Gaya Hidup, Inspirasi

Kebahagiaan Ditentukan Oleh Anda Sendiri

Oleh Fizah Lee  •  13 Jul 2020  •  2 min baca

Kadang-kadang, kita sudah mendapatkan apa yang dihajati, namun jauh di sudut hati, jiwa kita masih lagi kosong.

Gaji yang diperoleh juga sudah banyak bahkan jika dilihat melalui gaji itu, kita sendiri mampu melancong dan menyimpan dengan kadar yang secukupnya. Tetapi, kenapa hati tidak juga merasa bahagia?

Apabila dihitung lagi ganjaran dan nikmat yang diperoleh pada saat ini, sudah banyak yang Allah berikan, namun tidak juga hati merasa tenang dengan semua itu.

Persoalannya di sini ialah, apa yang mampu membuatkan jiwa tenang? Mengapa semua perasaan itu tetap hadir meskipun nikmat tetap kunjung setiap hari.

Adakah rasa bahagia itu ditentukan oleh manusia lain? Dengan mengharapkan cinta dan kasih sayang daripada rakan taulan, barulah diri merasa gembira?

Jika tiada kasih sayang daripada mereka, adakah anda akan terus murung dan merasakan bahawa diri ini tidak layak merasa bahagia?

Jika itu perasaan anda pada saat ini, reset semula pemikiran tersebut kerana ia bukan erti kebahagiaan yang sebenar.

Kebahagiaan itu ditentukan oleh diri sendiri. Kita lihat, ada orang yang gajinya sederhana, namun disebabkan dia tahu erti syukur, kebahagiaan itu secara tidak langsung boleh hadir dalam dirinya.

Ada orang yang diuji dengan keadaan keluarga yang susah, namun kerana dia yakin bahawa itu adalah ujian yang diberikan tuhan padanya untuk mendekatkan diri kepadanya, jadi dia boleh menghadapi ujian tersebut dengan tenang.

Kenapa? Kerana dia yakin bahawa kebahagiaan itu ditentukan oleh corak pemikiran dan penerimaannya sendiri terhadap situasi.

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Maksud: “Yang namanya kaya (ghina’) bukanlah dengan banyaknya harta (atau banyaknya kemewahan dunia). Namun, yang namanya ghina’ adalah hati yang selalu merasa cukup.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimana untuk menjemput kebahagiaan? Kuncinya mudah sahaja, sentiasa bersyukur di atas segala perkara yang ada. Sama ada ia adalah rezeki, ujian mahupun musibah – yang paling penting bersyukur dan pandang ia dari sudut yang positif.

Kemudian, cari cara untuk memperbaiki keadaan itu agar menjadi lebih baik. Pandang kelemahan sebagai kelebihan untuk ke arah yang lebih baik.

Anda sendiri yang boleh menentukan apa yang anda mahu dan kebahagiaan apa yang ingin dikecapi.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami