Inspirasi

Jeff Bezos Amazon: Tidak Pernah Menyesal Mencuba

Oleh Anas  •  25 Jul 2017  •  3 min baca

“Sentiasa ada perkara yang tidak disangka-sangka dalam penemuan.”

Ibunya, Jacklyn, masih remaja semasa melahirkan Jeff Bezos di New Mexico. Bapanya, Ted Jorgense berpisah dengan ibunya selepas setahun lebih perkahwinan mereka. Bapa kandungnya merupakan seorang penunggang ekasikal.

Selepas itu, ibunya berkahwin pula dengan Miguel Bezos, iaitu seorang pendatang dari Cuba yang berhijrah ke Amerika Syarikat ketika berusia 15 tahun. Mereka sekeluarga berpindah ke Texas di mana akhirnya Miguel berjaya menjadi jurutera di Exxon Mobil.

Jeff telah menunjukkan bakatnya dalam bidang mekanik sejak usia mudanya. Semasa kanak-kanak, beliau menggunakan pemutar skru untuk membuka katil bayinya. Semasa remaja, beliau mencipta penggera elektrik untuk menghalang adik-beradiknya duduk di dalam biliknya.

Minatnya itu menyebabkan ibu bapanya menyuruh beliau memindahkan barang-barangnya ke dalam garaj untuk dijadikan makmal projek sainsnya.

Jeff mendapat pendidikan sehingga ke peringkat universiti. Malah dia menamatkan pengajiannya di Universiti Princeton dengan dua Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan elektrik dan sains komputer.

Selepas tamat pengajian, Jeff mendapat beberapa tawaran kerja termasuk di Intel dan Bell Labs tetapi beliau menolaknya. Ini kerana beliau mahu menyertai start-up yang dipanggil Fitel. Namun, beliau meninggalkan Fitel selepas itu dan bekerja dengan Bankers Trust sebelum ke D.E Shaw & Co.

Pada usia 30 tahun, Jeff Bezos menjadi Timbalan Presiden Senior yang termuda di D.E Shaw & Co. Pendapatannya ketika itu sudah pun mencapai 6 angka.

Tapi, Jeff Bezos masih mempunyai perancangan lain walaupun dirinya sudah dianggap berjaya oleh ramai orang.
Idea penubuhan Amazon diperolehi semasa beliau sedang melayari internet. Beliau telah ternampak statistik penggunaan laman sesawang di dunia yang berkembang sebanyak 2,300% sebulan.

Pada masa yang sama Mahkamah di Amerika Syarikat telah menetapkan yang katalog atas talian tidak dikenakan cukai kerana sifatnya yang tidak fizikal. Bezos melihat adanya peluang yang amat besar dalam perniagaan secara atas talian dan mula meneroka pelbagai kemungkinan untuk membangunkan perniagaan secara atas talian.

Beliau menyenaraikan 20 produk berpotensi untuk dijual di internet. Setelah meneliti senarai beliau itu, Bezos mendapati buku adalah pilihan terbaik beliau. Ini kerana, jumlah buku yang diterbitkan adalah sangat banyak sedangkan kedai buku yang terbesar pun tidak mampu meletakkan jumlah buku sebanyak itu di dalam kedai fizikal mereka.

Oleh itu, kedai maya adalah pilihan tepat kerana ia boleh menempatkan berjuta tajuk untuk dijual. Beliau akhirnya meninggalkan kerjaya stabil beliau untuk membuka syarikat laman sesawangnya sendiri. Kata orang, jika mahu membuat perubahan dalam hidup, ada yang perlu dikorbankan. Oleh itu, beliau bukan sahaja berhenti kerja, malah berpindah rumah.

Amazon ditubuhkan dengan pelaburan 1 juta dollar pada tahun 1994, di mana pelaburnya terdiri daripada rakan-rakan dan keluarganya. ‘Premis’ perniagaannya terletak di garaj rumah yang disewa beliau dan keluarganya di Seatlle. Bezos memilih untuk tinggal di Seatlle kerana ia lokasi yang mempunyai banyak bakat teknologi tinggi dan kedudukannya berhampiran gudang Oregon Ingram Book Group.

Dalam masa setahun, Amazon.com meletakkan 1 juta tajuk buku. Jumlah pekerja yang asalnya seramai 100 orang telah meningkat kepada 3000 orang dalam masa tiga tahun. Jualan mereka pula mencecah 610 juta dollar! Jualan Amazon meningkat 3000% setiap tahun dan menjadi antara peniaga buku terbesar di negaranya.

Selain buku, Amazon.com juga turut membuka pasarannya kepada muzik, hadiah dan farmasi. Menyedari mereka juga terpaksa bersaing dengan syarikat atas talian yang lain seperti eBay, Amazon.com mula menyertai Sotheby’s Holding Inc untuk melancarkan lelong atas talian. Strategi ini membantu Amazon terus kekal maju.

Pada tahun 2014, keuntungan Amazon mencapai US$ 88.8 billion. Malah, Jeff mengalahkan kedudukan antara orang terkaya dunia, Warren Buffet pada tahun 2016 untuk meletakkan dirinya di tangga ketiga.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami