Keluarga

Kata-Kata Yang Mendorong Kepada Berlakunya Kes Buli

Oleh Noor Afidah Abu Bakar  •  9 Aug 2019  •  3 min baca

Kata-kata orang dewasa yang menggalakkan amalan buli di kalangan kanak-kanak dan remaja.

#1- “Alaa ini hal budak-budak, tak payahlah orang tua masuk campur.”

Salah. Jika dari kecil budak-budak yang suka membuli ini dibiarkan membuli dan orang tua tidak masuk campur untuk membimbing, sampai ke tualah budak-budak itu akan terus membuli.

Mereka akan menjadi buli di jalan raya, jadi buli di tempat kerja, buli pekerja perkhidmatan, dan juga mendera dan ganas kepada ahli keluarga sendiri.

#2- “Buli sudah menjadi adat di sini”

Salah. Amalan buli fizikal, buli mental atau buli emosi tidak pernah diisytiharkan sebagai adat atau budaya bagi mana-mana masyarakat yang bertamadun. 

Jangan menormalisasikan amalan buli kerana ia merupakan amalan masyarakat yang tidak bertamadun, ‘low class’ dan meruntuhkan masyarakat.

#3- “Biasalah tu. Semua orang kena buli. Anak saya pun kena.”

Salah. Amalan buli bukan sesuatu yang biasa. Mereka yang menganggap buli sebagai satu amalan yang biasa dan perlu diterima semua adalah mereka yang sakit jiwanya. 

Tidak ada manusia yang waras akal dan sihat jiwanya akan menganggap amalan yang ganas, menyakiti, melukakan, memulau, menyisih, dan menyindir sehingga menyebabkan kemurungan dan kematian sebagai satu amalan yang biasa. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.

#4- “Sikit saja tu. Jangan lembik sangat. Orang kena buli akan jadi tough ‘doe.”

Salah. Kita tidak memperkasakan kanak-kanak dan anak muda kita dengan membiarkan mereka dibuli atau membuli. Ajaran sesat dari manakah itu?

Kita memperkasakan kanak-kanak dan remaja dengan cara memberikan tanggungjawab kepada mereka.

Kita memperkasakan mereka dengan memberikan mereka galakan, ruang dan peluang untuk menyumbang idea, tenaga dan kepakaran dalam keluarga, menyumbang kepada sekolah dan menyumbang kepada masyarakat setempat mengikut kemampuan dan usia mereka. Buli hanya akan mematikan jiwa generasi muda kita.

#5- “Perangai budak tu memang gitu. Biarkan saja, jangan layan.”

Salah. Tingkah laku kanak-kanak dan remaja yang memudaratkan orang sekeliling, memudaratkan harta benda dan memudaratkan dirinya sendiri seharusnya diperbetulkan.

Jangan dibiarkan dia tanpa bantuan dan intervensi tingkah laku. Jika dibiarkan tanpa bantuan, dia akan terus membuli dan akan terus menganggap dirinya betul dan tidak bermasalah. Rugi agama, bangsa dan negara.

#6- “Hidup memang macam ini.”

Salah. Hidup anak-anak kita tidak perlu jadi sengsara sehingga ke tua akibat dibuli ketika zaman kanak-kanak atau remaja.

Kita tidak perlu kehilangan nyawa anak muda kita angkara dibuli sehingga menyebabkan kematian.

Kita tidak perlu kehilangan jiwa anak muda kita angkara menjadi pembuli. Semua ini boleh dielakkan dengan mewujudkan kesedaran di rumah, di sekolah dan dalam masyarakat tentang buli. Kita perlu berusaha untuk membanteras buli dari akar umbinya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Noor Afidah Abu Bakar

Noor Afidah Abu Bakar

Beliau merupakan 'Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)'. Beliau boleh dihubungi melalui FB Parent Connect. Lulusan MA Early Childhood Education di University of Sheffield.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami