Inspirasi

Kemaafan Kunci Ketenangan

Oleh Natirah Azira  •  2 Nov 2018  •  3 min baca

Sifat hati itu halus, tempat berkumpulnya segala rasa. Sakit, gembira, duka dan bahagia itu empunya diri sahaja yang merasa. Perkara yang sangat sukar untuk dilakukan apabila hati dilukai adalah memaafkan. Ada yang mengambil masa begitu lama mengumpulkan kekuatan untuk memberi maaf.

Kesakitan yang dirasa oleh hati sama sahaja dengan kesakitan akibat luka pada badan, bahkan kesannya mungkin lebih lama. Kerana itu kesalahan sesama manusia perlu diselesaikan sesama manusia juga. Dr Sa’ud asy-Syuraim dalam bulan Ramadan yang lalu telah berkongsi bait-bait kata yang perlu diambil perhatian dalam perihal kemaafan.

عجباً لبعض المسلمين

Sungguh menakjubkan perilaku segelintir orang Islam ini?

في هذه الأيام يدعو المسلم ربه وهو قائم وساجد، ويقول:

Dia, pada hari-hari sebegini, meminta kepada Tuhannya, dalam keadaan berdiri dan sujud, meminta:

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

‘Ya Allah, Engkaulah Maha Pengampun, suka mengampunkan, maka ampunilah aku!’

وهو لا يعفو عن الناس وﻻ عن أقاربه ولا عن أرحامه ولا عن اخوانه المسلمين.

Tetapi dia sendiri tidak mahu memaafkan (kesalahan) sesama manusia.

Tidak kepada kerabatnya, sahabatnya, tidak juga kepada saudaranya sesama muslim.

ألا يستحي من الله يطلب العفو منه وهو لا يعفو عن العباد؟

Tidakkah dia merasa malu meminta keampunan dari Allah tapi tidak mahu memaafkan sesama hamba?

فاعف يا عبد الله عسى الله أن يعفو عنك.

Maafkanlah wahai hamba Allah, semoga (dengan tindakanmu itu) Allah mengampunkanmu!

Allah ta’ala sendiri telah menyebutkan,

وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ

“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kalian tidak ingin Allah mengampunkan untuk kalian (segala kesalahan kalian)?”

Bagaimana Jika Mampu Memaafkan Tetapi Tidak Mampu Melupakan

Seringkali kita mendengar luahan segelintir orang tentang sukarnya melupakan. Perkara yang sangat terkesan di hati pasti sukar dilupa oleh minda. Namun ada suatu kisah berkenaan kemaafan yang mampu kita pelajari daripada Abu Bakar as Siddiq.

“Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan sebaliknya hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”
(An- Nur 24:22)

Ayat ini diturunkan apabila Abu Bakar as Siddiq sudah tidak mahu memberikan nafkah harta kepada saudara dekatnya Mistah. Mistah ialah seorang lelaki yang turut terlibat dalam hal tuduhan kepada Aisyah r.a (melakukan suatu yang tidak elok) dalam peristiwa hadis Ifqi.

Ayat ini diturunkan untuk menegur Abu Bakar. Ia bukan perkara mudah buat beliau, kerana orang yang difitnah dan disakiti itu merupakan anaknya sendiri. Namun kerana teguran dan suruhan tersebut datang khusus dari Allah, Abu Bakar telah memaafkan Mistah dan menghulurkan semula bantuan kepada Mistah.

Lihatlah perkataan yang Allah gunakan, “hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan”- Maafkan dan lupakan. Dua kunci inilah yang mampu menghadirkan ketenangan pada hati, hadiah buat diri sendiri.

Hakikatnya kita semua manusia yang ada kekurangan. Kesilapan yang dilakukan mungkin terlalu besar dan sukar dilupakan, namun usahlah sampai membenci. Pohonlah kepada Allah agar Dia melembutkan hati sehingga kita akhirnya benar-benar dapat memaafkan.

Rujukan:

#NotaTerjemahanBroSyarief
#BroSyariefShares


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami