Gaya Hidup

Jangan Benci Si Pelaku Dosa, Tetapi Bencilah Dosa Yang Dilakukan

Oleh Fizah Lee  •  3 Aug 2020  •  3 min baca

Apabila kita melihat ada orang yang melakukan dosa, apakah reaksi kita? Adakah kita akan terus menghukum dan memulaukannya atau kita mengambil kesempatan itu untuk menjalankan tugas dakwah kepadanya?

Ada juga daripada kita yang hanya berdiam diri. Katanya, itu adalah dosanya. Kubur kan masing-masing. Jadi, tidak perlu peduli akan perihal orang lain.

Apabila bergaduh pula, rata-rata dari kita akan mula menjauh dan membenci. Seolah-olah dosa yang dilakukan itu sudah tidak boleh diberikan peluang kedua untuk dimaafkan dan mengembalikan hubungan seperti sedia kala.

Ingat, setiap manusia melakukan dosa. Tiada yang sempurna dengan hanya melakukan ibadah sama ada wali Allah, ulama mahupun golongan biasa, pasti ada cacat cela mereka.

Justeru, apabila berhadapan dengan mereka yang melakukan dosa, sabar dan tenanglah. Jangan terus dibenci akan manusia yang berdosa itu. Sebaliknya bencilah dosa yang dilakukan.

Ambil iktibar dan pengajaran daripada apa yang berlaku. Katakan pada diri sendiri – “Aku benci akan dosa yang dilakukan. Aku minta agar aku dijauhkan daripada melakukan dosa tersebut.”

Kemudian, apabila ada keberanian, tegurlah insan yang berdosa itu dengan hikmah, iaitu ikhlas dan tidak mengaibkan mereka.

Kisah Ahli Ibadah Dan Ahli Maksiat

Ada sebuah kisah yang telah diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Baginda SAW telah bersabda – Pada zaman Bani Israel dahulu, ada dua orang lelaki yang mempunyai sikap yang berbeza. Lelaki yang pertama sangat rajin beribadah dan lelaki yang kedua suka berbuat dosa.

Apabila ahli ibadah itu melihat saudaranya melakukan dosa, ia pasti akan memintanya untuk berhenti daripada melakukan dosa tersebut.

Sehinggalah pada suatu hari, apabila lelaki itu melakukan maksiat, ahli ibadah itu berkata: “Berhentilah daripada melakukan dosa.”

Kemudian, lelaki kedua itu menjawab: “Jangan pedulikan aku. Terpulanglah kepada Allah untuk menilai dosaku. Adakah engkau diutuskan oleh Allah untuk mengawasi apa yang aku lakukan?”

Lalu, ahli ibadah itu menjawab: “Demi Allah, dosamu itu tidak akan diampuni olehNya dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.”

Apabila kedua-duanya meninggal dunia, Allah SWT telah menghakimi mereka berdua dan Allah menyoal ahli ibadah tersebut: “Adakah kamu lebih mengetahui dariku? Atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang telah berada dalam kekuasaanKu?”

Kemudian, Allah berkata kepada ahli maksiat itu: “Masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmatKu dan kamu (ahli ibadah), masuklah kamu ke neraka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4910, Disahihkan oleh Al-Albani)

Daripada kisah ini dapat kita faham bahawa, tugas manusia ialah menunaikan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu mengajak ke arah kebenaran dan mencegah kemungkaran.

Manakala, tugas menghukum dan menghakimi seseorang itu adalah milik Allah. Kita juga adalah manusia biasa sama seperti orang lain.

Justeru, apabila melihat ada orang melakukan kesalahan, jangan cepat menghukum. Jangan dibenci manusia itu, sebaliknya tegurlah dia dengan kata-kata yang berhemah. Boleh untuk membenci, iaitu benci perbuatan dosa yang dilakukan.

Wallahu a’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami