Sejarah, Wanita

Kenali Wanita Yang Mengupah Hambanya Untuk Membunuh Hamzah

Oleh Fizah Lee  •  12 Dec 2019  •  3 min baca

Hindun binti Utbah merupakan seorang wanita yang berasal dari suku kaum Quraisy. Nama beliau ialah Hindun binti Utbah bin Rabiah bin Abdul Syams bin Abdul Manaf.

Ayah beliau merupakan salah seorang pembesar suku kaum Quraisy yang sangat dihormati dan sering menjadi rujukan golongan mereka.

Suaminya bernama Abu Sufyan bin Harb yang merupakan salah seorang pembesar suku Bani Umayah dan sangat terkenal kerana peribadinya yang lantang dan berani dalam menentang Islam.

Menurut beberapa riwayat, Hindun binti Utbah merupakan seorang wanita yang sangat cantik dan pandai bersyair. Antara kelebihannya yang lain ialah, beliau sangat mahir menunggang kuda serta meminati ilmu sastera.

Hindun Sebelum Islam

Sebelum beliau memeluk agama Islam, kelantangan beliau dan suaminya dalam menentang agama ini sangat dikenali. Malah, beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan Islam.

Abu Sufyan serta ayah mentuanya, Utbah banyak mengikuti perang untuk melawan Islam. Perang-perang ini akan dipimpin oleh Utbah dan Abu Jahal sendiri.

Walau bagaimanapun, selepas terbunuhnya Abu Jahal dan Utbah dalam Perang Badar, Sufyan telah menggantikan posisi mereka sebagai pembawa panji kaum Quraisy untuk melawan Islam.

Umum mengetahui bahawa, bapa saudara Nabi Muhammad SAW, iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib telah membunuh Utbah semasa Perang Badar.

Oleh sebab itu, Hindun telah memasang dendam yang tidak berkesudahan terhadap Hamzah bagi menuntut bela atas kematian bapanya.

Perang Uhud berlaku rentetan daripada Perang Badar bagi membalas dendam di atas kekalahan kaum Musyrikin Mekah.

Dikatakan bahawa Sufyan telah memimpin perang ini dengan mengatur strategi yang paling mantap dan rapi agar dapat membalas dendam kepada mereka.

Dalam perang ini juga, Hindun telah menghantar hamba lelakinya, iaitu Wahsyi untuk membunuh Hamzah. Wahsyi dikatakan seorang yang handal dalam menggunakan alatan perang terutamanya bumerang.

Sebagai upah, Hindun berjanji akan membebaskan Wahsyi jika dia berjaya membunuh Hamzah. Dek kehandalannya dengan bumerang, dia berjaya membunuh Hamzah apabila bumerang tersebut terkena tepat ke perut Hamzah.

Hindun berasa gembira apabila mendengar berita tersebut. Beliau telah menghampiri jasad Hamzah dan mencuba untuk memakan hatinya. Ada riwayat lain yang mengatakan bahawa beliau mencuba memakan jantungnya.

Dalam beberapa riwayat lain pula, Hindun telah mencuba beberapa kali untuk memakannya, namun tidak boleh ditelan kerana Allah tidak mengizinkannya.

Hindun telah diberi gelaran Aklatul Akbad, iaitu wanita pemakan jantung rentetan daripada kisha ini.

Hindun Selepas Memeluk Islam

Hindun dikatakan telah terbuka hati untuk memeluk Islam semasa peristiwa pembukaan Kota Mekah. Pada waktu itu, beliau telah melihat sendiri keagungan dan kebenaran Islam yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Hindun telah memberanikan diri dengan menemui Uthman bin Affan bagi menyampaikan hasratnya untuk memeluk Islam. Uthman kemudian membawanya berjumpa Baginda SAW.

Dikatakan dalam beberapa riwayat bahawa beliau telah datang menemui Baginda SAW dalam keadaan berselimut (menutup seluruh anggota badan sehingga tidak menampakkan apa-apa kecuali mata) kerana beliau sangat takut dan malu akan perbuatannya yang terdahulu.

Disebabkan kesungguhan beliau untuk memeluk agama Islam dan betul-betul bertaubat atas kesalahannya, Baginda SAW memberikan kemaafan keatasnya. Beliau telah menjadi wanita pembela Islam yang sangat disegani dan dihormati.

Beliau telah ikut berjuang bersama kaum muslimin yang lain dan banyak membantu dalam memberi rawatan serta menjaga kebajikan kaum muslimin ketika perang. Malah, dikatakan bahawa Perang Yarmuk merupakan perang terakhir yang telah beliau sertai bersama suaminya sebelum beliau meninggal dunia.

Beliau telah wafat pada tahun ke-14 Hijrah semasa pemerintahan Umar Al-Khattab.

Rujukan:
Hindun Binti Utbah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami