Remaja

Kekuatan Anda Bukan Gunanya Untuk Membuli Orang Lain

Oleh Abdullah Bukhari  •  3 Jul 2019  •  4 min baca

Mari kita ambil teladan daripada kisah nabi Musa A.S. Kekuatannya nabi Musa sungguh luar biasa. Pernah baginda menampar malaikat maut sehingga hilang penglihatannya. Abu Hurairah R.A menyampaikan kisah tersebut:

أُرْسِلَ مَلَكُ الْمَوْتِ إِلَى مُوسَى عَلَيْهِمَا السَّلَام فَلَمَّا جَاءَهُ صَكَّهُ فَرَجَعَ إِلَى رَبِّهِ فَقَالَ أَرْسَلْتَنِي إِلَى عَبْدٍ لَا يُرِيدُ الْمَوْتَ فَرَدَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَيْنَهُ وَقَالَ ارْجِعْ فَقُلْ لَهُ يَضَعُ يَدَهُ عَلَى مَتْنِ ثَوْرٍ فَلَهُ بِكُلِّ مَا غَطَّتْ بِهِ يَدُهُ بِكُلِّ شَعْرَةٍ سَنَةٌ قَالَ أَيْ رَبِّ ثُمَّ مَاذَا قَالَ ثُمَّ الْمَوْتُ قَالَ فَالْآنَ فَسَأَلَ اللَّهَ أَنْ يُدْنِيَهُ مِنْ الْأَرْضِ الْمُقَدَّسَةِ رَمْيَةً بِحَجَرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَوْ كُنْتُ ثَمَّ لَأَرَيْتُكُمْ قَبْرَهُ إِلَى جَانِبِ الطَّرِيقِ عِنْدَ الْكَثِيبِ الْأَحْمَرِ
Pada suatu ketika, malaikat maut diutus Allah kepada Nabi Musa A.S. Apabila dia bertemu Musa, baginda menampar malaikat maut itu sehingga buta matanya. Malaikat kembali kepada Tuhannya dan berkata: “Engkau kirimkan aku kepada seorang hamba yang tidak ingin mati.” Allah mengembalikan penglihatannya dan berfirman: “Kembalilah (kepadanya), dan katakan kepadanya supaya dia meletakkan tangannya di punggung lembu. Untuk setiap bulu yang ditutup oleh tangannya, baginya satu tahun.” Kata Musa. “Sesudah itu apa?” Firman Allah. “Mati!” Kata Musa, “Kalau begitu, sekaranglah!” Dia pun bermohon kepada Allah supaya mendekatkannya ke negeri suci (Jerusalem) dengan jarak satu lemparan batu. Kata Abu Hurairah menambahkan, “Nabi bersabda, kalau sekiranya aku berada di sana, akan ku tunjukkan kepada mu maqamnya, iaitu di pinggir jalan, dekat tompokan pasir merah”Sahih al-Bukhari

Setengah pihak menolak hadith ini kerana kelihatan tidak logik pada akal mereka. Masakan nabi Musa A.S tidak kenal malaikat maut? Atau masakan baginda tidak mahu mati sehingga menolak kedatangan mati dengan cara yang begitu kasar. Ini jawapan yang dinyatakan oleh para ulama hadith:

وَالْجَوَابُ أَنَّ اللَّهَ لَمْ يَبْعَثْ مَلَكَ الْمَوْتِ لِمُوسَى وَهُوَ يُرِيدُ قَبْضَ رُوحِهِ حِينَئِذٍ ، وَإِنَّمَا بَعَثَهُ إِلَيْهِ اِخْتِبَارًا وَإِنَّمَا لَطَمَ مُوسَى مَلَكَ الْمَوْتِ لِأَنَّهُ رَأَى آدَمِيًّا دَخَلَ دَارَهُ بِغَيْرِ إِذْنِهِ وَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّهُ مَلَكُ الْمَوْتِ ، وَقَدْ أَبَاحَ الشَّارِعُ فَقْءَ عَيْنِ النَّاظِرِ فِي دَارِ الْمُسْلِمِ بِغَيْرِ إِذْنٍ ، وَقَدْ جَاءَتْ الْمَلَائِكَةُ إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِلَى لُوطٍ فِي صُورَةِ آدَمِيِّينَ فَلَمْ يَعْرِفَاهُمْ اِبْتِدَاءً
Allah tidak menghantar malaikat maut untuk mengambil nyawa Musa pada waktu itu tetapi pengutusan itu sekadar suatu ujian lain untuk baginda. Musa menampar malaikat maut kerana dia muncul dalam rupa manusia biasa yang masuk rumahnya tanpa izin. Baginda pula tidak tahu lelaki itu adalah jelmaan malaikat maut. Tambahan pula Allah membenarkan (kita) mencungkil mata sesiapa yang mengintai ke dalam rumah orang tanpa izin. Para malaikat juga pernah datang kepada nabi Ibrahim dan Lut dalam jelmaan manusia biasa dan kedua nabi itu tidak mengenalinya pada permulaannyaFath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari

Bukan setakat itu, kekuatan baginda pernah disebut Allah dalam surah al-Qasas ketika baginda membantu teman sebangsanya mengalahkan lelaki Qibti.

Ternyata satu tumbukan padu nabi Musa A.S cukup meragut nyawa lelaki Qibti tersebut. Kejadian itu tidak disengajakan dan baginda tunduk bertaubat kepada Allah. Perincian kisah itu boleh dilihat di sini:

Dan dia masuk ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya 2 orang lelaki sedang berkelahi, – seorang dari bangsanya dan yang seorang lagi dari bangsa musuhnya. Maka orang yang sebangsa dengannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari bangsa musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: “Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya) “. Dia merayu (dengan sesalnya): “Wahai tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah dosaku”. (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha MengasihaniSurah al-Qasas 28:15-16

Kejadian ini berlaku ketika zaman muda baginda. Orang muda biasanya lupa atau tidak peka mengawal kekuatan diri. Setelah sedar kekuatan yang dimilikinya Musa berdoa kepada Allah agar dia tidak menyalahgunakan kekuatan tersebut. Lihat sambungan doa baginda:

قَالَ رَبِّ بِمَا أَنْعَمْتَ عَلَيَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًا لِلْمُجْرِمِينَ
(Musa) merayu lagi: “Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah”Surah al-Qasas 28:17

Ini contoh manusia terbaik yang tidak mahu salah menggunakan nikmat pinjaman Allah padanya. Perhatikan di luar sana, berapa ramai manusia yang ada sedikit kekuatan, sama ada ia berbentuk kekuatan fizikal, akal fikiran, harta, pengaruh dan kedudukan, begitu mudah menyalah gunakan kelebihan tersebut.

Ada sahaja orang yang lemah dibuli, dianjingkan, dipijak, ditindas, diperah keringatnya dan sebagainya. Ternyata sikap sebegitu bukan akhlak Islam.

Usahkan berlaku zalim atau menyokong si zalim, sedikit rasa condong kepada si zalim sudah cukup untuk membuka sambaran api neraka kepada kita. Firman Allah:

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim, nanti api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan Surah Hud 11:113

Menjadi balaci, barua, algojo atau anjing kurap si zalim adalah suatu langkah yang sangat bodoh. Jika si zalim yang dijunjung itu jatuh tersungkur dalam neraka, kita pasti turut disadung masuk bersama. Itulah nasib malang yang menimpa kaum dan tentera Firaun:

Dengan sebab itu Kami mengepungnya ‘bersama tenteranya’ serta Kami humbankan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang yang zalim. Dan Kami jadikan mereka ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya. Surah al-Qasas 28:40-42

Kekuatan, kebijaksanaan, kecantikan atau apa sahaja kelebihan yang Allah pinjamkan pada kita adalah amanah yang akan diaudit lengkap di akhirat kelak.

Jangan gunakan kelebihan itu sebagai alat untuk menindas atau membuli orang lain. Bimbang nanti nasib kuncu-kuncu Firaun purba dan Firaun moden turut berulang pada kita. Mohon dijauhkan Allah!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami