Gaya Hidup

Kawal Darah Tinggi Anda Dengan Bawang Putih

Oleh Saodah Lasim  •  25 Dec 2017  •  5 min baca

Rumah tangga yang dilayari selama 20 tahun lebih dikejutkan dengan laporan perubatan pasangan yang disayangi telah menghidap penyakit darah tinggi.

Suami yang biasa dilihat sihat, tiba-tiba sering mengadu sakit kepala. Selepas diperiksa oleh doktor, katanya ada tanda-tanda hipertensi atau darah tinggi. Hal ini perlu dikawal selia dengan betul.

Ramai mengatakan, penyakit darah tinggi adalah pembunuh senyap. Ini mungkin betul kerana ramai penghidap hipertensi sebenarnya tidak menyedari hal berkenaan.

Didapati, dalam ramai yang menghidap hipertensi, hanya 40% yang menerima rawatan. Di mana yang lain?

Darah tinggi juga didapati biasa menyerang warga yang sudah meningkat usia, tapi apa sebab-sebabnya? Apakah penyakit hipertensi atau darah tinggi itu?

Jom kita teliti! Antara sebab-sebabnya ialah;

#1 – Faktor Keturunan

Jika seseorang itu mempunyai ibu, ayah, nenek dan sebagainya yang menghidap penyakit darah tinggi, kemungkinan besar dia juga akan menghidap penyakit itu.

Walaupun begitu, tidak semua penghidap hipertensi akan menurunkan penyakit itu kepada darah daging mereka. Namun, berhati-hatilah.

#2 – Faktor Makanan

Diet yang tinggi garam. Garam atau dalam Bahasa Inggeris disebut sodium mengandungi mineral natrium. Bahan ini akan menyebabkan air terkumpul di dalam pembuluh darah.

Semakin banyak garam yang dimakan, semakin besar jumlah cairan darah di dalam pembuluh. Perkara ini menyebabkan tekanan darah seseorang meningkat.

#3 – Faktor Berat Badan

Ini terutamanya kepada pesakit yang kurang aktiviti fizikal. Kecenderungan untuk mengelak aktiviti fizikal seperti bersenam, berjalan, bergerak membuatkan berat badan semakin meningkat.

Ada banyak sebab kenapa kita menjauhi aktiviti fizikal, tepuk dada tanya keinginan.

Namun apa yang kita kurang arif, semakin berat tubuh, semakin banyak darah yang diperlukan untuk mengalirkan oksigen dan nutrisi di dalam tubuh.

Kerja kuat itu menyebabkan tekanan yang dihadapi oleh tubuh semakin tinggi. Degupan jantung secara automatik akan menjadi lebih cepat dan ini mengakibatkan tekanan pada darah semakin meningkat.

#4 – Faktor Nikotin

Bahan-bahan yang disedut dan dihembus dari rokok itu boleh menyebabkan pembuluh darah semakin kurang elastisitinya.

#5 – Faktor Tekanan Hidup

Tekanan perasaan seperti marah, risau, geram akan menyebabkan tekanan darah melonjak. Kemudian, apabila perasaan sudah kembali tenang, tekanan darah akan menjadi normal semula.

Jika emosi tidak dikawal, keadaan bertukar ganti antara tertekan perasaan dan tenang akan menyebabkan tekanan pada darah menjadi kekal.

Tidur pula tidak cukup, penat dan mengantuk juga akan menyebabkan tekanan perasaan.

Jadi, apakah yang harus dilakukan untuk mengawal tekanan darah sebelum menjadi bertambah buruk?

Keajaiban Bawang Putih

Bawang putih sering ditemui di dapur, sebagai bahan tumisan. Menumis tanpa sedikit percikan bawang putih membuatkan sesuatu makanan tumisan rasa kurang umpph! Dalam cerita Hollywood, mereka sering menggunakan bawang putih untuk menjauhkan drakula!

Rupa-rupanya bawang putih bukan sekadar penyedap roti bawang putih dan lain-lain masakan, ia juga mempunyai banyak khasiat semulajadi untuk menawar penyakit.

Seperti mencegah pembekuan darah juga mencegah darah daripada bergumpal. Bahan tumisan penting ini didapati mengandungi magnesium, alicin, fosfor, adenosine dan banyak lagi.

Memang ramai yang tidak tahan dengan baunya yang menyengat tetapi bawang putih mengandung bahan antioksidan dan Di-sulphide yang dapat membantu menurunkan kadar kolesterol dalam darah.

Bawang putih boleh merangsang pengeluaran nitric oxide yang terdapat pada dinding salur darah. Bahan nitric oxide ini akan membantu salur darah untuk mengembang. Seterusnya tekanan darah seseorang itu dapat dikawal.

Cara Pengambilan Bawang Putih
Sebaik-baiknya makan bawang putih mentah, pada waktu pagi ketika perut kosong. Tidak dimasak kerana bahan alicin dalam bawang putih akan musnah apabila dipanaskan.

Alicin ini dipercayai merupakan salah satu zat yang dapat membantu menurunkan tekanan darah tinggi.

Anda boleh makan bawang putih begitu sahaja atau ketuk dahulu bawang putih itu kemudian diracik halus. Boleh juga ditumbuk.

Selepas itu terus ditelan. Jika tidak tertelan, tunda dengan air. Anda mungkin tidak tahan dengan baunya, tetapi ingatlah faedah-faedah yang boleh didapati daripadanya.

Anda boleh juga tumbuk bawang putih dan campur ke dalam segelas air masak. Minum cepat-cepat sebelum semangat hilang!

Lain-lain khasiat pada bawang putih adalah melancarkan proses pencernaan, dapat menyihatkan usus.

Dapat mencegah penyakit alzheimer dan dementia kerana kandungan S-allyl-L-Scysteine (SAC) dan antioksidan untuk menjaga otak daripada kerosakan kognitif.

Mencegah penyakit jantung kerana bawang putih dapat menolong mencegah pembentukan plak pada arteri. Ada juga laporan menyatakan bahawa bawang putih dapat membantu mengurangkan risiko penyakit kanser seperti kanser pankreas dan kanser payudara.

Saya tahu, anda mungkin masih runsing dengan baunya. Apa kata anda cuba minum susu atau makan yogurt selepas menelan bawang putih.

Boleh juga makan dengan daun seledri untuk mengurangkan baunya. Setidak-tidaknya anda boleh memberus gigi dan berkumur dengan cairan pembasuh mulut untuk menghilangkan bau bawang putih itu.

Apapun, bawang putih hanya boleh membantu mengawal, bukan merawat. Jika anda memang penghidap penyakit darah tinggi, dapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar perubatan anda atau doktor bertauliah.

Ingatlah, untuk jangka masa panjang, hipertensi yang tidak dirawat sewajarnya boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang, jantung dan otak.

Penyakit darah tinggi adalah pembunuh senyap, kealpaan menghadapinya akan merosakkan diri sendiri.

Akhir sekali, bertindaklah sebelum terlambat.

Rujukan:
http://www.suria.my/gaya_hidup/
http://hellosehat.com/hidup-sehat/
http://www.bugarfit.com/
http://www.carakhasiatmanfaat.com/
http: pendidikanpesakit.myhealth.gov.my


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saodah Lasim

Bermula dengan menulis novel kanak-kanak dan novel bercorak thriller, kini Saodah adalah seorang editor bebas, penulis dan juga penulis upahan (ghostwriter). Telah mengedit buku-buku daripada pelbagai genre antaranya novel am, novel kanak-kanak, biografi, motivasi, panduan, sejarah, keagamaan dan kisah hidup. Juga merupakan seorang penyelaras penerbitan dan telah membantu menerbitkan beberapa buah buku untuk penulis swaterbit.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami