Inspirasi

Jangan Memperkecilkan Amalan Kebaikan

Oleh Fazli Abdullah  •  22 Jun 2020  •  4 min baca

Jika ditanya kepada setiap orang, apakah amal soleh (amal kebaikan) yang kita boleh lakukan di dunia? Jawapannya pelbagai. Kadang disenaraikan amal yang wajib dan ada yang menyenaraikan ibadah yang sunat. Kemungkinan ini antara jawapannya:

1. Solat lima waktu.
2. Berpuasa di Bulan Ramadan.
3. Berzikir.
4. Menderma di masjid dan di surau.
5. Membaca al-Quran.

Itu antara sebahagian jawapan yang dijangka akan diberikan kepada si penyoal. Tetapi, adakah itu sahaja yang dianggap amal soleh? Jom teruskan bacaan untuk lebih kefahaman.

Amal Kebaikan Luas Jalannya

Untuk pengetahuan, amal kebaikan tidak khusus hanya kepada ibadah wajib sahaja. Jalan untuk melakukan amal kebaikan adalah terbentang luas dalam setiap segi kehidupan kita.

Masa yang hanya sebentar di dunia memang tidak akan habis untuk melakukan kebaikan. Namun, terkadang ada insan yang merasa bosan menghadapi kehidupan. Sedangkan, hakikatnya jalan untuk melakukan kebaikan sedang ‘setia’ menunggu kita. Kalau kita sedar, pasti perkataan bosan tidak akan terkeluar dari mulut kita kerana kita disibukkan dengan amal kebaikan.

Amal kebaikan boleh dilakukan di kebanyakan tempat. Mari kita tengok antara contoh amal kebaikan yang nampak kecil tetapi besar ganjarannya bila ikhlas turut bergandingan iaitu:

#1- Memberi Keutamaan Kepada Mereka Yang Lebih Memerlukan

Misalnya di dalam sebuah bas, tempat duduk semuanya penuh dan kita juga turut mendapat kerusi untuk melabuhkan punggung. Beberapa minit kemudian, ada seorang wanita warga emas yang sedang jalan terbongkok-bongkok sambil memegang kemas tongkatnya sedang masuk melalui pintu bas. Apa tindakan kita?

Berikan tempat duduk kepadanya. Itu pun satu amal kebaikan. Nampak mudah tetapi yang ada taqwa dan kesedaran sivik sahaja yang akan melakukannya.

#2- Memberi Makanan Dan Minuman Kepada Haiwan

Di tepi jalan kelihatan beberapa ekor kucing yang nampak kurus dan sepertinya sudah lama tidak menjamah makanan. Jika ada sedikit makanan bolehlah diberikan kepada mereka. Tidak perlu sedap rasa dan mahal harganya, cukuplah makanan itu boleh dimakan dan dapat merawat kelaparan mereka. Itu pun satu jalan kebaikan.

Tuntasnya, amal kebaikan banyak cabang dan jalannya. Tidak hanya sekadar beribadah di masjid dan mengerjakan haji di Mekah. Yang penting adalah carilah keredhaan Allah. Buatlah kebaikan yang benar mengikut syarak serta ikhlas tersemat di hati. Insha Allah, Allah akan memberkati.

#3- Jangan Memperlekehkan Amal Kebaikan

Mungkin ada masanya segelintir daripada kita memandang remeh dengan kebaikan yang kecil. Sesekali rasa tidak hebat dan tidak cukup ‘power’ jika kebaikan itu tidak jelas terpampang.

Mahu berzikir beratus kali, mahu mengerjakan solat sunat berjam lamanya dan pelbagai lagi. Itu tidak salah jika berkemampuan, patuh pada syarak dan ikhlas. Tetapi tidak perlulah memandang remeh amal kebaikan kecil yang lain hingga meninggalkannya. Sedangkan kita boleh melakukannya.

Entah amal kebaikan yang manalah yang diterima Allah SWT. Semuanya atas keizinan dan kekuasaanNya. Oleh itu, rebutlah peluang untuk melakukan kebaikan selagi nyawa masih ada di jasad kita. Jangan memilih jika kita mampu melakukannya.

Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Janganlah kamu memandang rendah akan satu-satu kebaikan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Saya teringat satu kisah yang boleh diambil iktibarnya. Diriwayatkan ketika Nabi Ibrahim as dibakar, semua binatang merasa simpati kepada kekasih Allah iaitu Nabi Ibrahim as dan berusaha memadamkan api dengan kudrat masing-masing. Tetapi hanya satu binatang sahaja iaitu cicak yang berusaha meniup api agar semakin semarak membakar Nabi Ibrahim as.

Menurut al-Zuhri daripada Aisyah r.anha, itulah sebabnya mengapa cicak dipanggil ‘Fuaisiq’ yang bermaksud yang jahat. (Tafsir Ibn Kathir, tafsir surah al-Anbiya’ ayat 69)

Jika cicak tidak meniup api itu untuk terus marak pun tidak mengapa. Hal ini kerana, ia tidak memberi sedikit kesan pun kerana sifat cicak yang kecil. Tetapi langkahnya tetap salah kerana membuat amal keburukan.

Kita ambil pengajaran dari kisah ini dari sudut positif iaitu kesungguhan seekor cicak yang meniup api walaupun ia tidak memberi sedikit pun akibat dan kesan. Kita belajar untuk melakukan kebaikan walaupun pada pandangan zahir kita nampak kecil tetapi di sisi Allah SWT cukuplah besar timbangannya.

Bukan kuantiti amal yang menjadi keutamaan tetapi kualiti amal kita yang menjadi tumpuan. Jika berkualiti amal kita walaupun sedikit dan nampak kecil lebih baik daripada banyak dan besar amalnya tetapi diikuti sifat riyak, ujub dan tidak ikhlas. Nauzubillahi minzalik.

Kesimpulan

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”(Surah Ankabut 29:69)

Ayuh kita ubah pemikiran kepada memandang setiap saat dan masa adalah sumber untuk melakukan kebaikan. Tidak kira kecil atau besar amal kebaikan, yang perlu kita ingat bahawa ia adalah untuk Allah Yang Maha Besar.

Sebenarnya jalan kebaikan amatlah banyak cuma bergantung pada diri kita sahaja adakah hendak bertindak atau tidak. Semoga artikel ini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat kepada kita semua. Waallahu a’lam.

Rujukan:
1. 101 Doa Para Nabi dan Rasul Dalam Al-Quran-Khasiat dan Kaifiat Beramal-Dato Ustaz Haji Zahazan Mohamed
2. Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami