Tokoh

Kemuliaan Cinta Maryam

Oleh Rasyidah Rahmat  •  8 Apr 2019  •  4 min baca

Siapa tidak pernah mendengar nama seorang wanita mulia bernama Maryam. Beliau seorang wanita yang terkenal kerana tidak pernah berkahwin namun dengan kuasa Allah tetap dikurniakan zuriat darah dagingnya sendiri.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).” – Surah Ali-Imran ayat 42.

Subhanallah!

Allah SWT telah sendiri menyebut tentang kehebatan srikandi Islam ini. Apakah kemuliaan dan rahsia kehebatan srikandi ini sehinggakan Maryam telah diangkat menjadi wanita yang terbaik?

Allah SWT berfirman lagi, “Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang yang rukuk.” – Surah Ali-Imran ayat 43.

Allah SWT telah memerintahkan Maryam untuk mentaati Allah dengan rukuk dan sujud kepadaNya. Kehebatan Maryam diukur kerana kehebatannya dalam beribadah kepada Allah SWT dan sentiasa beruzlah(mengasingkan diri) di timur Baitulmaqdis (Masjidil Aqsa). Selain itu, Maryam tidak pernah meninggalkan ibadahnya dengan terus berzikir kepada Allah walaupun dalam keadaan tidak suci (datang haid).

Dalam hal ini, Maryam menjadi contoh kepada wanita yang lain agar tidak menggunakan alasan untuk tidak membasahkan lidah dengan zikir walaupun dalam keadaan haid. Namun begitu, Allah SWT sentiasa menguji hambaNya sebagai tanda kasih dariNya.

Ujian Buat Srikandi Terhebat

Kasih sayang Allah kepada Maryam tidak terhenti di situ, Allah menguji Maryam dengan adanya zuriat di dalam rahimnya tanpa disentuh lelaki dan tanpa perkahwinan. Kehadiran malaikat Jibril yang datang dalam rupa bentuk manusia tidak menggentarkan jiwa Maryam.

Maryam berkata, “Kalau kamu beriman kepada Allah, kamu pergi dari sini.”

Hal ini dijelaskan melalui Surah Maryam ayat 17 dan 18 yang bermaksud, “Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata, “Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.

Lalu, malaikat pun berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci.”

Maryam bertanya (dengan cemas), “Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?” – Surah Maryam ayat 20.

Malaikat itu pun menjawab, “Demikianlah keadaannya tidak usahlah dihairankan, Tuhanmu berfirman; hal itu mudah bagiKu, dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.” – Surah Maryam ayat 21.

Maka Maryam pun mengandung dan telah memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.

Pandangan Ulama Tentang Tempoh Kehamilan Maryam

Sesetengah ulama menyatakan usia kandungan Maryam itu selama 9 jam sahaja. Walau bagaimanapun, Sheikh Mutawili Syaarawi menyatakan bahawa keadaan kehamilan Maryam itu adalah sunnatullah, iaitu 9 bulan seperti keadaan wanita biasa.

Kemuliaan Maryam Menjadi Sejarah

Kisah hebat wanita yang bernama Maryam ini menjadi sejarah dalam menguji seorang wanita. Sebagai seorang hamba, percayalah bahawa setiap ujian yang dilalui itu mempunyai hikmah dan pengajaran yang amat bernilai untuk mencerminkan hidup sebagai seorang abid.

Jika kita lihat kepada situasi Maryam, amat berat untuk kita menerima dan menghadapinya. Bayangkanlah, seorang wanita yang mengandung tanpa disentuh lelaki (Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu) pasti akan dilemparkan cemuhan dan fitnah buat diri Maryam. Namun, kemuliaan cinta Maryam terhadap Allah SWT tidak sedikitpun menggugat ketauhidan dirinya kepada Allah SWT.

Maryam menerima dengan penuh reda dan ikhlas walaupun pahitnya untuk menghadapi ujian hebat ini. MasyaAllah! Moga kita juga diberi kekuatan dan kesabaran yang luar biasa dalam menempuh dugaan hari-hari dalam kehidupan kita.
Reda Sebagai Hamba

Satu keperibadian mulia yang harus kita contohi adalah sikap Maryam yang tidak pernah mempersoalkan mengapa dia diuji sebegitu. Maryam menerima ujian tersebut dengan penuh reda dan ikhlas kerana meyakini setiap yang berlaku tiada yang sia-sia di sisi Allah.

Maka, apa yang boleh kita kaitkan dalam kehidupan kita ialah setiap manusia itu mengalami ujian yang berbeza. Namun, tidak pernah sesekali melebihi kemampuan kita kerana kata-kata Allah itu adalah benar.

Teruslah bersangka baik dalam setiap perkara. Moga kesabaran kita dalam menghadapi ujian kehidupan menjadi asbab terpilih masuk ke dalam syurga Allah kelak.Amin Ya Robb.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami