Inspirasi, Wanita

Kenali Tunku Azizah, Canselor UIAM Yang Baru

Oleh Fieyzah Lee  •  20 Jun 2019  •  5 min baca

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah dilantik sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang baharu. Pelantikan itu telah dibuat di Istana Negara pada 17 Jun 2019.

Beliau merupakan wanita pertama yang telah dilantik bagi jawatan tersebut untuk menggantikan Sultan pahang yang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang telah mangkat pada 22 Mei yang lalu.

Lantikan ini dikatakan diterima baik oleh semua pihak termasuk Menteri Pendidikan, iaitu Dr Maszlee Malik, Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Timbalan Rektor, Dr Isarji Sarudin dan beberapa lagi kepimpinan tertinggi UIAM.

Biodata Tunku Azizah

Tunku Azizah atau nama penuhnya ialah Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah dilahirkan di Istana Stulang, Johor Bahru pada 5 Ogos 1960. Beliau merupakan puteri kelahiran ketiga kepada Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail dengan Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah. Beliau dikatakan telah membesar di tangan Tunku Zanariah Tunku Ahmad, iaitu Isteri Sultan Iskandar.

Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru. Seterusnya beliau telah menyambung pendidikannya di sekolah menengah, iaitu Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru dan akhirnya telah melanjutkan pelajaran di Universiti Nasional Singapura dalam bidang Sains Politik dan Sosiologi.

Beliau telah berkahwin dengan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 6 Mac 1986. Hasil daripada perkahwinan tersebut, beliau telah dikurniakan enam orang cahaya mata, iaitu empat orang putera dan dua orang puteri.

Salah seorang anakanda beliau ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Beliau merupakan Pemangku Raja Pahang yang telah dilantik pada 31 Januari lepas.

Tunku Azizah dikatakan seorang yang sangat minat dalam bidang masakan sehingga pernah mengeluarkan buku resipinya sendiri, iaitu Air Tangan Tengku Puan Pahang dan Masakan Tradisional Pahang.

Beliau pernah berkata dalam sebuah temubual bahawa minatnya terhadap bidang masakan telah mula dipupuk sejak berumur lima tahun disebabkan doronagan yang pernah diberikan oleh almarhum ayahanda beliau.

Peribadi Beliau

Nama Tunku Ampuan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah mula bermain di bibir rakyat Malaysia sejak beliau telah mula menjadi Raja Permaisuri Agong yang terbaru.

Beliau merupakan seorang permaisuri yang memiliki raut wajah dan penampilan yang cukup menarik dan manis dipandang.

Beliau dilihat sering berpenampilan sederhana tapi memukau dalam masa yang sama berjiwa rakyat sehingga dikatakan sangat disenangi rakyat. Banyak peribadi positif beliau yang telah ditonjolkan sehingga berjaya mencuri hati rakyat. Antaranya ialah:

#1 – Aktif

Baginda seorang yang sangat aktif dalam persatuan dan apa jua program serta aktiviti yang ada. Penglibatan beliau bukan sahaja bersama rakyat, malah turut menyertai persatuan dan badan bukan kerajaan seperti Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang, Pengakap Puteri Sedunia dan juga merupakan Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Beliau juga telah menyandang beberapa jawatan sebagai pengerusi seperti Persatuan Badminton KDYTM Tengku Ampuan Pahang, Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang (WI) dan juga Penaung Diraja AP di Hong Kong.

Banyak lagi persatuan lain yang telah disertai oleh beliau, bahkan juga banyak jawatan yang telah beliau sandang. Ini membuktikan beliau merupakan seorang wanita yang sangat aktif dan boleh dicontohi oleh wanita-wanita di luar sana.

#2 – Pandai Mengurus Rumah Tangga

Walaupun beliau sangat sibuk dengan urusan dan aktiviti persatuan, namun beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap suami.

Urusan rumah tangga dikatakan boleh diuruskan dengan baik sehingga mampu menjadi contoh dan teladan kepada semua orang.

Malah, baru-baru ini tular berita mengenai cara beliau melayan suaminya dengan baik di meja makan dengan menemaninya dan melayannya dengan baik.

Beliau juga dikatakan seorang yang pandai dan bijak dalam mendidik putera dan puteri beliau dengan sangat baik. Hal ini terbukti apabila putera sulung beliau, iaitu Tengku Hassanal yang berperwatakan menarik, begitu menghormati dan menyayangi ibunya.

#3 – Membantu Golongan Wanita

Disebabkan beliau pernah mengalami keguguran beberapa kali dan pernah menanti kehadiran cahaya mata sepanjang sepuluh tahun, beliau telah menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) pada Ogos 2004.

Usaha ini adalah ilham beliau sendiri bagi membantu wanita-wanita yang pernah melalui dugaan sperti itu. Melalui yayasan ini, dikatakan pasangan yang layak, boleh mendapatkan bantuan kewangan untuk rawatan persenyawaan tabung uji atau IVF di salah sebuah Pusat Fertiliti yang mengambil bahagian di Malaysia.

Kos rawatan yang ditanggung termasuklah pembekuan embrio berlebihan, pemindahan embrio beku, aspirasi pembedahan sperma, ujian darah, rawatan untuk komplikasi dalam rawatan antenatal serta pengangkutan dan penginapan.

Yayasan ini juga dikatakan untuk semua pasangan yang masih belum dikurniakan rezeki dan tanpa mengira kaum, agama dan juga bangsa.

#4 – Penampilan Yang Menarik

Umum mengetahui penampilan manis Tunku Azizah sangat menarik sehingga mampu menjadi inspirasi rakyat jelata.

Penampilannya yang bertudung litup dan sederhana itu telah mendapat pujian oleh segenap pihak serta rata-rata rakyat ingin mengikut perwatakan beliau itu.

#5 – Berjiwa Rakyat

Beliau juga seorang yang berjiwa rakyat dan sentiasa membantu mereka yang memerlukan. Beliau bukan sahaja membantu wanita untuk ujian IVF, malah dikatakan sentiasa turun padang untuk membantu pihak yang dilanda musibah atau kurang berkemampuan seperti membantu mangsa banjir.

Disebabkan oleh sikap dan minatnya yang suka memasak, beliau selalu turun padang untuk memasak kepada mangsa banjir ini. Malah, beliau lebih suka memasak dalam kuantiti yang banyak dan boleh memuaskan hati orang yang akan menikmatinya.

Beliau juga pernah bertitah, “jika hendak menjamu orang, biarlah dia dapat makan sepuas hati dan kenyang.”

Sikap inilah yang wajar dicontohi oleh semua orang kerana ikhlas dan suka membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Kesimpulan

Wanita pada zaman ini sering dikaitkan dengan usaha untuk mengejar karier dan menjadi orang yang berjaya dengan usahanya sendiri.

Malah, ramai wanita yang telah berumah tangga juga cuba membantu meringankan sara hidup rumah dengan turut bekerja.

Perkara ini tidak salah, malah digalakkan untuk membantu meringankan beban suami. Malah, pada zaman Rasulullah dahulu, wanita turut membantu golongan lelaki semasa peperangan dari segi rawatan dan juga menyediakan makan minum.

Namun sebagai wanita seharusnya tidak boleh mengabaikan tanggungjawab yang lain seperti keperluan suami dan juga anak-anak.

Wanita merupakan madrasah kepada anak-anak. Jika elok seseorang wanita tersebut, maka eloklah didikannya dan eloklah anak-anak yang lahir dari tangan beliau.

Sumber: Peribadi Tunku Azizah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami