Gaya Hidup

Kata Nama ‘Aku’ Dalam Berdoa – Bukti Dekatnya Ikatan Makhluk Dan Pencipta

Oleh Fieyzah Lee  •  16 Jul 2019  •  5 min baca

Sewaktu saya mengambil kelas Kesantunan Berbahasa, kami ada diajar mengenai prinsip dan teori berbahasa dalam menggelar diri sendiri, iaitu ketika berkomunikasi.

Salah satu prinsip yang membuatkan saya tertarik ialah prinsip yang telah ditekankan oleh Awang Sariyan (2007), iaitu; “Kesantunan bahasa ialah penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi yang mulia serta mampu menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya.”

Maksud prinsip tersebut ialah, jika seseorang itu mempunyai pangkat yang lebih tinggi, maka kita perlu membahasakan dengan panggilan yang tinggi, bukannya dengan yang sama taraf dengan diri sendiri. Sebagai contoh, kita akan memanggil ibu kita dengan panggilan mama atau emak ketika berbicara, bukannya aku atau engkau.

Begitu juga, jika kita menghadap raja atau sultan, kita akan membahasakan diri kita dengan dengan panggilan yang lebih rendah seperti hamba atau patik kepada mereka yang lebih tinggi dengan gelaran tuanku.

Hal ini membuatkan saya terfikir, mengapa dengan Tuhan, kita cenderung untuk menggelarNya sebagai ‘Engkau’ dan menggunakan kata ganti diri ‘aku’ ketika berdoa atau berbicara denganNya.

Malah, jika dilihat di dalam al-Quran juga yang telah diterjemahkan kepada Bahasa Melayu, Allah juga telah menggunakan kata ganti diri ‘Aku’ dan ‘Kami’ untuk berbicara dengan hambaNya.

Sedangkan, jika dilihat taraf dan pangkat Dia adalah yang tertinggi kerana Allah adalah Pencipta sekalian makhlukNya. Kita wajar untuk menggunakan kata ganti diri yang lebih elok bagi menunjukkan tanda hormat kepadaNya dan membuktikan bahawa hinanya kita sebagai hamba.

Pensyarah saya langsung menjawab, mungkin kami lupa akan satu lagi konsep yang ditekankan untuk santun dalam berbahasa yang telah dibawa oleh Leech (1983), iaitu kesantunan merupakan perkara yang mewujudkan pengiktirafan diri dalam sesuatu interaksi sosial.

Interaksi sosial seperti komunikasi dan perbuatan sesama pencipta, manusia dan juga makhluk adalah dikira. Semakin kita selesa dengan seseorang, maka taraf berbahasa semakin kurang formal dan tidak terikat.

Sebagai contoh, jika hubungan anda dengan majikan, pasti anda akan menggelarnya sebagai Tuan, Encik atau bos. Namun, bebeza dengan panggilan yang anda akan gunakan dengan sahabat karib seperti kau dan aku.

Malah, jika sesebuah hubungan itu semakin rapat dan intim, kita tidak akan malu untuk menggelarnya dengan panggilan yang akan memberi keselesaan buat kedua-dua belah pihak. Sebagai contoh, pasangan suami isteri yang cenderung untuk menggelar dengan gelaran abang dan sayang atau mama dan papa.

Kita cenderung untuk berbahasa secara formal dengan seseorang yang lebih berpangkat kerana ia merupakan suatu tanda hormat. Seperti anak yang menghormati ibu bapanya, langsung diberi gelaran ibu dan bapa.

Ini bukan juga bermaksud panggilan yang tidak formal menunjukkan kurangnya hormat kita kepada seseorang, namun kita menghormati dari sudut yang lain, iaitu keselesaan di antara kedua belah pihak.

Jadi, dalam konsep kita dengan Tuhan, bukankah kita akan lebih mudah dan selesa untuk meminta dan meluahkan sesuatu jika tiada taraf dan beza antara kita?

Saya bawakan satu contoh – jika anda ingin membuat pinjaman pelajaran daripada mana-mana jabatan seperti PTPTN, maka anda perlu naik turun pejabat dengan membawa dokumen yang berkenaan di tangan dan berjumpa mana-mana pegawai yang berkhidmat untuk menguruskan, bukan?

Berbeza dengan anda yang ingin meminjam wang dengan rakan baik anda atau ibu bapa, hanya perlu dail sahaja nombor dan terangkan tujuan kegunaan wang tersebut. Dapat atau tidak, bergantung kepada mereka.

Sama kan dalam konsep kita dengan Tuhan? Allah ingin membuatkan hambaNya berasa lebih dekat dan rapat denganNya dengan membuang segala jenis taraf dan pangkat yang perlu diletakkan. Cukuplah kita meluahkan segala masalah dalam keadaan yang selesa dan boleh membuatkan kita lebih erat denganNya.

Apabila diterangkan sebegini rupa, kita mengakui bahawa tanpa apa-apa pangkat atau jawatan, kita akan cenderung untuk lebih dekat dengan seseorang. Malah, kita akan mudah untuk berkongsi luahan atau meminta tolong dengan mereka.

Begitu juga hubungan kita dengan Tuhan. Mudah dan lebih dekat.

وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ

“Sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (Surah Qaf, 50:16)

Mengapa Allah Membahasakan ‘Kami’

Jika perkataan ‘Aku’ yang dibahasakan Allah sebagai kata ganti diriNya di dalam Al-Quran adalah sama dengan alasan di atas, maka kita faham.

Namun, mengapa wujudnya juga perkataan ‘Kami’ sebagai kata ganti diriNya sedangkan kami membawa maksud ramai. Umum mengetahui Allah hanya satu, sifatNya Esa dan tiada tuhan lain selain dariNya.

Apabila dilihat dalam nahu atau tatabahasa Arab, uniknya bahasa inilah yang menambahkan lagi keunikan al-Quran.

Menurut pakar-pakar tafsir yang telah membukukan Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Al-Jalalein dan Tafsir Al Misbah, telah dijelaskan di dalam tafsir-tafsir ini bahawa penggunaan ‘Kami’ di dalam ayat Al-Quran menunjukkan ada unsur lain yang terlibat.

Sebagai contoh, dalam surah al-Hujurat;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Mafhum: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (Surah Al-Hujurat, 49:13)

Dalam ayat di atas, Allah yang telah menciptakan manusia dan unsur yang terlibat ialah lelaki dan perempuan melalui proses persenyawaan. Sama juga dengan contoh dari surah Al-Anbiya’ yang dibawakan ini;

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Mafhum: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (surah AlAnbiya’, 21:107)

‘Kami’ dalam ayat di atas melibatkan unsur Malaikat Jibril yang telah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad dalam proses kerasulannya.

Walau bagaimanapun, hakikatnya setiap sesuatu yang berlaku adalah dengan izin dan kuasa Allah.

Jadi, Allah akan menggunakan kata ganti ‘Aku’ untuk menunjukkan keagungan dan kebesaranNya. Sebagai contoh, keputusan Allah mencipta Nabi Adam adalah berdasarkan kuasaNya sendiri.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Mafhum: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” (Surah Al-Baqara, 2:30)

Kesimpulan

Dalam berbahasa, kesantunan merupakan suatu perkara yang paling penting untuk menggalakkan komunikasi yang berkesan dan harmoni di antara kedua belah pihak, iaitu pendengar dan perucap.

Semakin selesa kita dengan seseorang, maka taraf formal juga akan semakin berkurang dan ia membuktikan keakraban dan harmoni sesebuah hubungan. Untuk menambahkan keharmonian hubungan kita dengan Tuhan, maka kita perlu banyak bercakap dan meluahkan.

Sama sahaja hubungan kita dengan manusia. Seseorang kawan itu boleh bertukar menjadi sahabat setelah beberapa kali bertukar pendapat dan saling meluahkan sekali gus timbulnya kepercayaan antara satu sama lain.

Orang yang meletakkan pergantungannya kepada Tuhan adalah orang yang sentiasa percaya dengan kalamNya dan yakin untuk meluahkan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami