Inspirasi

Kehidupan Manusia Yang Diibaratkan Seperti Jam

Oleh Fizah Lee  •  18 Sep 2020  •  3 min baca

Saya tertarik untuk berkongsi pengisian pagi ini daripada Prof Muhaya yang bertajuk “Tolong, saya nak jadi lebih baik.”

Apabila bercakap mengenai nak jadi baik, ramai sahaja sebenarnya di antara kita yang ada niat untuk menjadi baik.

Ada yang setiap hari pasti akan niat untuk jadi baik; nak bersedekah, nak tolong orang yang dalam kesusahan dan pelbagai lagi.

Tetapi ada kalanya kita sudah berniat untuk bangun tahajjud dan sudah tetapkan jam penggera, namun tak terbangun atau tutup jam itu sebab terlalu mengantuk.

Sudah berniat nak bersedekah, tapi banyak pula komitmen yang memerlukan wang.

Perjalanan nak jadi baik itu bukan mudah. Pernah tak terdetik; “Alahai, susahnya nak jadi baik.”

Mungkin ada dalam kalangan anda yang sedang membaca entri ini pernah terlintas ucapan sebegitu.

Tapi, walau apa pun ujian atau rintangan yang kita lalui, jangan sesekali wujud rasa putus asa. Sebaliknya, kita perlu bersyukur kerana Allah sentiasa menghadirkan perasaan untuk jadi baik dalam diri kita.

Kita Pernah Jadi Baik

Pertama sekali, kita perlu sedar bahawa kita pernah jadi baik. Mungkin kita terlupa, tapi itulah hakikatnya. Bila pula kita pernah jadi baik?

Sewaktu kecil, semasa kita masih kanak-kanak dan suci dari dosa. Waktu itu, kita ialah anak-anak yang baik yang diibaratkan seperti kain putih. Tiada dosa dan dicorakkan oleh ibu bapa. Hasil kita hari ini adalah daripada didikan mereka.

Semasa kita di alam rahim pun, tuhan sangat menyayangi kita dan sentiasa melimpahkan rahmat serta rezeki untuk hambaNya.

Bayangkan kita hanya duduk di dalam perut ibu kita dan tuhan masih melemparkan rezeki buat kita tanpa putus melalui ibu kita.

Semua itu adalah bukti bahawa Allah menyayangi kita, hambaNya yang masih suci dan bersih.

Apabila kita sudah dewasa, didikan dan akal yang diberikan adalah perkara yang penting sebagai bekalan untuk kita melalui kehidupan.

Hidup kita ini diibaratkan seperti jam. Kehidupan kita bermula daripada pukul 12. Kemudian, jarum jam bergerak satu demi satu, dari pukul 1, 2, 3, dan seterusnya sehingga kembali ke nombor 12 semula.

Bayangkan, nombor 12 itu adalah pencipta kita. Yang Maha Kuasa dan Mengasihani. Kita datang dariNya.

Apabila usia kita semakin meningkat, kita semakin jauh sedikit demi sedikit, namun kita tidak boleh mengundur ke belakang untuk kembali semula kepada tuhan.

Apa yang boleh kita lakukan adalah dengan meneruskan kehidupan berjalan ke hadapan dan meneruskan matlamat kita untuk mencari tuhan. Sebab itu setiap apa yang dilalui perlu sentiasa dilihat ke hadapan.

Jangan mengeluh atau menyesal dengan perkara lampau kerana ia adalah sejarah yang tidak dapat dirubah.

Namun, kita boleh kembali kepadaNya dalam keadaan yang baik dengan sentiasa move forward dan mendekatiNya.

Sehingga akhirnya, jarum jam itu kembali kepada nombor 12 dan begitulah manusia yang akan kembali kepada penciptaNya.

Sekarang, tugas kita untuk menjadikan perjalanan kita semakin jauh atau semakin dekat denganNya.

Yang paling penting ialah jangan berputus asa untuk jadi baik. Setiap dari kita boleh menjadi baik.

Sentiasa niatkan dalam hati bahawa – “Hari ini aku nak jadi baik kerana Allah.”

Apabila minda kita mendengar bisikan hati itu, ia akan bekerja untuk merealisasikannya. Teruskan usaha anda untuk menjadi baik, semoga Allah membantu anda mempermudahkannya.

Wallahu a’alam.

Sumber:
[LIVE] Prof Muhaya – Tolong, saya nak jadi lebih baik.”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami