sedang belajar di luar negara dan masih berbaki satu tahun untuk menghabiskan pengajiannya. Kalau kami bertunang sekalipun, maka ia adalah satu tempoh yang panjang dan tempoh bertunang adalah tempoh menghadapi dugaan yang besar dan mencabar (berdasarkan pengalaman kawan-kawan). Jadi sekali lagi kami pilih NIKAH.

Sebab #3 – Kalau kami tak bertunang sekalipun atau dalam kata lain kami memilih untuk berkawan dulu (kononnya nak kenal-kenal dan saling memahami) maka ia lagi mengundang perkara yang paling disukai oleh makhluk yang dilaknat oleh Allah atau nama spesifiknya syaitonirrajim. Disebabkan syaitan ini musuh kami dan kami mahu syaitan menangis maka sekali lagi kami pilih NIKAH.

Sebab #4 – Walaupun kami tidak pernah mengenali antara satu sama lain sebelum pertemuan pertama kami pada 9 September 2012 itu, kami berpegang pada pandangan mereka yang dah berkahwin mengatakan bahawa proses taaruf atau saling kenal mengenali ni tak akan pernah habis walaupun dah lama berkahwin. Jadi mengapa perlu susah payah nak kenal sebelum berkahwin. Sekali lagi kami pilih NIKAH.

Sebab #5 – Inilah jawapan yang paling tepat disebalik cepatnya majlis nikah kami adalah kerana waktu tersebut isteri balik bercuti di Malaysia selama 3 minggu. Kalau tidak dilangsungkan segera maka lambat lagi lah kami nak NIKAH, sebab tak tahu bila pulak isteri nak balik Malaysia lagi.

Kata mereka lagi,

“Sebenarnya ia tidak terlalu cepat dan tidak pula terlalu lambat tapi ia datang tepat pada waktunya dan inilah yang dinamakan jodoh ketentuan Allah.. Alhamdulillah.”

Menurut satu sumber dalaman, pasangan ini sebenarnya diperkenalkan oleh sahabat masing-masing. Perkenalan jarak jauh itu berlaku melalui 3 fasa istikharah. Istikharah pertama untuk persetujuan berkenalan. Istikharah kedua, setelah si gadis mendapat biodata dan gambar si lelaki.

Berdoa

Pasangan ini sentiasa memohon petunjuk dari Ilahi. [HOTD]

Istikharah ketiga, setelah si lelaki pula mendapat biodata dan gambar si gadis. Setiap istikharah diberi masa 2 minggu dan proses pertukaran maklumat adalah melalui sahabat mereka. Kemudian barulah urusan pertemuan dengan pihak keluarga diaturkan seperti cerita di atas. Kehidupan mereka sekarang ini telah diserikan lagi dengan kehadiran seorang mujahidah kecil.

 

Surah Ar-Ruum Ayat 21

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah Ar-Ruum: 21)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Mohd Muhsein bin Taib

Mohd Muhsein bin Taib

Seorang hamba Allah yang mempunyai pendidikan formal dalam bidang kejuruteraan, bekerjaya sebagai seorang perunding kewangan, sangat meminati dunia pembangunan diri. Juga merupakan seorang suami dan seorang bapa kepada seorang anak perempuan. Sangat suka berfikir dan berkongsi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami