Sejarah

Jangan Ikut Perangai Firaun – Tidak Peduli Pada Peringatan

Oleh Fazli Abdullah  •  17 Aug 2020  •  5 min baca

“Sesungguhnya, Firaun telah berbuat sewenang-wenang melakukan kezaliman di bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dia menindas segolongan daripada mereka (Bani Israil), dia menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak perempuan mereka. Sesungguhnya, dia (Firaun) termasuk orang yang membuat kerosakan.” (Surah al-Qasas 28:04)

Perancangan Allah itu lebih hebat. Walau Firaun memerintahkan untuk membunuh semua anak lelaki yang baru dilahirkan, tetapi ada seorang insan mulia yang tidak dapat dibunuhnya iaitu Nabi Musa. Dan insan itulah menggugat keegoan dan pengaruhnya.

Nabi Musa AS tidak mengalah dalam meneruskan dakwah kepada Firaun walaupun pelbagai ujian melanda. Baginda berharap semoga Firaun dapat insaf dan kembali ke pangkal jalan. Namun, Firaun tetap dengan kebal egonya. Menganggap kekuasaannya maha hebat. Sampai berkata dirinya Tuhan penguasa alam. Nauzubillah minzalik.

“…Kemudian Kami utuskan Musa dengan membawa bukti-bukti Kami kepada Firaun dan pembesar-pembesar kaumnya, lalu mereka mengingkari bukti-bukti itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang membuat kerosakan.” (Surah Al-A’raf 7:103)

Nabi Musa dan Nabi Harun diajar Allah agar berdakwah kepada Firaun dengan kata-kata yang lemah-lembut. Seperti yang tercatat di dalam Surah Taha surah ke 20 ayat 44:

“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia sedar atau takut.”

Firaun tetap dengan pendiriannya. Dia tidak mahu mengikuti dakwah Nabi Musa AS serta Nabi Harun. Walau mereka berbicara lemah lembut dengan Firaun, lelaki itu tetap tidak mengubah pendiriannya.

Pelbagai mukjizat dan bukti kekuasaan Allah telah ditunjukkan kepada Firaun. Dia tetap kekal keras dan ‘membatu’ tidak mahu menerima ajaran suci Nabi Musa serta terus tegar melakukan penindasan dan kerosakan.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya, Kami telah memperlihatkan kepadanya (Firaun) tanda-tanda kebesaran Kami semuanya, ternyata dia mendustakan dan enggan menerima kebenaran.” (Surah Taha 20:56)

Peringatan Demi Peringatan Tetap Tidak Berubah

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan (mendatangkan musim kemarau) bertahun-tahun dan kekurangan buah-buahan, agar mereka mengambil pengajaran.

Kemudian apabila kebaikan (kemakmuran) datang kepada mereka, mereka berkata, ‘Ini adalah kerana (usaha) kami.’ Dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka lemparkan akibat malang itu kepada Musa dan pengikutnya. Ketahuilah, sesungguhnya nasib mereka di tangan Allah, namun kebanyakan daripada mereka tidak mengetahuinya.

Dan mereka berkata (kepada Nabi Musa), ‘Bukti apa pun yang engkau bawa kepada kami untuk menyihir kami, kami tidak akan beriman kepadamu.’

Maka, Kami kirimkan kepada mereka taufan, belalang, kutu, katak, darah (air minuman berubah menjadi darah) sebagai bukti-bukti yang jelas, tetapi mereka tetap menyombongkan diri dan mereka adalah kaum yang berdosa.” (Surah Al-A’raf 7:130-133)

Allah telah menimpakan musim kemarau kepada Firaun dan kaumnya. Ada ulama mengatakan bahawa kemarau itu berlaku selama tujuh tahun. Kemudian Allah timpakan kekurangan hasil buah-buahan.

Adakah itu menyedarkan Firaun dan kaumnya? Tidak. Sesekali tidak. Dia tetap ingkar dan tidak berubah. Firaun dan kaumnya menganggap Nabi Musa hanya menggunakan sihirnya. Sedangkan apa yang berlaku adalah teguran daripada Allah.

Musibah dan peringatan daripada Allah tidak berhenti disitu. Terjadilah pula ribut taufan serta kehadiran belalang yang tidak terkira banyaknya merosakkan tanaman dan buah-buahan mereka.

Menurut Ibnu Kathir, ketika Allah mengirim ribut taufan, iaitu banjir besar, semua permukaan negeri Mesir terbenam dan warna airnya berubah menjadi sangat kotor. Mereka tidak dapat bekerja di ladang dan tidak dapat berbuat apa-apa.

Selepas itu, Allah menurunkan pula kutu yang banyak, kehadiran katak yang tidak terbilang bilangannya dan air yang bertukar warna merah seperti darah.

Firaun dan kaumnya bertambah pelik dengan air yang keluar untuk diminum mereka berubah menjadi warna darah sedangkan Nabi Musa serta pengikutnya minum air yang bersih.

Ulama menyebutkan bahawa setiap musibah yang diturunkan itu berganti-ganti dan Allah SWT menggantikan musibah demi musibah bagi membuktikan kekuasaanNya. Allah masih memberi peluang untuk Firaun dan kaumnya untuk bertaubat.

Pengakhiran Firaun Mahu Bertaubat Tetapi Sudah Terlambat

Setelah Firaun dan kaumnya ditimpa pelbagai azab, mereka meminta supaya azab dihilangkan dan dihapuskan. Namun, bila sudah kembali pulih mereka tetap dengan keadaan mereka. Tidak berubah. Firaun memungkiri janji untuk melepaskan Bani Israel mengikuti Nabi Musa.

Bani Israel mengambil kesempatan melarikan diri bersama Nabi Musa. Setelah Firaun tahu Bani Israel melarikan diri, Firaun mengarahkan tenteranya untuk mencari mereka.

Nabi Musa dan pengikutnya terpaksa melarikan diri sehingga sampailah mereka di Laut Merah. Di belakang ada Firaun dan bala tenteranya yang banyak sedang mengejar mereka.

Pada ketika itulah terjadi mukjizat yang hebat kurniaan Allah kepada Nabi Musa. Nabi Musa memukul air laut dengan tongkatnya seperti yang diperintah oleh Allah. Lalu laut itu terbelah.

Mereka terus melalui kawasan lapang yang kosong tanpa air laut dan selamat melepasi Laut Merah tersebut. Firaun dan tenteranya turut mengikuti tetapi malangnya mereka tenggelam atas izin Allah SWT dengan air laut itu kembali kepada keadaan asal.

Saat di hujung nyawa, Firaun mula sedar dan bertaubat. Dia baru menyatakan beriman kepada Allah SWT, namun tatkala itu taubatnya hanyalah sia-sia belaka. Allah tidak menerima taubatnya ketika dia yang sudah bagai telur di hujung tanduk.

Sudah banyak kali Allah memberi peluang. Bukti kekuasaan Allah sudah banyak ditunjukkan sebelum ini seperti terjadinya kemarau, datangnya ribut taufan, kutu, katak, dan pelbagai lagi. Namun, Firaun tidak mahu berubah. Peluang sudah diberi tetapi dia tetap tidak beriman kepada Allah.

“Dan Kami selamatkan Bani Israil melintasi laut kemudian Firaun dan bala tenteranya mengikuti mereka untuk menzalimi dan menindas (mereka). Sehingga ketika Firaun hampir tenggelam dia berkata, “Aku percaya bahawa tiada Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku termasuk orang-orang muslim (berserah diri).”

Mengapa baru sekarang (kamu beriman), padahal sesungguhnya engkau telah derhaka sejak dahulu dan engkau termasuk orang-orang yang melakukan kerosakan.

Maka hari ini Kami selamatkan jasadmu agar engkau dapat menjadi pengajaran bagi orang-orang yang datang setelahmu, tetapi kebanyakan manusia tidak mengendahkan tanda-tanda (kekuasaan) Kami.” (Surah Yunus 10 :90-92)

Jangan ikut perangai Firaun! Semoga kita semua mengambil iktibar apa yang berlaku kepada Firaun. Tepis keegoan! Kembali kepada Tuhan. Waallahu a’lam.

Nota:

Bagai telur di hujung tanduk-Berada dalam keadaan bahaya dan sulit atau susah.

Rujukan:

  1. Al-Quran Dan Terjemahan
  2. Addeen.my
  3. Ikimfm.my
  4. Rancangan Jejak Rasul Ulul Azmi 2019, TV3

Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami