Gaya Hidup, Kesihatan

Jangan Gelojoh Ketika Berbuka, Ia Bahaya Untuk Kesihatan

Oleh Fizah Lee  •  10 May 2020  •  3 min baca

Kita diajar untuk beradab ketika makan. Makan dengan membaca doa, menyuap dengan tangan kanan serta tidak gelojoh merupakan antara sunnah yang ditinggalkan untuk manusia mengambil pelajaran.

Umar bin Abi Salamah RA berkata: “Aku pernah menjadi hamba di rumah Rasulullah SAW. Satu hari, ketika aku ingin mengambil makanan, Rasulullah berkata kepadaku: “Wahai Umar, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kanan dan makanlah apa yang hampir denganmu.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 4984)

Pada bulan puasa ini, waktu berbuka puasa ialah masa yang paling ditunggu-tunggu. Jika sebelum ini kita sendiri tidak mengambil perhatian akan masuknya waktu Maghrib, namun pada bulan ini, boleh dikatakan hampir setiap hari kita akan menghafal jadual berbuka puasa.

Apabila masuknya azan Maghrib, mulalah kita ‘membalas dendam’ dengan makan secara banyak dan gelojoh setelah seharian menahan lapar dan dahaga.

Dalam Islam, kita dilarang untuk makan secara gelojoh dan tanpa tatatertib. Ia bukan sahaja menunjukkan kurangnya adab kita terhadap makanan, namun dalam masa yang sama boleh membahayakan kesihatan.

Kebanyakan daripada manusia yang makan gelojoh adalah kerana terlalu lapar atau mengejar masa. Ada juga yang disebabkan terlalu banyak hidangan yang berada di hadapan matanya sehinggakan seseorang itu ingin makan semuanya tanpa sedar bahawa ia boleh membuatkan perut anda menjadi senak.

Apabila makan dengan terlalu cepat, ia boleh menyebabkan kurangnya aktiviti mengunyah. Disebabkan itu, makanan tidak dapat dilumatkan dengan baik apabila ditelan oleh sistem pencernaan anda.

Inilah yang boleh mengakibatkan perut mudah menjadi kembung dan keras malah boleh mengundang kepada penyakit pedih ulu hati serta kesukaran bernafas.

Para saintis juga membuktikan bahawa selera makan bukan sahaja dikawal oleh perut, tetapi juga otak. Tahukah anda, otak manusia memerlukan kira-kira 20 minit untuk berfungsi, memproses dan menghantar isyarat.

Namun, berbeza situasinya apabila anda telah menghabiskan hidangan dalam masa tiga minit sahaja. Tanpa sedar, anda sebenarnya telah kenyang tetapi disebabkan otak anda belum sempat memproses maklumat, anda akan terus makan secara berlebihan.

Menurut sebuah kajian daripada Universiti Hiroshima, Jepun pada tahun 2008 mendapati bahawa, semakin laju seseorang itu makan, maka semakin tinggi risiko untuk mengalami sindrom metabolik.

Mereka akan sukar merasa kenyang dan cenderung untuk makan dengan lebih banyak. Hal inilah yang boleh mengundang kepada pelbagai penyakit berbahaya seperti obesiti dan jantung.

Makanlah Dengan Tertib

Makanan yang ada di depan mata anda tidak akan lari ke mana. Duduklah di meja makan anda dengan penuh sabar dan jamulah selera dengan tertib. Amalkan pemakanan sunnah.

Mulakan dengan minum air, makan kurma atau buahan. Kemudian, bolehlah anda jamu hidangan utama. Dengan ini, sesi iftar (berbuka) anda akan lebih tenang dan diberkati.

Walaupun anda makan dalam kuantiti yang sedikit, namun disebabkan keberkatan itu sampai kepada anda, maka anda akan segera kenyang.

Sebuah dapatan kajian yang telah dibentangkan di simposium American Heart Association Scientific Session pada tahun 2017 menyebut, makan dengan perlahan merupakan salah satu kunci penjagaan kesihatan dan tubuh badan.

Mengapa ia didapati sedemikian? Hal ini kerana, ia sebenarnya mampu membantu melambatkan sindrom metabolik seperti tekanan darah tinggi, tahap kolestrol yang tidak normal dan juga obesiti.

Justeru, dapat kita faham di sini bahawa makan secara tergopoh-gapah tidak membantu anda kenyang, bahkan boleh mengundang kepada pelbagai penyakit berbahaya.

Ikutilah sunnah dengan makan secara penuh tatatertib agar kesihatan anda terjamin. Bukan itu sahaja, anda turut memperoleh ganjaran pahala dariNya. Dua dalam satu untuk anda.

Semoga dalam iftar anda akan wujudnya keberkatan dariNya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Majalah Sains


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami