Inspirasi

Jangan Tunggu Sempurna Untuk Mula Berniaga

Oleh Fara Mustapa  •  12 Oct 2015  •  6 min baca

Sedang saya mengemas barang di stor rumah tadi, saya terjumpa buku buku cek lama yang pernah saya gunakan suatu masa dahulu.

Tiba tiba rasa syahdu kerana sedar tak sedar tahun ini sudah masuk tahun ke 6 saya berkecimpung dalam dunia perniagaan. Masih setahun jagung namun begitu banyak pengalaman dan yang pasti perkara perit mengatasi pengalaman indah.

buku-cek

Teringat kenangan lama.[Facebook]

Buku cek Maybank di atas sekali mengingatkan saya pada syarikat pertama saya iaitu Afid Creations menjalankan servis interior design dan graphic design pada tahun 2009. Namun terpaksa ditutup akibat klien tidak membayar dan saya terpaksa menanggung hutang yang banyak dengan pembekal.

Bangkit Semula Selepas Kegagalan Pertama

Saya bangkit semula dengan menjual tudung kepada rakan rakan terdekat, menjual pakaian di pasar malam serta borong kepada pelajar pelajar universiti.

Pernah juga saya ketuk bilik ke bilik di beberapa kolej untuk menjual baju dan tudung. Malah akak di Maybank Seberang Jaya pun saya cuba nasib untuk jual baju baju saya ketika cubaan untuk mohon pembatalan arahan akaun dibekukan.

Kak Emma Omar yang saya kenal di Maybank ketika itu pun banyak kali memborong dari saya. Terima kasih kak Emma kerana support saya ketika susah dulu. Semuanya saya lakukan untuk membayar hutang hutang saya terhadap pembekal.

Lama kelamaan rasa seronok bila melihat angka untung maka saya mula serius lalu mendaftar perniagaan dengan nama Famoda Collection.

Membina Impian Lama Semula

impian

Memasang impian semula. [Uww.edu]

Namun begitu, jiwa saya tidak dapat dipisahkan dengan ID. Meskipun berniaga di pasar malam saya tidak pernah berhenti memberitahu pada semua pelanggan yang singgah di gerai bahawa saya juga merupakan seorang pereka hiasan dalaman ( interior designer ).

Dalam beratus ratus pelanggan yang datang akhirnya terlekat juga seorang yang percaya dan sudi memberi peluang kepada saya untuk mencuba khidmat saya.

Setelah selesai kerja kerja hiasan dalaman di kediaman beliau, semuanya tidak terhenti disitu tetapi mula berjangkit pula dengan rakan rakan dan jiran tetangga beliau yang turut berminat untuk mendapatkan khidmat ID.

Akhirnya saya tubuhkan pula Fabello Design And Construction bersama beberapa rakan kongsi untuk mula serius kembali dalam dunia ID dan renovation. Antara klien terawal saya ketika itu adalah Puan Azura , dari saya bujang sampai sudah kahwin anak dua ni masih beliau berhubung dengan saya tentang kediaman dan juga pejabat suami beliau.

Terima kasih Kak Azura Muhamad Ali. Namun ketika perniagaan sedang rancak, rakan kongsi saya ketika itu mula buat hal dan akhirnya saya tubuhkan pula syarikat di atas nama Fabello Design. Ketika itu saya terpaksa bermula semula dari bawah kerana banyak nombor pembekal dan beberapa pelanggan besar adalah daripada bekas rakan kongsi saya.

Mencuba Nasib Menjual Kuih Dan Kek

Masih saya ingat ketika tiada projek. Saya terpaksa bangun seawal sebelum Subuh menyediakan dan menjual kuih muih di tepi jalan untuk menyara hidup di ibu kota.

Pernah saya mencuba nasib menghantar kuih saya di cafe Uitm Shah Alam dan pernah juga saya belajar buat kek coklat kukus dan jual di kolej mengetuk bilik ke bilik diselitkan dengan bihun goreng dan nasi lemak yang saya masak di rumah sewa saya.

Malah saya pernah meminjam wang dari mak di kampung dan rakan untuk membayar gaji pekerja dan satu satunya rakan yang sudi pinjamkan wang ketika saya susah adalah Norlida Ariffin.

Saya mohon moga Allah jaga dan lindungi beliau sentiasa. Namun pinjaman dari along dan bank jauh sekali dan masih dengan modal sendiri sehingga sekarang.

Fabello Design ( enterprise ) terus bergerak sendirian tanpa rakan kongsi sehinggalah saya menaiktaraf kepada Fabello Design (M) Sdn Bhd bersama lembaga pengarah baru dan menambah satu lagi anak syarikat iaitu Fadeco Sdn Bhd untuk membekalkan bahan bahan ID kepada Fabello dan rakan rakan pereka yang lain sehingga kini.

Sebenarnya apa yang kita lihat di Facebook adalah perkara yang telah dipilih untuk dipersembahkan. Hakikatnya tidak semuanya indah dalam perniagaan. Namun saya lebih suka mengambil langkah untuk tidak bercerita masalah di muka buku sebaliknya lebih gemar menyebarkan aura positf dengan meyebarkan perkara perkara positif sahaja.

Kesimpulan yang saya dapat apabila mengenangkan kembali sejarah buku buku cek tersebut adalah:

#1 Jika saya tidak bermula 6 tahun yang lepas mungkin saya tidak dapat kecapi apa yang saya miliki sekarang

#2 Jangan tunggu sempurna untuk bermula. Bertindak sekarang.

#3 Now or never. FAST ACTION FAST RESULT.

#4 Jika dilanda masalah cepat fokus pada jalan penyelesaian jangan terlalu lama berendam dengan masalah. Jika penyelesaian adalah tutup bisnes maka tutuplah. Jika penyelesaiannya bertukar rakan kongsi maka bertukarlah. Jalan terus.

#5 Bisnes adalah bisnes. Persahabatan tetap persahabatan. Jangan letak emosi dalam urusan bisnes.

#6 Bukan soal berapa kali kita jatuh tetapi berapa kali kita bangun semula.

#7 Bukan soal berapa besar cabaran yang datang tetapi berapa besar jiwa kita menghadapi dan menguruskan cabaran itu.

#8 Work hard. Work hard. Work hard. Work hard + work smart. Work smart.

#9 Pilih perkara sekeliling dengan teliti kerana dengan siapa kita berkawan dan buku apa yang kita baca akan menentukan siapa kita 5 tahun akan datang.

#10 Jangan lari dari masalah, jangan tipu pelanggan, jangan lari dari membayar hutang dan jangan gagal membayar supplier.

#11 Jangan malu berkongsi tentang perniagaan kita.

#12 Jaga networking dan kepecayaan yang diberikan dengan baik.

#13 Amanah.

#14 Jangan sekali kali mengalah dan cepat berputus asa. Degil dengan kejayaan itu bagus.

#15 Sentiasa berbuat baik pada semua orang kerana semua orang mungkin adalah bukan pelanggan, bakal pelanggan, pelanggan, bekas pelanggan, pelanggan setia dan pelanggan kegemaran. Mengeratkan silaturahim itu adalah salah satu cara menjemput rezeki.

#16 Usah merasa malu ketika kita kerdil kerana setiap perkara besar itu bermula daripada perkara yang kecil.

#17 Setiap orang berhak berjaya dan setiap orang punyai jalan berbeza ketika menuju ke destinasi kejayaan. Maka usah banding ujian kita dengan ujian orang lain dan usah banding kejayaan kita dengan kejayaan orang lain kerana amalan kita barangkali jauh berbeza dengan orang lain.

#18 Tiada jalan pintas dalam bisnes. Kegagalan dan kejatuhan itu adalah antara proses wajib untuk menuju kejayaan.

#19 Sentiasa letak redha Allah dalam apa jua yang kita lakukan.

Dan akhir sekali suka saya ingatkan, ketika saat kejatuhan kita ramai rakan-rakan akan lari meninggalkan kita malah saudara terdekat pun belum tentu sudi membantu kita. Jadi hargailah mereka yang setia di samping kita walau di saat susah dan senang kerana mereka adalah 1 dalam berjuta.

Salam sayang.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fara Mustapa

Fara Mustapa

Seorang usahawan wanita yang cekal dalam bidang hiasan dalaman. Merupakan pemilik Fabello Design (M) Sdn Bhd.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami