Ibadah

Kaumku Adalah Tanggungjawabku

Oleh Al Irfan Jani  •  6 May 2015  •  7 min baca

“Irufan-san! Kau ikut aku, ya.”

Sergah Haneef-san betul-betul di telinga kananku.

“Alamak. Aku err… Tak biasa..”

Imam Fatah tiba-tiba mencelah dari belakang,

“Ha, lepas Isyak kita bertolak. Irufan-san, kau ikut Haneef-san ke Mishima, ya.”

Kalau ‘abang’ besar, Imam Fatah, yang beri arahan, bermakna ia adalah knock-out untukku. Diam, dan patuh pada ketua. Dialah Imam Fatah, berasal dari Muar Johor. Di saat semua jemaah menggelarnya Imam Saf, dia mahu aku memanggilnya abang sahaja.

Masjid Fuji Rasool namanya diambil sempena kedudukannya yang tidak jauh dari Gunung Fuji. [Panoramio]

Masjid Fuji Rasool kedudukannya yang tidak jauh dari Gunung Fuji. [Panoramio]

Sekiranya Tuan-tuan belum tahu, selain juruterbang Malaysia adalah antara terbaik di dunia yang menunggang Si Hud-Hud Besi, tidak sedikit imam di Jepun ini yang diimport dari Malaysia bagi mengepalai masjid-masjid dan membantu dakwah di sini. Ini kerana imam Malaysia ramai yang menghafal Al-Quran dan Hadis, serta fasih berbahasa Inggeris dan Arab (ada juga yang mahir berbahasa Urdu). Lagipula persahabatan Jepun-Malaysia telah mematahkan segala birokrasi imigresen dua hala.

Bagai sakti yang dikirim Allah, belumpun setahun di tanah sakura ini, tidak semena-mena aku terlibat ke dalam jemaah Tabligh di sini. Semuanya bermula saat aku dipinta terjemahkan Jepun-Inggeris sewaktu acara Khutbah Sebelum Khutbah Jumaat (KSK) di Masjid Fuji ini. Walau terketar-ketar, tersangkut-sangkut, tetap kugagahi juga. Paling gelabah, bila kuterjemahkan Fil-Ardh atau Ad-Dun-ya kepada Chi-Kyu, yang bermaksud planet bumi. Masak… Masak…

Kepada yang arif dengan gerakan Tabligh, konsep KSK ini adalah biasa di Malaysia. Tujuannya adalah untuk menyampaikan teks khutbah rasmi ke dalam bentuk pelbagai bahasa dunia secara serentak (kerana khutbah Jumaat rasmi yang pertama disampaikan dalam bahasa Arab). Dalam sesi KSK di tempatku, Khatib menggunakan bahasa Inggeris, kemudian diterjemahkan ke 8 kelompok bahasa yang ada. Urdu, Tamil, Perancis, Jepun, Inggeris, Indonesia, Mandarin, dan Arab (di sesetengah tempat yang lain, aku pernah lihat lebih 20 kelompok pun ada).

Masjid Fuji Rasool, namanya diambil sempena kedudukannya yang tidak jauh dari Gunung Fuji, seperti biasa kulihat merah jambunya puncak Fuji dari tingkap bilikku sewaktu menjelang Maghrib. Untuk ke sana, memerlukan transit 3 stesen keretapi dari tempatku, lebih kurang 40 minit. Jadi, masa yang termampu kuluangkan bersama jemaah ini hanyalah di hari cuti saja, memandangkan jadual kuliahku yang padat sekali.

Selepas Isyak. Suhu tercatat di Casio, 10 darjah.

Menuju ke Mishima, kami menaiki sebuah pajero besar, bersama Haneef-san dan 3 jemaah dari Pakistan yang lain. Sunyi keadaan di sini, seperti pekan Rengit yang ‘mati’ selepas jam 12. Melalui kawasan berkontena seluas 20 hektar, menyelusuri timbunan cebisan-cebisan tubuh kereta, dapat kutebak di sinilah tempat potong kereta di Jepun yang terbesar (agaknya). Haneef-san tidur saja di belakang, sedang kami melilau-lilau menurut peta lokasi yang diarahkan Imam Fatah.

Haneef-san adalah satu-satunya orang Jepun Muslim yang ada bersama kami. Menerima ehsan cahaya Allah di negara Amerika sewaktu menuntut di sana, aku sangat selesa berkawan dengannya kerana aku satu-satunya kawan lain negara yang boleh berbahasa Jepun kasar dan pasar (err.. aku berkawan dengaan geng-geng Yakuza juga di sini).

Tiba di sebuah rumah kabin (kontena). Semua kami turun dan menghampiri pagar. Puas 15 minit dipanggil-panggil penghuninya, muncul kelibat seorang Jepun yang terhuyung-hayang. Di tangan kanannya memegang botol, dan tangan kirinya menggendong sebakul arak. Berkemeja tapi selekeh, ada imbasan seorang tauke besar spare-part Honda di sini (ada logo Honda di belakang).

“Oi, oi. Marilah sini minum sekali dengan aku.”

Si Jepun pemabuk ini membuka pintu pagar dan beri laluan. Aku dan 3 Pakistan lain terpinga-pinga, menoleh sesama sendiri. Tanganku keduanya masih di jaket sejuk. Jangan dikira berapa tebal baju si Pakistan itu, sudahlah berpeluk tubuh pun tetap berselimut lagi.

Dari belakang kami, Haneef-san seakan terjerit-jerit, namun bait tuturnya berhati-hati.

“Wahai saudaraku, namaku Haneef. Aku datang padamu ingin sampaikan satu berita gembira.”

Si pemabuk menjerkah dengan bengis,

“Ahh, aku dah cukup gembira. Apa lagi aku mahu?”

“Pencipta aku. Pencipta kau. Yang ilhamkan manusia membuat arak itu. Yang jadikan kau kaya. Namanya Arra~” (Jepun memang pelat tak boleh sebut huruf L).”

Haneef-san dengan nada perlahan penyayang, mulakan langkah hampiri dia. Sedikit demi sedikit, Haneef-san mengangkat tangannya ingin memegang bahu si pemabuk Jepun itu.

Lantas ditepis,

“Arkh!!! Dia siapa? Jadi, kau nak perkenalkan aku seorang Tuhan? Atau kau ini yang Tuhan, ha?”

Jeritannya kali ini menggetarkan, ibarat gempa yang gegarkan sepi di tengah pekat malam ini. Berebut-rebut asap wap keluar dari celah-celah bibirnya.

BAMMM!!

Bakul arak di tangannya terhempas ke tanah. Dalam mabuk-mabuk itu, si Jepun ini masih kuat mengangkat dan menghempas bakul yang sah-sah berat. Kemudian, si Jepun itu menonggang botol syaitan yang masih di tangannya.

Sekonyong-konyong Haneef-san merampas botol itu, dan dia campakkan ke tanah, tidak jauh dari kaki si pemabuk.

PRANG!!

Haneef-san menjerit sekuat-kuatnya,

“BAKAYARO!!! CHIKUS***!!” (Bodoh!! Sial!!)

3 Pakistan tadi tergamam. Aku jangan ditekalah. Hampir terkencing pun ada. Terkejut bukan main. Ada niat juga inginku ke situ dan menampar Haneef-san. Hati berbolak-balik, tertanya-tanya, kenapa begitu ber’hikmah’ sekali dakwah si Jepun yang celup Amerika ini.

“Aku tahu! Hidup kau kosong! Aku datang nak isi kekosongan itu!” ‘Ki~terukai, omaera’? (Kau dengar tak ni??)”

Jerit lagi si Haneef-san.

Kali ini jelas sekali tangannya kini membentuk sepenumbuk. Bersedia agaknya kalau-kalau si mabuk ini mahu menghentak Haneef-san. Kalau jadi begitu, memang sah aku terpaksa masuk jugalah walaupun dulu selalu ponteng kelas ‘gayung’.

Kemudian, si mabuk tadi terduduk. Menangis semahu-mahunya.

“Uwaa!!!” Wuu… Waa!!!”

Tangisnya biar jerit, lagunya begitu syahdu. Dia menangis tertunduk. Sesekali dia menampar pipinya dengan pasir yang diserak-serakkan dengan kaki.

Sambil menangis, si mabuk itu bercakap sendirian,

“Kenapa? Kenapa aku dapat semua kesenangan ini. Semuanya macam diberi begitu saja. Siapa yang bagi? Wuu…”

Mata Haneef-san juga mulai bertakung. Dia bercangkung lalu cepat-cepat memeluk si Jepun pemabuk itu. Membisik, namun lembut didengari,

“Aku datang ingin perkenalkan Tuhan pada kau. Memang Tuhan ingin temukan kita.”

Dengan pasir-pasir yang digamkan airmata, saling berciuman dahi ke dahi, mereka berkongsi rasa kasih. Bagai kasih abang-adik. Macam ibu yang baru ketemu anak yang dilarikan orang. Seperti bapa yang baru saja merotan anak kecilnya yang tidak solat. Tangisan itu amat meruntun jiwa.

Melihat aksi keanak-anakan mereka, hatiku sedari tadi berkongsi sendu. Jujurnya, aku menangis begitu laju. Yang pasti, 3 Pakistan tadi biarpun terpinga-pinga (kerana tidak memahami bahasa Jepun), tetap jua merintih seakan baru menonton filem Hindustan lagaknya; sekejap-sekejap mengesat mata dengan baju.

Hari itu, di tengah pekat malam yang dingin salju, selain bersaksikan empat sosok tubuh yang saling berkenalan demi Allah yang satu, dijeling bulan dan bintang yang mengerlip bagai mengenyit matanya, akhirnya lafaz terindah lembut menerbangi hati-hati kami. Maka bertambahlah teman seperjuangan kami di lapangan ini. Syahadah diangkat, lalu berselang peluk sesama adik-beradik ini.

Hanya aku yang mengenali kaum aku. - Haneef-san [Youtube]

Hanya aku yang mengenali kaum aku. – Haneef-san [Youtube]

Inilah sebuah kisah yang amat besar dalam pengertian hidupku mengenai keimanan. Mengenai hidayah. Mengenai syahadah.

Maka, dijawab Haneef-san dengn panjang lebar, sewaktu kutanyakan kenapa dia merampas dan membaling botol arak tadi:

1) Irufan-san, Allah dah pesan pada kita melalui kitab yang dibawa Nabi Muhammad SAW, Allah takkan ubah nasib kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya. (Kalian mohon rujuk Surah Ar-Ra’d:11).

2) Hanya aku yang mengenal kaum ku. Hanya aku yang tahu apa yang patut aku lakukan. Mungkin kau lihat aku begitu kasar dan samseng sekali. Tapi, aku amat kenal dengan peribadi sang pemabuk, kerana arak pernah menjadi sebahagian dari nafasku sewaktu masa dahulu.

3) Orang yang mabuk adalah orang yang paling jujur. Kejujuran sang pemabuk sangat jernih. Kerana begitu jernih dan sucinya kejujuran itu hingga perasaan malu tiada dinding lagi.

4) Maka, dengan kasih sayang Allah, telah diharamkan arak itu demi melindungi dan memelihara sifat malu dari dimakan nafsu. (Allahuakbar)

Haneef-san terdiam sejenak. Dia tanyakan satu soalan yang begitu pendek padaku,

“Irufan-san. Apa rencanamu, untuk kaum dan bangsamu?”

Diam. Begitu dalam dan menyentap benakku dek pertanyaan Haneef-san itu. Bunyinya tidak menyindir. Dia seakan mahu bersamaku melihat dan menemankan daku di tanahairku, yang serba ‘batu’. Pertanyaan itu telah merobek segala jenis perjuangan bangsa dan ala nasional yang banyak meracun fikiranku dan rakyatku sewaktu di zaman sekolah dulu.

Pengalamanku ini, terlalu mahal. Kerana ia amat mengajarku, betapa perkataan Dakwah Bil Hikmah (dakwah berhikmah) itu bukanlah sekadar kata-kata manis, lemah lembut atau sopan-santun dalam menyusun kata-kata pesan amar makruf nahi mungkar. Tetapi!

Buatlah apa saja. Apa cara, apa strategi dan apa dorongan. Asalkan masih tidak menjemput dosa, biar setiap langkah dan kata-kata kita sampai TERTUSUK, MENCUCUK, dan MENYELINAP ke hati-hati hamba-Nya, hanya demi sekeping cinta. Cuma sekeping, tapi besaaar fungsinya. Iaitu cintakan Yang Maha Mencinta. Yang kita hutangkan percintaan kita selama ini kepada Dia.

HUTANG! Pernahkah aku terfikir untuk membayar hutang ini?


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Al Irfan Jani

Al Irfan Jani

Beliau merupakan seorang usahawan yang melihat sesuatu dari dimensi yang berbeza. Walaupun sekadar memerhati sesuatu di jalanan tetapi beliau mampu mengutip pelbagai pengajaran yang berguna.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami