Gaya Hidup

Jom! Duduk Fikir Iman Sejenak

Oleh Rasyidah Rahmat  •  12 Apr 2019  •  4 min baca

“Aku tanya apa khabar…
Aku tanya apa khabar…
Aku tanya apa khabar semua…”

Aku bagaikan berada dalam dunia imaginasi aku sendiri. Daripada pagi tadi aku khusyuk melayan lagu-lagu hit yang sedang popular dimainkan di corong radio.

Aku terasa khayal dengan irama muzik yang aku mainkan sejak tadi. Sambil asyik mendengar radio aku melukis sesuatu di atas sehelai kertas kumal.

Profesi sebagai kartunis katakan. Setiap hari ada saja perkara yang perlu aku lakarkan menjadi idea baru. Adakalanya ia sungguh melelahkan.

Jam tepat menunjukkan pukul 4.00 petang, sebentar lagi azan asar berkumandang. Ingatan daripada DJ radio kepada para pendengar termasuklah aku.

“Apa khabar iman di hati?”

Pertanyaan ustaz yang menyampaikan tazkirah di corong radio menyebabkan aku terkedu sesaat. Bila terakhir kali yang bertanya tentang keadaan khabar iman aku?

Lima saat kemudian;

“Oh! Abang naqib!”

Alunan azan pun bergema.

Marilah Kita Fikir Iman Dan Duduk Sejenak

Muaz Bin Jabal telah mengingatkan sahabatnya dengan berkata;

“Marilah kita duduk untuk berfikir iman sejenak”

Perkataan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu dia berkata kepada Abu Darda’ R.A sambil memegang tangannya.

“Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak”

Subhanallah, aku masih lagi ingat kata-kata ini sewaktu aku mengikuti satu bulatan gembira atau nama dalam bahasa arabnya iaitu ‘usrah’.

Aku sedar bahawa aku bukanlah antara ahli yang konsisten menghadiri setiap pertemuan disebabkan jadual aku yang agak padat.

Tetapi tidak dapat aku nafikan bahawa di dalam setiap pertemuan itu ada sesuatu pengisian yang mampu menghidupkan iman di jiwa. Hoyeahh!

Sejak aku berada di alam pekerjaan, aku sudah lama tidak disapa dengan mesej temu janji untuk berusrah pada setiap hujung minggu. Adakalanya aku cuba menidakkan bahawa bukan kerana usrah sahaja aku terlepas mendengar taujihat atau tazkirah.

Tetapi, lama kelamaan aku sendiri yang merasakan bahawa iman aku sedikit futur (menurun/ lemah) apabila tidak ber’usrah’. Hakikatnya, dalam bulatan itu kita temui kekuatan daripada insan-insan yang turut sama hajat tentang kebaikan.

Iman Elemen Terpenting Dalam Kehidupan

Aku teringat tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Khairi. Mengapa orang kita ada yang boleh baca surat khabar sebanyak mungkin helaiannya tetapi jarang sekali untuk membaca Al-Quran walau hanya satu muka surat?

Mengapa ada orang yang mampu berdiri lama untuk membeli tiket perlawanan bola sepak sedangkan tidak mampu berdiri untuk menunaikan solat subuh di masjid?

Mengapa wang RM50 terasa besar untuk disedekahkan di dalam tabung masjid sedangkan nilai RM50 terasa kecil di pasar raya ketika berbelanja? Mengapa?

Semuanya kerana I M A N di dada.

Aku terpukul dengan nasihat ini kerana ini adalah realiti hidup kita. Rupa-rupanya segala perbuatan, tingkah laku, pertuturan kita adalah berpunca daripada nilai iman dalam jiwa kita. Allahu.

Kesan Dan Pengaruh Iman

#1- Iman Merupakan Sumber Ketenangan

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah, tenang tenteramlah hati-hati manusia.”Surah Ar-Ra’du :28

#2- Pendorong Untuk Berakhlak Baik Dan Menjauhi Maksiat

“Tidak berzina seseorang yang berzina, sedangkan ketika ia berzina dalam keadaan beriman, tidak mencuri seseorang pencuri itu sedangkan ia dalam keadaan beriman, dan tidak minum arak seseorang peminum arak sedangkan ia dalam keadaan beriman.” Riwayat Bukhari & Muslim

#3- Dikurniakan Keutuhan Ukhuwah Berteraskan Iman

“Dan (Dia-lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi., nescaya engkau tidak dapat menyatu-padukan di antara hati mereka,akan tetapi Allah telah menyatu-padukan (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”Surah Al-Anfal : 63

#4-Mengutuhkan Pegangan Aqidah

Iman dan aqidah saling mempengaruhi antara satu sama lain. Kualiti iman menjamin utuhnya pegangan aqidah sesorang.

Lihat sahaja sirah rasul-rasul terdahulu membuktikan kemantapan iman yang diterapkan rasul kepada pengikutnya telah mengutuhkan aqidah mereka walaupun diseksa oleh golongan kuffar dan musyrikin.

Seperti kisah ketauhidan Srikandi Sumayyah dan Bilal Bin Rabah yang menjadi simbolik keyakinan yang teguh ketauhidan mereka terhadap Allah S.W.T.

#5- Sentiasa Dibawah Naungan Allah

“… dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang yang beriman.”Surah Ar-Rum : 47

Iman Tidak Dapat Diwarisi

Lamunanku terhenti tatkala mendengar notifikasi satu pesanan ringkas masuk. Aku melihat awan pada petang itu kelihatan mendung sahaja dari tingkap bilik.

Idea baru yang tiba-tiba pantas memenuhi kotak fikiran segera kuluahkan dengan melakar di atas kertas yang dari tadi kelihatan putih bersih.

Aku teringat kata-kata ustaz tadi, semuanya kerana iman. Hakikatnya iman itu bergantung pada setiap jasad manusia.

Tanpa perlu dipaksa dan disuruh. Aku mengangguk setuju. Kelihatan pada skrin telefon bimbitku berkelip-kelip cahaya lampu. Mesej tadi aku buka.

“Assalamualaikum Iman, apa khabar iman di hati? Jom jumpa malam ni?”Abang Naqib

Rujukan:
Buku Pengantar Aqidah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami