Ibadah

Jom Amalkan Istighfar Nabi Yunus

Oleh Fizah Lee  •  4 Sep 2020  •  3 min baca

Setiap kali ditimpa masalah, salah satu perkara yang boleh kita lakukan adalah dengan beristighfar.

Mengapa pula perlu istighfar? Sebab, mungkin masalah itu hadir disebabkan dosa dan maksiat yang kita lakukan.

Allah memberi masalah dan ujian sebagai peluang kedua, ketiga dan tidak kiralah peluang yang ke berapa untuk anda bertaubat.

Jadi, jangan lihat masalah itu sebagai beban, tetapi lihatlah ia sebagai salah satu asbab untuk anda memohon ampunan dan menghapuskan dosa-dosa yang ada.

Kita tidak tahu dengan cara yang bagaimana yang kita lakukan akan menyebabkan Allah memberi pengampunan dan menunjukkan jalan keluar buat kita.

Namun, kita boleh melakukan apa jua bentuk yang dirasakan mampu membantu kita melalui hari-hari yang sukar dan penuh mencabar ini.

Kisah Nabi Yunus Dan Istighfarnya

Untuk lebih jelas, mari kita lihat sebuah kisah yang cukup masyhur yang telah berlaku ke atas Nabi Yunus AS.

Baginda merupakan seorang nabi yang telah ditelan ikan Nun. Ada yang mengatakan bahawa baginda telah ditelan ikan paus. Namun, baginda tidak meninggal di dalamnya tetapi telah ‘dikurung’ di dalam perut ikan itu hidup-hidup tanpa sebarang kecederaan kepadanya.

Mafhum: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku), maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (Surah Al-Anbiya, 21:87)

Apa kesalahan yang telah dilakukan oleh Nabi Yunus? Baginda telah meninggalkan kaumnya kerana takut akan azab Allah.

Baginda telah berdakwah kepada kaumnya selama hamir 30 tahun, namun tidak ramai yang mahu beriman kepada Allah kerana degil.

Baginda telah memohon kepada Allah agar dibantu urusannya itu dan Allah memberikan tempoh kepadanya untuk tetap meneruskan dakwahnya.

Ada riwayat yang menyebut bahawa tempoh masa yang diberikan adalah selama 40 hari. Namun, dalam masa itu, tetap tidak ramai yang mengikut ajarannya.

Baginda kemudian lari meninggalkan kaumnya walaupun tempoh masanya belum tamat. Hal ini yang menyebabkan Allah mengujinya dengan dosa-dosanya itu lalu menghantar ikan nun untuk menelannya.

Istighfar Nabi Yunus

Pada waktu inilah baginda mulai sedar bahawa ia adalah hukuman yang telah Allah berikan kepadanya akibat lari dari tanggungjawabnya, iaitu kaumnya sendiri.

Baginda mula berzikir dan memohon ampun kepada Allah. Tiada satu pun hari yang dilalui tanpa zikir dan istighfar.

Antara istighfar yang sentiasa diamalkannya adalah;

لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ 

Mafhum: “Sesungguhnya tiada tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

Nabi Yunus mengamalkan istighfar ini sehingga akhirnya Allah memberi keampunan dan peluang baru kepadanya.

Betapa hebatnya Allah dan Maha Pemurahnya Dia kerana tidak pernah mensia-siakan amalan dan doa hambaNya.

Kesimpulan

Istighar ini boleh dibaca tatkala kita ingin memohon keampunan kepada Allah agar dosa-dosa tidak menjadi penghalang kepada apa yang ingin dihajati.

Yang paling penting ialah kita perlu sentiasa memohon keampunan kepada Allah dan berdoa agar dipermudahkan urusan.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami