Inspirasi

Jalaludin Rumi, Dunia Sufi Dan Cinta Tuhan

Oleh Natirah Azira  •  3 Dec 2019  •  4 min baca

Jalaludin Rumi, sebuah nama yang tidak asing lagi dalam dunia kesufian Islam. Namanya bukan hanya mekar di dunia Islam malah turut dikenali di dunia barat. Kata-katanya sering dipetik apabila ingin menggambarkan hikmah kehidupan yang mendalam.

“Engkau dilahirkan dengan sayap, mengapa memilih untuk merangkak sepanjang hidup”

“Jangan bersedih, apa pun yang hilang darimu akan kembali dalam bentuk yang berbeza”

Nama penuhnya ialah Maulana Jalaludin Muhammad. Beliau dilahirkan pada 6 Rabiulawal, tahun 604 Hijrah, bersamaan dengan 30 September 1207 di Balkhi, sebuah kota yang kini terletak di utara Afghanistan.

Pada waktu itu, Balkhi adalah sebuah kota yang menjadi pusat kajian, pusat aktiviti dan tempat di mana kecintaan pada ilmu tasawuf Islam berkembang.

Tempat itu juga merupakan pusat perkembangan budaya campuran antara Islam dan juga Parsi terutamanya pada abad ketujuh sehingga tiga belas. Parsi pada waktu moden ini meliputi kawasan Turki, Afghanistan, Asia Tengah dan Indo-Pakistan.

Kerana keadaan politik yang selalu bergolak pada waktu itu, Rumi sekeluarga berpindah ke Laranda (sebuah kawasan di Turki sekarang). Di sinilah Rumi bertemu dengan jodohnya , Jauhar Khatun yang berasal daripada Samarkand. Tidak lama kemudian, Rumi berpindah pula ke Konya kerana ayahnya mendapat jemputan daripada pemerintah kesultanan Rom Saljuk iaitu Sultan ‘Ala Al-Din Kayqubad untuk menjadi pengajar di kota tersebut.

Rumi mewarisi kegigihan menuntut ilmu daripada ayahnya apabila pada usia muda lagi, beliau sudah banyak mempelajari ilmu Islam seperti Nahu, Ilmu Syair, Al-Quran, Hadis, Usul Fiqh, Tafsir, Sejarah, Falsafah, Teologi, Logik, Matematik dan Astronomi.

Setelah ayahnya meninggal, Rumi menggantikan posisi ayahnya sebagai tokoh spiritual dan ahli hukum walaupun ketika itu dia baru sahaja berumur 24 tahun. Rumi menjadi tumpuan orang ramai bertanya pelbagai soalan dan masalah yang terjadi dalam masyarakat.

Guru Jalaludin Rumi

Nama Jalaludin Rumi tidak dapat diasingkan daripada satu lagi sosok nama yang besar iaitu Syamsudin Tabrizi, seorang darwish atau sufi yang mengembara. Persahabatannya yang akrab dengan Syamsudin lah yang menjadi titik tolak kepada perubahan besar dalam diri seorang Rumi. Daripada menjadi hanya pakar hukum dan fiqh, Rumi menjadi seorang yang berjiwa halus serta penyair yang agung.

Rumi bertemu Syamsudin ketika usia 30-an, pada tahun 642 Hijrah (28 November 1244 Masihi). Syams diceritakan memiliki peribadi yang kuat dengan tingkah laku yang aneh, tidak seperti pengembara sufi yang lain. Pemikirannya kritis, radikal dan luar biasa – sangat berbeza daripada gerakan sufi konvensional.

Dia pernah mengatakan dirinya telah mencapai tahap yang tinggi di sisi Tuhan. Pemahamannya tentang Tuhan dan Manusia, kesedaran kosmik dan ma’rifatnya dikatakan sangat luar biasa mendalam.

Daripada seorang ahli hukum yang tenang, Rumi berubah menjadi seorang insan yang ghairah mencari cinta Tuhan. Diceritakan sepanjang bersama Syamsudin, Rumi banyak menghabiskan masa dengan mempelajari hakikat ketuhanan sehingga kelas-kelas dengan anak muridnya terabai. Hal ini mencetuskan rasa tidak senang di kalangan anak murid, ahli keluarganya serta orang-orang yang menyanjunginya.

Kerana merasa tidak senang dengan layanan dan pandangan orang, Syamsudin meninggalkan Konya secara diam-diam (643 Hijrah). Menyedari keadaan itu, Rumi berasa terpukul dengan pemergian Syamsudin dan merasa kehilangan cahaya hidup yang membimbingnya.

Rumi mengutus anaknya dan beberapa orang murid untuk mencari Syamsudin dan memintanya kembali ke Konya. Setahun selepas itu (644 Hijrah), Syamsudin kembali semula ke Konya namun tidak bertahan lama sebelum dia betul-betul menghilang untuk selama-lamanya. Kepergian Syams yang kedua ini dikatakan tragedi paling parah yang menimpa Rumi.

Syams bukan hanya dianggap sebagai guru spiritualnya namun sebagai teman dan juga penghubung kepada cinta Tuhan. Syamsudin dianggap sebagai insan yang diutus Tuhan untuk menyampaikan pengaruh spiritual bagi memperdalamkan lagi jiwanya dalam beragama.

Setelah peristiwa itu, Rumi lebih banyak menulis dan akhirnya terhasil lah Mathnawi, sebuah karya magnum opus berisi syair tentang makna-makna kehidupan yang dikenali di serata dunia. Selain itu, Rumi juga menulis sajak-sajak pujian kepada Syams Tabrizi yang dipanggil Diwan-i Shamsi Tabrizi.

Jalaludin Rumi meninggal pada 5 Jamadil Akhir 672 Hijrah (16 Disember 1273 Masihi) dalam keadaan damai dan tenang dikelilingi murid dan keluarga yang mengasihinya.

“Ketahuilah bahawa segala yang kasat mata adalah fana, tapi dunia makna tak akan pernah sirna,
Sampai bilakah engkau akan terpikat oleh bentuk bejana?
Tinggalkanlah ia : Pergi, airlah yang harus kamu cari.
Hanya melihat bentuk, makna tak akan engkau temukan.
Jika engkau seorang yang bijak, ambil lah mutiara dari dalam kerang!”
(Mathnawi, 2/1020-1022)

Rujukan:
Kisah Cinta Platonik Jalal al-Din al-Rumi


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami