Gaya Hidup

Ke Mana Menghilangnya Azam Tahun Baru Anda?

Oleh Rasyidah Rahmat  •  9 Feb 2019  •  4 min baca

“Apa azam kau tahun baru ni?”

Soalan ini yang sering menjadi trending nombor satu setiap kali bakal menjejak ke tahun baru. Habis bulan satu, hilang semua perancangan yang berkobar-kobar sewaktu mula-mula kita berada di tanggal 1 Januari. Mengapa begitu ya?

Bagaimana mengekalkan momentum azam tahun baru agar ia menjadi satu matlamat yang tercapai sepanjang tahun tersebut?

#1- Niat Yang Betul

Niat boleh membawa kita ke mana sahaja. Umpamanya sebuah kereta yang dipandu untuk menuju ke satu destinasi yang telah kita rancangkan pada awalnya.

Namun, ia boleh berubah-ubah pada bila-bila masa sahaja apabila kita tidak fokus pada sebuah destinasi yang kita telah pilih.

Dalam meletakkan sebuah matlamat dan perancangan yang baik kita perlulah jelas dalam niat kita untuk mencapai sesuatu perkara. Jangan hanya tulis sahaja, rancang dan rancang tetapi niatnya salah.

Apa sahaja yang kita lakukan berbaliklah kepada fitrah kita sebagai hamba dan khalifah Allah. Apa sahaja yang kita rancangkan mestilah niat kerana Allah. Itu perkara utama dan pertama yang wajib kita jelaskan dan perbaharukan.

#2 – Planner Berisi Bukan Basi

Anda mempunyai planner? Buku diari tahun baru? Atau yang sewaktu dengannya. Tidak kisahlah bagaimanapun corak dan warna kulit buku tersebut.

Apa yang penting adalah isi di dalam buku tersebut yang bermanfaat untuk kemajuan diri kita. Mengapa perlunya buku planner?

Allah S.W.T mengajar kita agar teratur urusan dan masa yang diberikan dimanfaatkan dengan sebaik-baik pekerjaan. Mengapa Allah memberi kita waktu setiap hari?

Kerana Allah ingin mendidik kita agar patuh dengan tuntutan masa yang sewajarnya diisi dengan perkara yang sangat baik dan berkualiti.

Allah mendidik setiap hamba-Nya agar menjaga diri daripada terdedah melakukan perkara yang sia-sia. Hal ini kerana, masa lapang adalah permulaan sebuah kemaksiatan. Astaghfirullahalazim!

Oleh itu, isilah buku planner dengan penulisan yang teratur dan memotivasikan diri dalam mencapai sebuah matlamat dan meningkatkan nilai motivasi diri kita serta menambah baik amalan soleh kita setiap hari. Insya-Allah.

#3 – Ketekunan

Kita telah mempunyai niat yang ikhlas kerana Allah untuk membina perubahan yang lebih baik untuk diri kita bukan?

Oh ya! Kita telah mempunyai sebuah buku planner yang membantu kita untuk menjadi lebih rajin dan berdisiplin dalam mengatur masa dan hari-hari kita dengan perkara yang bermanfaat.

Jadi, sikap itqan (tekun) yang perlu disemai dalam diri untuk menjadikan diri kita seorang yang istiqomah dalam melakukan amal kebaikan.

Tekun dalam melaksanakan setiap perkara yang ditulis. Tekun melakukan tugas-tugas yang diamanahkan kepada diri kita. Tekun melaksanakan walaupun ada masanya kita terasa lemah dan lelah.

Tekunlah! Untuk terus menuai benih-benih kejayaan yang pada suatu masa kita akan tuai hasilnya dengan wajah yang gembira.

Allah S.W.T sangat menyukai hamba-Nya yang melakukan amal yang sedikit tetapi istiqomah. Berbanding dengan melakukan amal yang besar-besar tetapi setahun sekali. Fikir-fikirkan.

#4 – Doa, Usaha Dan Tawakal

Suka minum kopi 3 in 1? Senyum. Semua orang suka betul? Sebab kopi 3 in 1 ni mudah, tuang air panas, kacau-kacau dan siap untuk diminum.

Nyamannya terasa. Lazat tak terkata. Kopi penawar untuk penggemarnya. Begitulah analoginya. Doa, usaha dan tawakal adalah formula 3 in 1 untuk kehidupan seorang Muslim.

Tanpa salah satu darinya, tidak tercapailah sebuah matlamat. Jika tidak seimbang formulanya, maka akan terkesanlah hasilnya kelak.

Doa itu sangat penting untuk kita terus memohon pengharapan kepada Allah S.W.T sejak sebelum berusaha mencapai matlamat semasa dan selepasnya.

Sebelum memulakan apa-apa maka berdoalah dengan sungguh-sungguh agar dimudahkan segala urusan dan perancangan hidup kita.

Usaha. Usaha ini memerlukan momentum kita yang paling maksima. Berilah sehabis baik yang kita mampu.

Selagi ada ruang untuk usaha mencapainya maka berusahalah yang terbaik. Allah pasti, pasti dan pasti tidak akan mengecewakan doa dan usaha hamba-Nya yang bersungguh-sungguh.

Akhir sekali, tawakal. Inilah perkara yang paling susah untuk merasai keikhlasannya. Mengapa? Kerana kita selalu diuji dengan rasa ragu-ragu dengan Allah. Allahu.

“Sebelum kita membina keyakinan apa yang kita lakukan itu untuk Allah, kita mesti membina keyakinan terhadap janji-janji Allah.”

Subhanallah!

Kita Sudah Berada Di Atas Perjalanan Ini

Suka saya mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat pembaca bahawa dalam kehidupan ini kita tidak pernah terlepas daripada melalui sebuah fasa yang dinamakan fasa ujian.

Hidup kita dari kecil sehinggalah dewasa tidak pernah habis diuji sehinggalah di akhir hayat kita. Allah S.W.T pun telah berfirman bahawa kita tidak akan hanya cuma mengatakan ‘Aku Telah Beriman’ sebelum diuji.

Maka terimalah setiap ujian yang sememangnya tidak melebihi kemampuan diri kita dengan penuh ikhlas, sabar dan syukur.

Kelak, moga-moga dengan asbab kesabaran kita melalui ujian ini Allah berikan syurga-Nya yang paling mahal buat kita semua. Insya-Allah. Amin.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami