Wanita

Kasih Setulus Safiyah Binti Huyay

Oleh Rasyidah Rahmat  •  10 Feb 2019  •  3 min baca

Adakah anda mengenali keperibadian srikandi Safiyah Binti Huyay? Siapakah wanita Islam hebat di sebalik nama indah ini? Ayuh kita menelusuri sejarah tokoh wanita Islam ini.

Wanita Cerdas, Terhormat Dan Rupawan

Safiyah Binti Huyay Binti Akhthan Bin Sa’yah merupakan salah seorang daripada keturunan Nabi Harun A.S (semoga Allah merahmati baginda).

Safiyah merupakan seorang wanita yang terkenal dengan kecerdasannya, sentiasa dihormati dan cantik sekali. Sebelum memeluk Islam, Safiyah berkahwin dengan Salam Bin Abi al-Haqiq.

Setelah itu, Safiyah berkahwin dengan Kinanah Bin Abi al-Haqiq. Kedua-duanya merupakan penyair Yahudi.

Namun begitu, Kinanah telah terbunuh semasa peperangan Khaibar dan Safiyah termasuk di antara wanita yang ditawan bersama-sama wanita lain. Setelah itu Rasulullah S.A.W melamar Safiyah.

Cemburunya Isteri-Isteri Rasulullah

Ketika rombongan tiba di Madinah, Rasulullah S.A.W memerintahkan agar Safiyah tidak bertemu dengan isteri-isteri Rasulullah S.A.W yang lain.

Baginda S.A.W menurunkan Safiyah di rumah sahabatnya yang bernama Harithah Bin Nu’man. Ketika wanita-wanita Ansar mendengar berita itu, mereka datang untuk melihat kecantikannya.

Saidatina Aisyah R.H.A. keluar sambil menutup dirinya agar tidak dilihat Nabi S.A.W. Kemudian dia masuk ke rumah Harithah Bin Nu’man. Manakala, isteri-isteri Rasulullah S.A.W pula mencemburui kecantikan Safiyah.

Safiyah kemudiannya berpindah ke rumah Nabi dan hal ini menimbulkan kecemburuan isteri-isteri Nabi S.A.W di atas kecantikan yang dimiliki oleh Safiyah. Namun begitu, mereka tetap mengucapkan selamat di atas perkahwinan Baginda S.A.W.

Kata-kata Seorang Suami Memujuk Hati

Suatu ketika, Safiyah terguris hatinya disebabkan kata-kata yang keluar dari mulut Hafsah;

“Anak seorang Yahudi”

Kata-kata Hafsah menyebabkan Safiyah menangis. Ketika itu, Rasulullah S.A.W melihat Safiyah dalam keadaan menangis.

“Apakah yang membuatmu menangis?”

Safiyah menjawab;

“Hafsah mengatakan kepadaku bahawa aku adalah anak seorang Yahudi.”

Rasulullah S.A.W bersabda;

“Sesungguhnya kamu adalah dari keturunan Nabi, bapa saudaramu adalah seorang Nabi dan suamimu juga adalah seorang Nabi, lantas atas alasan apakah mereka mengejekmu?”

Kemudian, Baginda S.A.W bersabda kepada Hafsah;

“Bertaqwalah kepada Allah wahai Hafsah.”

Kata-kata Rasulullah S.A.W itu menjadi penyejuk dan ketenangan di hati Safiyah. Jika dia mendengar lagi ejekan daripada isteri Nabi yang lain, dia pun berkata;

“Bagaimanakah kamu semua lebih baik daripadaku, padahal suamiku adalah Muhammad, ayahku adalah Harun dan bapa saudaraku adalah Musa.”

Angan-Angan Untuk Menjadi Isterimu Ketika Musyrik

Safiyah menceritakan ketika dia bersama dengan Kinanah Bin Rabi’. Pada malam itu, dia bermimpi bulan jatuh ke biliknya.

Semasa terjaga daripada tidur, Safiyah menceritakan hal itu kepada Kinanah. Kinanah berkata dengan marah;

“Mimpimu tidak ada takwil lain melainkan kamu berangan-angan mendapat raja hijjaz Muhammad”

Kinanah menampar wajah Safiyah dengan kuat sehingga berbekas. Masya-Allah! Hebatnya srikandi Islam ini sehinggakan dia terpilih untuk menjadi salah seorang isteri insan yang paling hebat iaitu Rasulullah S.A.W.

Kisah Safiyah ini menjadikan kita sangat mempelajari mengenai fitrah seorang wanita dan kasih sayang serta cara seorang suami seperti Rasulullah dalam menjaga hati seorang isteri.

Safiyah Binti Huyay meninggal dunia pada usianya sekitar 50 tahun pada Zaman Muawiyah. Serikandi ini dikebumikan di Baqi bersama Ummul Mukminin yang lain. Semoga Allah S.W.T meredai dan merahmati mereka. Amin.

Rujukan:
100 Tokoh Wanita Di Sisi Rasulullah S.A.W


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami