Gaya Hidup

Jadilah Pendidik Yang Sentiasa Dikenang

Oleh Fieyzah Lee  •  17 Oct 2019  •  3 min baca

Profesion perguruan merupakan suatu tugas yang mulia dan dikenang sepanjang hayat. Lembut atau garang seseorang guru itu, kenangannya pasti akan diingati oleh setiap manusia yang bergelar pelajar.

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ- رواه البخاري

Maksud: “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5027)

Jika dilihat pada sirah Rasul kita, Jibril merupakan guru kepada Baginda SAW dengan mengajarkan kalam Allah dan juga Islam. Melalui Jibril, wahyu dan petunjuk diturunkan sama ada dalam bentuk manusia, cahaya mahupun mimpi.

Baginda pula akan mengajarkan Islam kepada umatnya dengan penuh sabar, lemah-lembut dan tabah. Baginda merupakan nabi terbaik dan ikutan ramai yang layak dijadikan idola.

Tugas mendidik dan mengajar memerlukan tanggungjawab dan peranan yang sangat besar. Ia bukan boleh dilakukan sesuka hati tanpa ilmu dan pengorbanan.

Disebabkan itu, perjalanan untuk menjadi pendidik adalah penuh dengan liku dan onak. Didikan itu bukan sahaja pada penyampaian ilmu berdasarkan buku, malah lebih dari itu.

Guru atau dalam bahasa Arab ialah المُعَلِّم (Al-Muallim) bermaksud pendidik. Ia mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menyebarluaskan ilmu, sama ada yang digariskan oleh silibus (dari pihak kerajaan) atau yang tersirat, iaitu adab dan nilai moral.

Malah, kebanyakan guru kini dilihat mencuba sedaya upaya agar gaya pengajaran diterima oleh segenap lapisan kerana bukan mudah untuk mendidik pada masa kini ditambah dengan pelbagai kerenah yang perlu dihadapi baik dari pihak berwajib, pihak sekolah, ibu bapa dan juga anak didik.

Jadi, bagaimana cara yang boleh dilakukan untuk menjadi seorang pendidik yang sentiasa tabah dalam bidang ini dan dan tidak mudah goyah?

#1 – Cintai Kerjaya Anda

Setiap apa yang dilakukan, kita perlu meletakkan hati ke dalamnya. Apabila anda mencintai dan menyukai kerja yang dilakukan, anda pasti akan melakukannya sepenuh hati.

Ia sekali gus akan membuatkan anda mendidik dengan seikhlas hati dan tidak mudah goyah dengan tekanan yang dilemparkan.

Cari tahu kenapa anda ingin menjadi guru, adakah disebabkan desakan ibu bapa atau mungkin juga kerana minat dan usaha sendiri.

Tajdid (perbaharui) niat mendidik anda setiap hari, iaitu pendidikan yang dilakukan adalah untuk membantu ummah ke arah kebaikan dan lebih maju.

Maksud: “Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu ditanya berkaitan dengan tanggungjawabnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

#2 – Sesuaikan Didikan Dengan Zaman

Pernah suatu ketika, kecoh isu rotan sama ada boleh digunakan dalam pengajaran atau tidak. Malah, isu ini akan terus ada kerana ia merupakan antara isu yang besar.

Boleh atau tidak rotan itu bukan isunya. Namun, yang paling penting ialah dengan cuba mendidik tanpa menggunakan bentuk kekerasan.

Ini tidak bermaksud metod pengajaran lama perlu ditinggalkan, namun ia boleh sentiasa dijadikan panduan dan rujukan agar boleh menjadi metod baru yang akan sentiasa diguna pakai.

#3 – Kembali Kepada Tuhan

Sebesar mana pun usaha yang anda letakkan dalam mendidik, sebesar itu juga kebergantungan yang anda perlu panjatkan kepada Tuhan.
Oleh itu, memintalah kepadaNya agar hati dan minda anak didik anda mampu menerima didikan yang diberikan.

Kesimpulan

Setiap tugas yang diceburi mempunyai cabaran yang tersendiri. Susah atau senang itu adalah bergantung kepada minda seseorang itu.

Jadilah seorang guru yang kehadirannya ditunggu, kehilangannya dirindui, ilmunya diburu dan tingkah lakunya ditiru.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami