Inspirasi

Istimewa Seorang Khadijah Di Mata Rasulullah

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  21 Mar 2017  •  3 min baca

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Ali, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Wanita terbaik adalah Maryam binti Imran dan wanita terbaik adalah Khadijah.”

Khadijah merupakan isteri kesayangan kepada Rasulullah SAW yang dinikahinya ketika berusia 25 tahun dan Khadijah berumur 40 tahun. Khadijah juga merupakan wanita pertama yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan wanita yang dijanjikan syurga oleh Allah SWT.

Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai bin Kilab lahir di Ummul Qura (Makkah) sekitar 15 tahun sebelum Tahun Gajah. Beliau berketurunan suku Quraisy dari keluarga bani Asad.

Sejak zaman jahiliyah lagi beliau digelar sebagai al-Thahirah (wanita suci) oleh masyarakatnya kerana sifatnya yang suka akan kebersihan dan kesucian. Beliau merupakan seorang usahawan wanita yang terkenal dan berjaya dalam bidang perniagaannya.

Sebagai isteri Rasulullah SAW, Khadijah banyak membantu, memberi semangat serta menyokong setiap usaha Baginda terutamanya dalam menyebarkan dakwah Islam. Di saat Rasulullah dicaci dan dihina, beliaulah orang pertama yang membuatkan Rasulullah bersemangat kembali. Khadijah juga sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan Baginda dengan sentiasa menenangkan Rasulullah SAW.

Insan bernama Khadijah juga berkorban segala-galanya demi Islam termasuklah rela ditinggalkan oleh Rasulullah ketika Baginda keluar berdakwah. Khadijah juga sanggup mengorbankan segala harta benda dan kekayaannya demi perkembangan Islam.

Rasulullah sangat merasai kebahagiaan dan kenikmatan sebagai seorang suami dan ketua keluarga semasa bersama-sama dengan Khadijah, yang sangat menghormati Baginda walaupun umur mereka jauh berbeza.

Kematian Khadijah merupakan suatu kesedihan bagi Rasulullah. Baginda benar-benar berasa kehilangan kerana sangat menyintai dan menyayangi isterinya itu, iaitu seorang isteri sejati, dan wanita yang kental serta sanggup berkorban apa-apa sahaja demi agama Islam.

Pada suatu ketika Rasulullah SAW menyatakan sesuatu tentang Khadijah, dan kata-kata itu membuatkan Aisyah cemburu,

“Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan darinyalah aku mendapatkan keturunan.”

Terdapat banyak kelebihan Khadijah RA pada pandangan Rasulullah SAW yang tidak dimiliki oleh isteri-isteri Baginda yang lain, antaranya;

#1 – Isteri dan kekasih pertama Rasulullah SAW

#2 – Orang pertama menerima salam daripada Allah SWT

#3 – Rasulullah SAW tidak menikahi wanita lain selama Khadijah masih hidup. Bermakna Khadijah tidak pernah dimadukan.

#4 – Rasulullah SAW tidak mengambil hamba wanita sehinggalah Khadijah meninggal dunia

#5 – Wanita pertama yang bersolat bersama Rasulullah SAW

#6 – Isteri yang memberikan keturunan kepada Rasulullah SAW

#7 – Wanita pertama yang tergolong dalam golongan shiddiq (yang benar)

#8 – Rasulullah SAW tidak pernah berasa marah terhadap Khadijah

#9 – Wanita pertama yang mendapat jaminan syurga

#10 – Orang pertama yang kuburnya dipersiapkan oleh Rasulullah SAW

Sifat Khadijah yang unggul sudah cukup untuk dijadikan sebagai idola oleh setiap wanita muslimah di zaman ini, iaitu sebagai seorang isteri, ibu dan juga wanita yng berjaya dalam kerjayanya.

Selain itu Khadijah juga mendapat penghormatan yang tinggi dengan keimanan dan pengorbanannya terhadap pejuangan Islam, sehinggakan beliau mendapat tempat yang mulia di sisi Allah SWT.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami