Hukum

Isu Wang Derma Buat Pelajar Digunakan Untuk Guru

Oleh Natirah Azira  •  18 Apr 2019  •  4 min baca

Seorang sahabat saya yang merupakan seorang guru pernah berkongsi kerisauannya tentang pengurusan kewangan di sekolah tempat dia mengajar. Kerap kali apabila ada sumbangan yang diberikan oleh pihak luar untuk kegunaan para pelajar, lebihan wang tersebut digunakan untuk jamuan makan para guru. Sedangkan pihak penderma telah menyatakan bahawa sumbangan tersebut untuk kegunaan para pelajar sahaja.

Memang ada yang tidak kena. Walhal isu halal dan haram ini bukan hanya melibatkan rezeki atau apa yang dimakan sahaja tetapi termasuklah ketelusan dalam pengurusan wang dan ke mana wang tersebut digunakan.

Hukum Menggunakan Wang Lebihan Derma Untuk Guru

Seseorang juga pernah bertanya kepada pihak Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan isu; apa hukum lebihan wang peruntukan program yang dibayar oleh pelajar diguna pakai oleh guru untuk membuat baju rasmi sekolah?

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ ‏{‏ يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ‏}‏ وَقَالَ ‏{‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ‏}‏ ‏”‏ ‏.‏ ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul, maka Allah SWT bersabda: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kami beramal soleh). Dan Allah SWT berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu).

Kemudian Baginda SAW menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang rambutnya kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan kelangit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?” Riwayat Muslim (1015)

Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam mensyarahkan hadis ini menyatakan perkataan (لاَ يَقْبَلُ) ini bermaksud Allah SWT tidak menerima di sisinya apa-apa amalan atau harta yang bersumberkan kepada yang haram dan tidak bersih.

Hal ini termasuk dalam aspek makan, minum serta pemakaian seharian kita. Ini bermaksud Allah SWT tidak menerima apa-apa amalan dan harta kecuali yang datang daripada sumber yang bersih sahaja (Rujuk al-Fath al-Mubin, 1/286).

Menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan lagi, wang lebihan daripada program yang telah dilaksanakan itu adalah hak milik pelajar. Ini kerana, tujuan pada mulanya para pelajar perlu membayar adalah untuk kegunaan program itu sahaja. Maka wang lebihan tersebut perlu dipulangkan semula kepada para pelajar atau digunakan untuk kepentingan pelajar itu sendiri.

Para guru tidak boleh dan haram menggunakan wang tersebut untuk membeli baju rasmi sekolah untuk diri sendiri. Jika wang sumbangan mahu digunakan untuk tujuan lain, maka sejak dari awal lagi tujuan derma tersebut perlu diperluaskan dan dimaklumkan kepada para pelajar supaya mudah untuk diuruskan pada masa hadapan.

Berdasarkan keterangan pihak Mufti, dapatlah kita samakan situasi di atas dengan persoalan awal tentang wang derma yang digunakan untuk kegunaan para guru. Wang lebihan derma untuk para pelajar juga tidak boleh digunakan untuk jamuan makan-makan para guru.

Hal ini kerana, penderma telah menyatakan secara khusus tujuan wang derma tersebut. Jika ianya hanyalah diberitahu secara umum contohnya; “Saya dermakan wang ini untuk apa-apa urusan melibatkan sekolah”, maka tidak mengapa.

Allah juga telah menyatakan secara jelas dalam Surah An-Nisa tentang larangan menggunakan harta dengan jalan yang salah.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu” (Surah An-Nisa’ 4:29)

Kita perlu memahami dengan benar tentang isu halal dan haram tidak hanya melibatkan rezeki dan apa yang dimakan. Saya akui tidak semua sekolah mengalami masalah ini tetapi agak kecewa sebenarnya apabila mendengar berita bahawa wang sumbangan atau derma buat para pelajar tidak diselenggara dengan telus dan jujur, sedangkan pihak yang melakukan kezaliman tersebut adalah orang yang mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang halal dan haram.

Isu ini tidak seharusnya dipermudah-mudahkan. Ia tidak hanya melibatkan dosa antara diri sendiri dan Tuhan malah melibatkan hak orang lain yang diambil secara zalim. Semoga ilmu yang diketahui tidak hanya kekal sekadar pengetahuan malah dapat dizahirkan dalam cara hidup Islam yang sebenar.

Rujukan:
Al-Kafi #822: Hukum Penggunaan Wang Sumbangan Pelajar Untuk Tujuan Lain


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami