Ibadah

Keistimewaan 10 Hari Pertama Zulhijjah

Oleh Natirah Azira  •  21 Jul 2020  •  2 min baca

Pejam celik pejam celik, kita sudah memasuki Bulan Zulhijjah, bulan di mana kita akan meraikan Aidiladha atau juga dipanggil Raya Haji, susulan ibadah Haji yang disempurnakan pada 9 Zulhijjah.

Sungguhpun pada tahun ini, umat Islam di Malaysia masih lagi tidak dapat berangkat ke tanah suci Mekah untuk melaksanakan rukun Islam kelima kerana Covid-19 yang masih belum reda, kita masih boleh melaksanakan ibadah yang lain seperti berkorban dan juga memakmurkan 10 hari awal bulan Zulhijjah.

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Allah paling menyukai amalan soleh yang dilakukan pada 10 hari terawal Zulhijjah.

Para sahabat lantas bertanya kepada baginda,

“Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”

Baginda menjawab, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Riwayat Al-Bukhari, no. 969, Abu Daud, no. 2438, Ibnu Majah, no. 1727 dan Al-Tirmizi, no. 757)

Setelah kita mengetahui bahawa Allah SWT sangat menyukai amalan soleh yang dilakukan dalam hari-hari awal Zulhijjah, maka berikut adalah amalan yang dianjurkan.

#1- Berpuasa

Salah satu amalan soleh yang dimaksudkan dalam hadis tersebut termasuklah puasa. Menurut perbahasan ahli hadis, amalan berpuasa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW pada waktu ini tidaklah secara berterusan sepanjang 10 hari pertama. Ada hari yang Rasulullah SAW berpuasa dan ada hari tidak.

#2- Menghidupkan Malam Dengan Berqiamullail

Menjadi kebiasaan buat salah seorang sahabat Sai’d bin Jubair, seorang perawi, apabila tiba 10 hari terawal Zulhijjah, beliau sangat bersungguh-sungguh beramal sehingga hampir-hampir tidak berdaya melakukannya.

Antara pesannya ialah,

“Janganlah kamu memadamkan pelita pada waktu malam selama 10 hari ini kerana ibadah sangat disukai untuk dilakukan saat itu.”

#3- Memperbanyakkan Zikir

وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ

Maksudnya: “Dan supaya menyebut nama allah pada hari-hari yang dimaklumi.” (Surah al-Hajj 22:28)

Hari-hari yang dimaklumi itu ialah 10 hari terawal Zulhijjah. Berzikirlah dengan apa jua jenis zikir yang diingini. Kita boleh juga menjadikan amalan zikir ini lebih istimewa dengan menetapkan buat diri sendiri sebanyak mana zikir yang ingin dilakukan.

Contohnya, ingin berzikir Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar sebanyak 50 kali bagi setiap satunya setiap kali selepas solat. Sekurang-kurangnya kita memecah rutin dan umpama meraikan 10 hari awal Zulhijjah ini dengan lebih istimewa.

Selain daripada amalan-amalan di atas, antara perkara lain yang boleh dilakukan seperti sedekah, melazimi solat berjemaah bersama keluarga, menghafal potongan ayat Al-Quran serta doa. Semoga 10 hari terawal Zulhijjah ini dimanfaatkan sebaiknya!

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami