Inspirasi

Jadikan Tempoh Kuarantin Sebagai Tempoh Persediaan Menghadapi Ramadan

Oleh Natirah Azira  •  8 Apr 2020  •  3 min baca

Tinggal lebih kurang dua minggu lagi sebelum kita melangkah ke perkampungan Ramadan. Tidak dinafikan Ramadan kali pasti terasa sedikit berbeza dalam keadaan PKP yang masih belum menentu.

Ada ahli keluarga yang saling terpisah kerana tidak dapat pulang ke kampung. Ada yang berada di kampung dan masih belum dapat kembali ke tempat tinggal biasa. Ada yang terpaksa berjimat cermat bagi memastikan dapat bertahan sehingga akhir bulan. Ada yang buntu kerana tidak tahu untuk melakukan apa.

Melihat kepada perkongsian orang ramai di media sosial, ramai yang mula berkongsi aktiviti-aktiviti yang dilakukan di rumah seperti menghias rumah, mengubah suai bilik, berkebun, memasak dan juga melakukan senaman untuk kekal sihat.

Walau bagaimanapun, usah terleka dengan masa lapang yang banyak dihabiskan di rumah. Jadikanlah ia sebagai ruang ‘retreat’ untuk anda melakukan refleksi serta bersedia secara fizikal, rohani dan emosi untuk menghadapi Ramadan tidak lama lagi. Berikut apa yang anda boleh lakukan bermula daripada sekarang.

#1- Memperuntukkan Masa Selepas Subuh Untuk Membaca Mathurat

Jika sebelum ini kita akan kelam kabut bersiap untuk bergegas ke tempat kerja selepas Subuh, namun sewaktu dalam tempoh PKP ini, pasti pagi terasa lebih lapang. Apa kata luangkan masa sejenak untuk berzikir atau membaca Mathurat selepas Subuh.

Amalan ini dapat mengelakkan kita daripada tidur semula selepas Subuh. Ia juga dapat melatih diri kita untuk memanfaatkan waktu di bulan Ramadan kelak selepas sahur sebelum menanti waktu Subuh.

#2- Menunaikan Solat Sunat Dhuha

Waktu dhuha selalunya waktu ramai orang sedang bersarapan, sudah bergegas menghadiri kuliah atau sudah berada di tempat kerja. Jika ada waktu terluang sekalipun, kadang kala terasa berat untuk mengambil wuduk semula kerana telah elok bersiap.

Namun ketika ini, ia adalah waktu yang sesuai untuk kita mula mengamalkan solat sunat dhuha – seeloknya selepas selesai bersarapan dan mandi pada waktu pagi.

#3- Mengamalkan Puasa Sunat Pada Bulan Syawal

Tempoh 4 minggu PKP ini pasti terasa lama. Mungkin ada sebilangan daripada kita yang sudah berasa jemu dengan rutin yang sama – mengemas rumah, memasak, melayan anak-anak 24 jam (bagi yang berkeluarga), kemudian menyediakan minum petang, makan malam dan sebagainya.

Bagi memecah rutin, apa kata kita cuba berpuasa pada hari Isnin dan Khamis dan peruntukkan waktu memasak dan makan dengan melakukan perkara lain seperti membuat kraftangan, belajar cara menanam sayuran yang boleh diletakkan di dalam rumah

#4- Solat Berjemaah Bersama Teman Serumah Atau Ahli Keluarga

Anda juga boleh mula melatih diri dan juga mengajak ahli keluarga atau rakan serumah menunaikan solat berjemaah bersama-sama. Usah tunggu Ramadan untuk mula melazimi solat jemaah. Aktiviti solat berjemaah pada waktu malam juga dapat membiasakan kita dengan solat tarawih dan qiamullail pada bulan Ramadan nanti.

#5- Membaca Al-Quran Dan Mendalami Surah Pilihan

Ramadan sentiasa menjadi bulan ramai orang mencabar diri untuk menghabiskan bacaan satu mushaf Al-Quran. Sebenarnya, anda sudah boleh bermula daripada sekarang. Mulakanlah dengan memperbetulkan sebutan dan memperelokkan bacaan supaya aktiviti tadarus pada bulan Ramadan nanti akan lebih lancar.

Selain itu, anda juga boleh melakukan ‘challenge’ dengan rakan-rakan atau ahli keluarga. Pilih satu surah yang diingini, kaji dan fahami maksud serta tafsir daripada surah tersebut, kemudian ceritakan semula tentang surah itu. Anda juga boleh berkongsi dengan rakan-rakan yang jauh melalui whatsapp atau panggilan video.

Kesimpulan

Ini masanya untuk kita jadi lebih kreatif dengan nikmat masa dan peluang yang ada. Usah melihat ia sebagai satu hukuman atau sebuah keterpaksaan semata-mata, tetapi manfaatkanlah ia sebaiknya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami