Gaya Hidup

Jadi Lebih Kreatif Dengan ‘2K’

Oleh Azian Mohamed Isa  •  7 Jan 2020  •  4 min baca

Pernah tak anda merasakan diri kurang kreatif? Contoh mudah, di sekolah, sewaktu subjek Pendidikan Seni, ketika guru memulakan kelas dengan memberikan satu arahan iaitu ‘Lukiskan satu pemandangan yang menggambarkan suasana kampung’.

Anda mula berfikir, mengarahkan otak untuk bekerja mencari ilham atau idea. Idea biasanya akan diperoleh melalui memori yang tersimpan, juga pengalaman dan pengetahuan yang dipelajari sepanjang hidup.

Anda mula melakukan lakaran, melukis gunung-ganang, pokok kelapa, rumah tradisional berbumbung nipah dan bertangga batu. Saat mahu mencapai berus dan cat warna, anda terpandang lukisan rakan sebelah.

“Cantiknya!”

Anda menjerit dalam hati. Mulut separuh ternganga dan pada saat itu terasa rendah diri dan malu dengan lukisan yang nampak hodoh.

Keyakinan merudum dan rasa bimbang dan cemas mula menguasai pemikiran. Bimbang melihat lukisan yang buruk itu hanya layak mendapat markah yang tercorot.

Otak mula mengesan kebimbangan dan menghantar hormon untuk menenangkan. Ini dinamakan ‘fight or flight response’. Ia merupakan default system atau respon semula jadi untuk melindungi anda daripada rasa takut dan bimbang. Anda pun berkata;

“Aku tidak kreatif seperti sahabatku. Aku memang tidak pandai melukis.”

Dan saat itu anda terus meninggalkan berus dan cat warna untuk selama-lamanya. Nah, macam kenal sahaja watak itu, bukankah itu aku?

Menurut ahli psikologis dan neurosains, Louisa Fernanda Torres, ada 3 fahaman yang tersebar luas dalam kalangan masyarakat yang sebenarnya merupakan MITOS.

#1- Ada orang yang lebih kreatif, ada yang kurang kreatif. Orang yang pandai melukis, menulis dan bermain alat muzik ialah golongan yang kreatif

Golongan yang bekerja di pejabat atau di kaunter ubat atau seorang pengawal keselamatan itu tidak kreatif

#2- Otak sebelah kiri bertanggung jawab dalam perkara-perkara logik seperti pengiraan dan pertimbangan.

Otak sebelah kanan pula bertanggung jawab dalam hal-hal bersifat kreatif seperti menulis dan melukis.

#3- Idea kreatif hanya berlaku kepada sesetengah individu pada saat tertentu yang dipanggil ‘eureka momen’.

“Ting! Tiba-tiba saja idea datang!”

Sebenarnya, semua orang, baik lelaki atau perempuan, selagi memiliki otak yang sihat, akal yang waras, punyai potensi untuk menjadi kreatif.

Dalam kreativiti, semua bahagian otak, kiri dan kanan akan aktif bekerja. Sel-sel otak akan memproses maklumat daripada memori yang tersimpan, mengumpulnya untuk menghasilkan satu idea baharu.

Pada awalnya, idea itu akan mirip apa yang tersimpan dalam memori. Sesuatu yang pernah dilihat, dibaca, pelajari daripada pengalaman lalu. Idea yang terhasil bukanlah idea yang terbaik, sebaliknya ia mungkin replikasi daripada benda-benda yang selalu kita nampak.

Hanya apabila otak diasak untuk bekerja lagi mencari idea yang lebih baik, sel-sel otak akan aktif bekerja, membina dan meluaskan rangkaian yang baharu dan mencetuskan idea yang lebih bagus dan unik.

Analoginya seperti permainan minda sambungkan titik-titik untuk sesuatu gambar yang diberi. Setiap kali otak dirangsang untuk bekerja, sel-sel otak akan berhubung, membina garisan pada titik-titik tadi.

Makin diasak, makin banyak jalinan yang dibina sehinggalah terhasil satu gambar yang lengkap dan sempurna.

Dengan kata lain, otak ialah organ yang sangat malas. Ia lebih suka mengambil jalan pintas daripada membuat penilaian, perbandingan, pertimbangan yang menggunakan banyak tenaga mental.

Untuk satu-satu idea menjadi lebih kreatif dan unik, otak perlu diasak, dirangsang dan dilatih. Ini sesuatu yang otak kurang suka. Dalam kes watak aku yang berasa tidak kreatif, otak akan menapis semua maklumat dan mengesahkan kepercayaan aku.

“Aku tidak kreatif.” “Aku tidak pandai melukis.”

Dan kita pun dibelenggu dengan kepercayaan ini kerana kita takut gagal. Ingat,

In order to be creative, you need to be comfortable with failure.’

Kerana,

If you are afraid of failure, it will block your creativity process.’

Tiada sesiapa yang suka kegagalan tetapi berapa ramai orang yang sangat kreatif, mencipta kejayaan demi kejayaan kerana mereka telah melalui fasa kegagalan.

#1- Keberanian

Rahsianya ialah mereka memiliki keberanian. Dengan keberanian ini mereka dapat menepis sikap takut gagal, menangkis perasaan kurang yakin dan rendah diri. Ingat slogan jenama NIKE, “Just Do It.”

#2- Komitmen

Satu lagi kunci untuk jadi lebih kreatif ialah komitmen. Daripada Aisyah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.”Riwayat: Imam al-Thabarani

Komitmen ialah ketekunan dan perbuatan bersungguh-sungguh dalam satu-satu pekerjaan. Memetik kata-kata J Armani, seorang social media influencer,

A full commitment goes something like:
‘I will figure this out. I am going all in. I am burning the boats behind me. It’s either win or fail.’

Keberanian dan komitmen. Dua kunci untuk kita jadi lebih kreatif dan berjaya. Berani mengambil risiko dan bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan.

Dalam apa jua bidang yang anda ceburi, latih, bina dan asah otak untuk menjadi lebih baik, kreatif dan bermanfaat kepada orang lain.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Salah seorang penulis di dalam buku antologi himpunan kisah benar berjudul ‘BLUR’ yang diterbitkan oleh Buku Puris.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami