Inspirasi

Kecewa & Putus Asa Dalam Kehidupan – ‘Reset’ Kembali Semangat Anda

Oleh Fizah Lee  •  15 Jun 2020  •  3 min baca

Pernah rasa putus asa dalam kehidupan? Pernah rasa ingin menghentikan semua yang sedang terjadi dek rasa kekecewaan dan kegagalan yang dialami? Pernah juga timbul perasaan menyesal dengan apa yang sedang terjadi pada hari ini?

Sabar. Jangan terus mengalah dalam hidup. Perasaan putus asa itu wujud mungkin kerana kekecewaan kita terhadap ‘expectation’ yang diletakkan.

Dalam hidup kita pasti punya matlamat yang ingin dituju. Keputusan yang pada awalnya kita lakukan itu pasti disertai dengan harapan yang jitu untuk memandu kita ke arah matlamat yang diletakkan.

Namun, apabila manusia merancang, ingatlah bahawa Allah juga punya perancanganNya. Manusia itu merancang dengan harapan dan cita-cita. Namun, Allah merancang dengan pengetahuanNya yang Maha Luas.

Mungkin kita merasakan apa yang berlaku ini adalah sebuah kegagalan dalam kehidupan, namun siapa sangka ia mungkin merupakan sebuah keputusan yang terbaik yang ingin Allah berikan kepada anda.

Mafhum: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah, 2:216)

Justeru, apabila mengalami fasa kesedihan dan ingin putus asa dalam kehidupan, jangan terus mengalah. Anda boleh reset semangat anda dengan perkara-perkara di bawah;

#1 – Ambil Masa Untuk Bertenang Dan Meluahkan

Beri ruang kepada diri anda untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Jika ingin menangis, maka menangislah sepuas hati.

Jangan dipendam seolah-olah untuk membuktikan bahawa anda kuat menghadapi semua ini, kerana ia boleh membuatkan perasaan itu semakin membesar. Bimbang jika suatu hari nanti ia akan datang semula kerana perasaan tersebut tidak diluahkan secara penuh.

#2 – Cari Kawan Untuk Bercakap

Setiap dari kita pasti punya seseorang sebagai tempat berkongsi hal-hal yang berlaku dalam kehidupan mereka. Sama ada ia adalah ahli keluarga sendiri atau rakan karib, anda boleh hubungi mereka untuk berkongsi.

Jadikan sesi itu sebagai sebuah sesi meluahkan perasaan. Anggap anda sedang berbicara dengan seorang kawan supaya lebih dekat dan mudah untuk berkongsi.

Walaupun mereka itu ibu bapa atau kaunselor anda, tapi jadikan mereka sebagai kawan yang dirasakan dekat dengan anda.

Pada sesi inilah anda boleh meluahkan apa yang terbuku di hati. Cuba untuk buka hati agar lebih terbuka menerima nasihat yang mereka berikan. Walau ia sekadar nasihat dan bukan penyelesaian kepada masalah anda, namun jadikan ia sebagai penambah kepada semangat anda.

#3 – Ingat Kembali Matlamat Yang Diletakkan

Putus asa tidak menjamin kebaikan dan memberi keuntungan kepada anda. Ingat kembali matlamat dan cita-cita anda untuk menuju destinasi yang diletakkan.

Jika masih punya peluang, ambil setiap ruang yang ada untuk menggapai cita-cita anda. Waktu inilah anda boleh mendidik hati anda untuk lebih kental menghadapi kehidupan.

#4 – Pastikan Ada Back Up Plan

Kita diajar untuk tidak bergantung kepada satu plan sahaja. Sebaliknya, pastikan ada lebih dari satu plan untuk sampai ke destinasi.

Masih belum terlambat untuk anda memikirkan back up plan tersebut. Selepas sudah kembali tenang daripada perasaan sedih dan kecewa itu, refresh semula minda anda untuk memikirkan plan-plan baru.

Kesimpulan

Perasaan putus asa dan kecewa itu merupakan suatu fasa yang normal dalam kehidupan seseorang. Jangan terus menyalahkan takdir. Sebaiknya fikir dahulu dari mana silapnya dan kembali bangkit daripada fasa tersebut.

Jika anda terus-terusan menyalahkan perkara sekeliling dengan tidak melihat jauh ke hadapan, pastinya perjalanan hidup anda sukar kerana dibelenggu dengan masa lampau.

Sedangkan, apabila kita terus berjalan, sebenarnya banyak lagi pintu yang tersedia di hadapan. Tinggal pilih sahaja pintu yang betul untuk sampai ke destinasi.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami