Ibadah

Kenali Solat Sunat Wuduk

Oleh Natirah Azira  •  1 Nov 2019  •  3 min baca

Solat adalah amalan yang pertama sekali akan ditanya di hari hisab kelak. Namun, seringkali solat yang dilakukan oleh kita sukar sekali mencapai tahap kelima dalam solat, iaitu tahap tertinggi seperti yang disebut oleh Imam Ibnu Qayyim, iaitu tahap tertinggi dalam solat. Pada tahap ini, seseorang itu akan tenggelam dalam kekhusyukan solatnya dan berasa seolah-olah sedang bercakap dengan Allah.

Solat yang dilakukan oleh kita biasanya sering diganggu oleh fikiran dan bisikan-bisikan yang muncul. Malah pada tahap pertama pun kita sudah boleh ‘sangkut’.

Pada tahap pertama, seseorang itu sekadar mengerjakan solat untuk melepaskan tanggungjawab. Wuduk pula tidak diambil dengan betul, hanya sekadar menyiramkan air ke anggota badan sahaja.

Namun, terdapat rahsia sebenarnya dalam wuduk yang dilakukan dengan sempurna. Kata Rasulullah SAW, seseorang yang mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian mengerjakan solat sunat wuduk selepasnya dengan penuh kekhusyukan, maka dosanya diampunkan dan dia layak masuk ke syurga.

“Daripada Humran pelayan Uthman ibn Affan R.anhu bahawasanya dia melihat Uthman meminta sebekas air lalu dibasuhnya kedua-dua tangannya (sehingga pergelangan tangan) tiga kali, kemudian dimasukkannya tangan kanannya ke dalam bekas untuk berkumur-kumur dan menyedut air ke dalam hidung kemudian menghembuskan air dari hidung, kemudian membasuh mukanya tiga kali, dan kedua-dua tangannya hingga ke siku tiga kali, kemudian mengusap kepalanya, kemudian membasuh kedua-dua kakinya tiga kali hingga ke buku lali, kemudian beliau berkata:

Aku melihat Rasulullah SAW berwuduk seperti wuduk ku ini, kemudian baginda SAW bersabda: Sesiapa yang berwuduk seperti wuduk ku ini, kemudian dia solat dua rakaat dan tidak bercakap-cakap dalam dirinya (maksudnya solat dengan khusyuk) nescaya Allah ampuni segala dosanya yang telah lalu.” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wuduk, hadis no. 164)

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan dalam Kitab Fathul Bari:

فيه استحباب صلاة ركعتين عقب الوضوء

Pada hadis ini terdapat dalil galakan mendirikan solat sunat dua rakaat selepas selesai wuduk.

Dalam riwayat yang lain daripada ‘Uqbah bin ‘Amir, dia berkata: Kami pernah bertugas menggembala unta. Saat tiba giliranku, aku merehatkan gembalaanku. Setelah itu, aku melihat Rasulullah SAW berdiri tengah berbicara dengan orang-orang. Akupun mendengar sebahagian dari perkataan baginda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَتَوَضَّأُ فَيُحْسِنُ وُضُوءَهُ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ مُقْبِلٌ عَلَيْهِمَا بِقَلْبِهِ وَوَجْهِهِ

إِلاَّ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

Maksudnya: Tidaklah seorang Muslim berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan menghadirkan hati dan menghadapkan wajahnya, melainkan telah wajib baginya syurga.

Cara Menunaikan Solat Sunat Wuduk

Rakaat Pertama

1. Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Wuduk

“أصلي سنة الوضوء ركعتين لله تعالى”
(Usolli sunnatal wudhuu-i rok’ataini lillahi Ta’ala)

2. Takbiratul ihram

3. Doa iftitah

4. Membaca Surah Al-Fatihah

5. Membaca mana-mana ayat atau surah daripada Al-Quran (sunat)

6. Rukuk

7. Iktidal

8. Sujud

9. Duduk antara dua sujud

10. Sujud kali kedua

11. Bangun

Rakaat Kedua

1. Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)

2. Duduk tahiyyat akhir serta membaca tahiyyat akhir

3. Memberi salam ke kiri dan ke kanan

Mungkin kita jarang sekali mendengar atau mengamalkan solat sunat ini. Namun di dalamnya terkandung janji Allah yang sangat berharga iaitu syurga. Sama-sama lah kita pelihara pelaksanaan wuduk dan juga solat sunat ini. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami